Sambungan Novel @dimensi buni

Ikuti sambungan novel bertema bunian iaitu "@ dimensi buni" di http://dimensibuni.blogspot.com/. sesiapa yang belum membaca naskah tersebut boleh hubungi saya dengan harga RM25.00 termasuk pos.

Isnin, 2 April 2007

Sekeping Hati Siti Sarah

“Sarah, jangan bagi tau mak, Kak Linda cerita. Mak dah tak ada duit. Kirimlah duit sikit kat kampung.” Begitulah kata-kata kakakku, Kak Linda semasa aku menelefon ke rumah.

“Kan mak banyak lagi duit? Mak buat beli apa?” Tanya ku hairan.

“Buat pagar konkrit. Mek Jah tak bagi anak-beranak kita lalu ikut depan tanah dia. Dia dah buat pagar dawai. Mak pula sebab geram sangat dan terkilan dengan tindakan Mek Jah, buat pula pagar konkrit!”


Laa! Aku mengeluh sambil tersenyum. Patutlah tak ada duit. Emak baru siapkan rumah untuk adikku Angah. Sekarang dah buat pagar konkrit pulak! Tanah emakku bukan kecil, hampir setengah ekar juga. Kalau buat pagar konkrit, tentu habis beribu juga. Aku sudah kenal benar dengan perangai makku itu. Pantang dicabar. Itulah yang mak cakap. Jangan biar diri dicabar orang. Jangan biar maruah dipijak orang.


Dan bukan tidak ku kenal dengan perangai Mek Jah. Peristiwa ‘tiang telefon’ yang aku tak dapat lupakan sehingga hari ini. Sungguh menjengkelkan adik beradik dan sanak saudara yang lain. Semasa aku memasuki kursus matrikulasi di UM tahun 1988, emak bercadang memasukkan telefon ke rumah. Pada masa itu susah benar mencari rumah yang ada telefon. Emak mahu masukkan telefon supaya senang aku berhubungan dengan keluarga di kampung. Dah naik tebal muka mak menggunakan telefon di rumah orang. Emak minta kebenaran dari Mek Som untuk tanam tiang telefon di sempadan tanahnya. Mek Som setuju. Pada hari TNB datang untuk menggali tanah dan menanam tiang, tiba-tiba tercegat anak lelaki Mek Jah, mengamuk pada mak.

“Tak boleh tanam tiang kat sini. Nanti susah kakak nak beli kereta sebab tak boleh bawa kereta masuk depan rumah.”


Mak mengucap dua tiga kali. Mana nak letak muka depan pegawai-pegawai TNB.

“Aku dah minta kebenaran Mek Som. Ini tanah Mek Som. Bukan tanah mu!” Mak membalas.

“Saya tak peduli, Kak Yam tak boleh tanam kat depan tanah saya”


Emak mati akal. Tak guna bertekak dengan budak. Mek Jah dan suaminya senyap sunyi di dalam rumah. Mek Som pula tidak menunjukkan muka. Nasib baiklah emak saudara emak menawarkan tanahnya. Tapi emak tidak pernah berdendam. Selepas beberapa ketika berbaik semula dengan Mek Jah. Maklumlah sepupu dan tinggal berdekatan. Dari kecil membesar bersama. Tapi emak juga selalu berpesan pada kami anak-anak. Katanya cukup susah untuk hidup tanpa harta tanpa wang. Orang akan menindas dan tidak malu untuk menganiayai kita. Itulah pesan emak. Orang tidak berpelajaran dan tidak berharta, dianggap seolah sampah. Kerana itulah juga, emak bersusah payah membeli tanah dan membina rumah yang agak selesa dengan duit jualan padi dan gaji arwah abah.


Keadaan kami sejak kecil tidak sesenang sekarang. Semasa aku dan lima lagi adik beradikku bersekolah, aku semasa darjah enam pernah memakai baju seragam yang koyak dipunggung. Walaupun dijahit tetapi koyakan yang besar itu begitu ketara. Semasa itu hanya aku yang memakai pakaian carik yang berjahit. Kerana kesusahan emakku semasa muda juga emak seolah dipinggirkan. Acap kali sepupu emak dari KL semasa balik bercuti hari raya, tidak bertandang pun ke rumah kami. Kadang-kadang emak mengungkit. Katanya semasa kecil arwah abahku yang menggendung mereka ke sekolah dengan motosikal. Sekarang dah kerja di KL, walaupun cuma kerani, sudah tidak ingat jalan ke rumah emak. Sedangkan sepupu yang sama sanggup pula ke rumah Mek Jah yang kaya raya itu.


