Sambungan Novel @dimensi buni

Ikuti sambungan novel bertema bunian iaitu "@ dimensi buni" di http://dimensibuni.blogspot.com/. sesiapa yang belum membaca naskah tersebut boleh hubungi saya dengan harga RM25.00 termasuk pos.

Jumaat, 11 Februari 2011

Abang... temuilah ketenangan di sana... sesungguhnya betapa hati kami remuk mengenangkan suratan hidup abang, tetapi tentulah lebih remuk lagi hati abang. Kami tahu betapa sayangnya abang pada anak-anak dan isteri abang... Kami bisa melihat bagaimana abang kepenatan balik dari berjual, dan tanpa rehat mendukung anak, membuat susu anak... abang juga tidak marah walau anak-anak menangis, atau bergaduh menyambut kepulangan abang..
Kesepian ditinggalkan membuat abang meracau. abang tidak keruan. Hidup sendirian di rumah pusaka arwah ayah bonda yang besar, menekan hidup abang yang sebatang kara... Ya benar, abang telah berusaha sedaya upaya meninggalkan benda-benda haram. Kami tahu dan kami percaya. Setiap kali abang menghisap dadah, abang akan kembali ke pangkal jalan. Abang memang pelik. Manusia yang pelik... kerana hanya abang, satu-satunya yang saya kenal yang boleh berhenti menghisap dadah walau beberapa kali juga abang menggunakan semula ketika fikiran abang runsing... pada masa itu, abang akan tahu berulang alik ke pondok agama, juga berzikir di waktu malam yang hening... meminta pertolongan Yang Maha Penyayang.
Janganlah salahkan kami yang memanggil polis di tengah malam untuk mengambil abang walau abang telahpun meninggalkan dadah. Bukan kerana benci. tetapi kerana sayang. Tidak sanggup kami melihat abang yang terkenang-kenang pada isteri abang, tidak betah kami melihat abang terlalu merindui anak-anak abang. tidak rela kami melihat keadaan abang yang tergila-gilakan isteri abang yang sudah bulat hati ingin meninggalkan abang. walaupun mungkin ini berlaku kerana campurtangan mentua abang, tetapi sedarlah bukan salah mereka juga. Kami berkongsi duit untuk membayar kepada pusat rawatan itu, demi abang... supaya jiwa abang kembali tenang, supaya abang dapat menerima hakikat, supaya abang kuat untuk menerima dugaan ini..
Pagi tadi pukul 3 pagi, 4 orang polis berbadan besar datang membawa abang ke pusat rawatan swasta itu. bagaimana perasaan abang ketika itu? Abang, aku tiada semasa itu, aku tidur nyenyak, aku hanya tahu setelah pukul 6 pagi. Aku ingat semua sudah selesai ketika aku pulang ke kampung, melihat wajah ceria abang dan gurau senda abang, serta nekad abang yang agak gila. rupanya terpaksa juga abang dibawa ke sana. demi abang, bukan kerana benci, tetapi kerana kami tidak mampu berkongsi kepedihan abang. sekurang-kurangnya semasa di sana, abang tidak akan sunyi, abang tidak akan merasa terlalu keseorangan, abang akan menerima kaunseling... Abang, tempat itu bukan penjara... tetapi pusat rawatan. rawatan fizikal dan emosi abang. semoga abang berjaya dan akan kembali ke rumah pusaka kita... rumah pusaka tinggalan ayah bonda tempat abang dan kami sekali sekala menumpang teduh...
Abang... apa yang abang buat ketika ini? apa yang makan semasa sarapan? Abang bencikan kamikah? Abang marahkan kami? Atau abang menyesali nasib abang di'khianati'? jangan sesekali berfikiran sebegitu... sejak ayah bonda pergi, hanya abang yang di dalam fikiran kami. Nanti kami akan datang melawat abang... tetapi jangan marah kalau kami tidak boleh kerap ke sana. Kami tidak boleh kerap ke sana... kerana itu tidak baik untuk abang...
Abang, jangan salahkan takdir, jangan salahkan bonda yang mengandung, jangan salahkan ayahanda.. salahkan diri sendiri... kerana kebaikan itu datang dari Allah dan keburukan itu datang dari dalam diri kita juga..
Ya Allah, lindungilah abangku, kasihanilah dia Ya Allah... kerana walau seburuk2 kelakuan abangku, segala budinya dan keikhlasannya tetap untuk kami adik beradik... Ya Allah, tetapkanlah hati kami, supaya kami mendapat petunjuk dan berjaya dunia dan akhirat...

2 ulasan:

  1. Salam Rinya,

    Salam simpati saya kepada abang dan semua keluarga andal dalam menghadapi masalah ini.

    BalasPadam
  2. terima kasih saudara... Bila tiba ujian Allah, sekelip mata, sedikit tindakan boleh menyebabkan kemusnahan... dlm kes abg sy,bukan kesalahan dia 100%... semua berkait... antara sikap dia, sikap isteri, sikap adik ipar yg sentiasa menyebabkan suami isteri bercakaran... Hasilnya, anak2 kehilangan ayah, suami musnah dan isteri turut hidup susah, walau berada di rumah ibu bapa sendiri..

    BalasPadam