Emak juga selalu berpesan jangan tamakkan duit sehingga makan duit orang. Kata emak tiada jalan singkat untuk hidup senang. Jangan mencuri dan jangan bercakap bohong. Keturunan emak dan abah tiada yang menipu dan berbohong. Ya betul, kerana itulah agaknya hingga sekarang adik beradikku tidak pernah berebutkan harta emak atau abah yang sedikit itu. Bahkan abang ku yang pernah menagih berbelas tahun itu pun tidak pernah menipu abah dan emak serta adik beradik yang lain. Tapi memanglah semasa abang ku ‘aktif’ menagih, pembohongan abang merupakan perkara biasa. Untuk duit seorang penagih dadah akan berbuat apa sahaja. Abang ku tidak terkecuali. Tetapi mujurlah abang ku belum sempat ke tahap menampar dan mencederakan kami sekeluarga. Syukurlah.


Aku masih ingat emak menitiskan air mata apabila suatu hari sepupu emak yang membuka klinik sendiri di Kuala Krai memberitahu. Kata Ayah Cik, dia pernah melawat jenazah seorang nenek di pendalaman Kuala Krai. Lehernya hampir putus dihayun parang olah sang cucu yang dibela sejak kecil, gara-gara tidak berduit untuk memberi duit yang diminta cucu. Di leher nenek masih tersekat ubi kayu rebus yang tak sempat ditelan. Bukan Emak sahaja yang menitiskan airmata tetapi masih ku ingat aku, Angah dan adik bongsuku Su turut menangis senyap-senyap.


Aku menelefon Su di Melaka dan meminta Su menghantar duit ke kampung. Hanya sebulan selepas itu baru aku dapat menghantar duit ke kampung. Menurut kakak, emak terpaksa berjimat cermat untuk beli ubat-ubat. Mak banyak penyakit. Kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Ayah telah meninggal dua tahun lalu. Maka emak yang seorang ini perlu dijaga dari segi material dan perasaannya.


Semasa ayah meninggal aku dan adikku, Su tak sempat menatap wajah ayah. Selepas mendapat panggilan telefon mengatakan ayah diserang strok, aku menelefon Su dan minta dia datang ke Tempat Rehat Lebuhraya Utara Selatan di Nilai. Dari Mantin aku dan suami menuju ke Nilai dan menunggu Su di sana. Kami bertolak dengan kereta setelah hampir malam dan sampai di Kota Bharu pukul lima pagi esokya. Yang menunggu kami adalah jenazah ayah yang terbujur kaku. Masih ku ingat bagaimana langkahku terhenti sebaik melihat tabir hitam yang menutup separuh dari ruang tamu rumah ku. Aku tidak terus menuju untuk melihat jenazah ayah. Aku cuma duduk di kaki ayah dan cuba mengawal perasaan. Kakak pula sebaik melihat wajah ku mula mengalirkan air matanya. Air mata kakak yang telah berhenti, mengalir kembali melihat wajahku. Su terus meluru pada jenazah dan membuka penutup muka. Dia mencium muka ayah dan wajahnya kebingungan. Aku dan adikku itu paling menyayangi ayah. Jika berlaku pertengkaran ayah dengan emak, aku dan adik akan membela ayah dan melawan kata-kata emak. Kerana itu perasaan aku dan adik mestinya telah diketahui oleh Kak Linda dan emak.


Anak-anak kecilku kubiarkan tidur di bilik. Anak-anak saudara pula di bilik yang lain. Aku dan adikku, Su terus membaca Surah Yasin untuk arwah ayah sehinggalah jenazah ayah disembahyangkan. Kematian ayah begitu mengejut. Namun arwah semacam tahu hari kematiannya. Dia pernah beritahu kakak dia mungkin akan mati tidak lama lagi. Seminggu sebelum kematiannya, setiap hari arwah berpakaian baru pergi ke rumah kakak ku, Kak Nani, anak emak dengan suami terdahulu dan berbual-bual dengan kakak.

Dia ke kedai kopi dan meminta maaf sambil berjenaka pada rakan-rakan yang sentiasa bersamanya di kedai kopi.


Yang paling menyayat hati ku, pada hari kematiannya dia memberitahu emak, dia mahu beli telur masin. Katanya kalau anak-anaknya yang jauh pulang, kalau tak ada lauk ayam atau daging, boleh makan nasi dengan telur masin. Dan dua hari selepas kematian, telur masin yang dibeli arwahlah yang menjadi lauk kami. Arwah ayah seorang yang lurus. Dia tidak marah kalau orang tidak memulangkan duit yang dipinjamkannya. Dia tidak dapat menangkap samada seseorang itu menyindir atau bergurau. Walaupun dia ada kelemahan sebagai seorang manusia, dan semasa muda tidak rapat dengan anak-anak, tapi kenangan aku dengan arwah tiada yang buruk. Aku tidak pernah dimarah.



Kakak pernah dimarah dan ditengking kerana memakai seluar jeans, tapi ayah hanya memandang semasa aku pulang dari universiti dengan berseluar jeans. Tahun 1988 hingga 1990 aku belajar di Ambang Asuhan Jepun, sebelum belajar ekonomi di Universiti Hiroshima. Pernah kakakku berkata, kalau anak yang masuk universiti buat apa pun tak apa. Aku tersenyum sahaja. Aku masih ingat aku di sekolah memang bercita-cita ke universiti. Hingga kawan lelaki sekelas yang ingin bercinta pun ku tidak endahkan. Tapi berbeza dengan Kak Rosnah dan Kak Linda, mungkin kerana wajah yang cantik, sentiasa menjadi rebutan di sekolah. Gara-gara Kak Linda, dua orang kawan lelakinya dibuang sekolah kerana bergaduh berebutkan Kak Linda. Kak Rosnah pula tidak kurang hebat menolak cinta anak Datok kerana ingin bercinta dengan kerani. Kak Linda dan Kak Rosnah mempunyai perawakan dan perangai yang berbeza. Kak Linda putih gebu, seperti kapas. Kak Rosnah pula hitam manis persis Kajol heroin Bollywood. Tapi itu cerita lama. Sekarang masing-masing sudah gemuk. Sudah tidak menjaga kecantikan lagi. Kak Rosnah amat selekeh. Kak Linda pula walaupun selalu bermekap dan berkemas tetapi sangat gemuk hingga mendatangkan kebimbangan emak.


“Baliklah ke kampung kalau dapat cuti. Emak tu dah tak lama lagi. Nanti kalau ada apa-apa menyesal.”

Itulah panggilan kedua dari Kak Linda selepas beberapa bulan panggilan pertama. Sebagai pensyarah bukan susah untuk ku memohon cuti. Aku mengambil cuti seminggu dan pulang bersama suami dan anak-anak serta Su, suaminya dan anaknya.


Memang benar emak sakit. Penyakit kencing manisnya telah menular ke buah pinggang. Emak tidak mahu ke hospital. Dia berkeras mahu mati di rumah itu seperti arwah ayah. Tiada siapa boleh mengubah keputusan emak, termasuklah abangku, anak lelakinya seorang.


Su yang bekerja sebagai guru sekolah menengah terpaksa pulang semula ke Melaka setelah cutinya habis. Suami dan anak-anakku juga pulang bersama Su suami isteri. Walaupun emak sakit, dia masih boleh berjalan dengan dibantu oleh kami. Namun sakitnya tidak juga beransur baik. Dan Su mahu pun aku tidak juga menjangka ia akan semakin buruk.


Setiap hari ada saja orang datang menziarahi. Emak menghabiskan sedikit wang yang tinggal untuk membeli ubat-ubat kerana emak tidak mahu meninggalkan ibadah puasa. Emak tetap bangun sahur dan cuba menelan makanan yang ada. Namun oleh kerana emak sudah tidak mampu menelan makanan dan meneguk air, dengan separuh rela emak tidak lagi meneruskan ibadah puasa. Semasa itu setiap makanan yang ditelan, dimuntahkan balik oleh emak, walaupun yang ditelan itu cuma beberapa biji nasi air.

Setelah sepuluh hari di kampung, emak tidak menunjukkan tanda-tanda dia akan meninggalkan kami. Kami menganggap itu sakit biasa kerana sebelum itu pun kadang-kadang apabila kencing manis emak sudah terlalu teruk, emak tidak mampu berjalan kerana sakit, luka dan nanah di kaki. Sebelum itu pernah emak terpaksa menelan cicak goreng yang telah ditumbuk dan dimasukan ke dalam kapsul supaya nanah cepat kering dan daging baru tumbuh di kaki emak. Abangku dan isterinya melastik cicak dan menyiang cicak sampai termuntah-muntah. Bila emak bercerita mengenai kapsul cicak dan perbuatan abang dan kakak iparku, aku dan adik beradik yang lain ketawa terbahak-bahak. Dalam hatiku tergetus, “padan muka! Dulu selalu sakitkan hati emak dan buat emak menangis…”


Angah, adikku yang tinggal bersama emaklah yang menjadi jururawat, membersih, membubuh antiseptik dan menukar pembalut luka emak setiap hari. Angah juga yang berjaga saban malam menemani emak dan melayan kesakitan emak. Aku tidak dapat menjaga emak sepenuh hatiku. Anak kecilku yang baru berumur setahun ketika itu tidak boleh berenggang. Waktu malam jika aku bangun untuk menjenguk emak, anakku Farah akan terjaga dan menangis. Jadi terpaksa ku dukung dan bawa bersama menjenguk emak.


Ketika itu, emak memang tiada selera untuk makan. Selera emak sudah hilang. Air terpaksa diteguk sedikit demi sedikit. Nasi tidak boleh ditelan. Makan beberapa suap emak akan muntah. Emak cepat naik darah. Emak sakit dan lapar tetapi tekak mak sudah tidak mampu menelan sebarang ubat atau makanan. Kadang-kadang emak berleter pada anak-anak termasuklah padaku. Minuman dan masakan yang kami buat ada sahaja yang tidak kena. Air teh terlalu tawar. Bila tambahkan gula, emak kata terlalu manis. Bubur nasi yang ku buat mak tidak boleh telan. Emak kata emak mempunyai anak yang ramai tetapi nak buat air teh seorang pun tak reti. Sebagai anak, kami hanya memekakkan telinga sahaja. Aku tidak pasti samada kami adik beradik tidak tahu membancuh teh atau memang selera emak yang tiada. Waktu itu bulan puasa. Kami berpuasa dan tidak dapat merasa apa-apa minuman dan masakan untuk emak. Kata Ayah Cik, penyakit emak telah menular hingga ke otak. Itu yang membuatkan emak tidak berselera. Dua tiga hari sebelum meninggal, emak ingin memakan ubi. Abang membeli ubi keladi, ubi keledek dan ubi kayu. Namun secubit yang ditelan secubit juga emak muntahkan balik. Aku begitu sedih. Ubi memang kegemaran emak. Namun apa daya tiada upaya untuk badan emak menerima apa-apa makanan kecuali air.


Akhir sekali, emak meracau. Emak memanggil ibunya yang meninggal dunia sewaktu emak masih kecil. “Mak! Mak! Adoi sakitnya mak!” Aku cuma mampu mendengar. Aku tidak dapat berkongsi kesakitan dan kepedihan emak. Ibu saudaraku iaitu adik ipar emak berkata padaku, “biasanya kalau dah memanggil ibu yang telah tak ada, hayat emak tidak lama.” Aku diam.


Emak mula membuang najis berwarna hitam. Selama tiga hari berturut-turtut emak mengelaurkan najis berwarna hitam, seperti najis bayi yang baru lahir. Melihat keadaan itu, aku merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Aku tidak tahu kenapa namun hatiku amat hiba ketika itu. Kata emak, “kalau orang sakit keluar najis macam tu, orang kata nak mati.” Pernah juga emak berkata “sakitnya mak nak mati.” Apakah yang boleh ku jawab? Untuk menenangkan emak, aku cuma berkata sesiapapun sakit ketika mahu menemui ajal. Emak diam dan aku turut terdiam. Sakitkah hati emak aku berkata begitu? Aku cuma ingin menenangkan hati emak. Sehingga kini aku masih berfikir samada kata-kata itu menghiris hati emak.


Malam itu aku bermimpikan arwah ayah. Ayah diam dan cuma memandang aku tanpa berkata. Terjaga dari mimpi, aku bangun melihat jam. Sudah pukul 12:30 malam. Aku bangkit dan terus ke bilik emak. Angah, abang dan kakak mengelilingi emak yang duduk di birai katil. Kakak menyapu dada emak dengan minyak Mestika. Abang pula memegang emak. Angah duduk di kaki emak. Ya Allah! Aku sudah merasakan ini sesuatu yang buruk. Mimpi berjumpa arwah ayah dan keadaan emak yang tercungap-cungap. Bila abang keluar bilik untuk seketika, aku bertanyakan abang samada perlu ku telefon Kak Linda di Kuala Krai dan Su di Melaka. Abang ku tidak benarkan. Pada pukul 2:30 emak meminta duduk di lantai. Dia masih sesak bernafas. Abang menyuruh aku menelefon adik dan kakak. Pukul tiga pagi emak menyuruh abang memberitahu semua sanak saudara tentang keadaan emak. Aku, Kak Linda dan adik mula menitiskan airmata. Tidak ku sangka begitu cepat keadaan berubah. Emak memanggil ku duduk di sisinya. Kata emak, tolong guna wangku untuk pengebumian dan majlis tahlil emak. Ambil gelang emas emak sebagai cagaran. Taukah emak wang untuk emak tidak perlu emak gusarkan? Aku boleh keluarkan tanpa meminta sedekah dari adik beradik yang lain. Aku tak perlukan gelang emak sebagai cagaran. Emak berpesan agar aku menjaga abangku. Ya, abangku. Anak kesayangan emak dan selalu menjadi kebimbangan emak. Dari kecil hingga beranak pinak abangku masih panas baran dan tidak mendengar nasihat. Namun hatinya jujur dan baik. Kerana itu menjadi kesayangan emak dan menjadi sanjugan aku. Aku berjanji pada emak akan menjaga abangku dan mengeluarkan wang untuk perbelanjaan kematian emak.


Aku mula membaca surah Yasin sambil menitiskan airmata. Emak tercungap-cungap dan adik emak mendekati emak dan menyuruh emak agar terus mengingati Allah. Sanak saudara yang dipanggil emak telah mula membanjiri rumah kami. Tapi abang ku hilang. Emak mencari-cari abang. Abang menaiki motosikal menjemput Kak Nani. Emak berkata, “Mana Man? Mana dia pergi? Budak-budak ni tak reti!” Maksud emak, abang tidak tahu menilai bahawa emak akan pergi mengadap Ilahi. Bila abang sampai, terus abang ke tempat emak. Abang merangkul emak sambil mengajar emak mengucap. Abang mengulang-ngulang sambil menahan tangisan. Aku memandang dada emak yang bergelombang, mendengar nafas emak yang tercungap-cungap. Aku tetap membaca Surah Yasin sambil menahan tangisan dan sesekali menyapu linangan air mata. Hanya sekejap sahaja. Emak telah kembali ke Rahmatullah. Abang menangis. Aku menangis. Tapi Angah yang selalu bersama arwah emak menangis sambil terhingguk-hingguk bahunya. Aku mendakap bahu Angah dan memujuk tetapi esakan Angah menjadi bertambah kuat. Emak menghembuskan nafasnya di dalam dakapan abang dan semasa ku bacakan Surah Yasin padanya. Ya Allah! Begitu pedihnya hati sewaktu melihat kematian emakku! Pertama kali seumur hidupku aku telah menyaksikan orang yang amat ku sayang meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya


Wang baki simpanan emak, sedekah jiran-jiran dan kawan-kawan, pemberian aku dan Su cukup untuk menyediakan keperluan jenazah emak dan majlis tahlil selama lapan hari. Gelang emas besar milik emak ku berikan pada Kak Linda, seutas cincin emas ku berikan pada Kak Nani, dan cincin emas yang ku hadiahkan pada emak menjadi milikkku dengan persetujuan adik beradikku yang lain. Sebelum meninggal emak telah mewasiatkan tanah-tanah miliknya dan arwah ayah pada setiap anak-anak. Bagiku tiada apa yang lebih penting selain daripada keharmonian anak-anak emak. Sebelum berangkat kembali bertugas aku mengambil sehelai kain tudung dan sehelai kain sembahyang yang ku hadiahkan dan dipakai oleh emak sebagai kenang-kenangan. Aku juga mengambil saki baki ubi keladi yang tidak habis direbus untuk ku buat kenangan. Hajatku ingin ku tanam di tepi rumahku sebagai kenang-kenangan.


Berbeza dengan arwah ayah, arwah emak seorang yang panas baran tetapi pandai dalam berjimat-cermat serta berpegang kuat pada prinsipnya. Dia tidak mudah menyerah kalah. Kerana kepandaian emak menyimpan duit dari sawah dan kebun serta wang gaji arwah abah, emak boleh membina rumah yang selesa, membeli tanah sawah, dan membina rumah untuk Abang dan Angah. Emak juga telah menolong Kak Rosnah membina rumah di sebelah rumah emak.


Setelah ketiadaan emak, kehidupan ku berjalan seperti biasa sehinggalah pada suatu hari aku terjumpa cebisan kata sayang yang pastinya bukan tulisanku dari saku seluar suamiku. Aku terduduk. Tiada apa yang dapat ku buat lagi. Kesetiaan aku sebagai isteri telah digadai hanya dengan cinta seorang perempuan lain. Perkahwinan yang berdasarkan percintaaan ini menghadapi dugaan setelah usia perkahwinan hampir mencapai sepuluh tahun. Bagiku sepuluh tahun berlalu begitu cepat. Anak sulung yang berada di tahun tiga dan dua anak yang masing-masing berumur empat tahun dan dua tahun. Kesibukan kerja dan kesibukan melayan kerenah anak-anak menjadikan aku lupa tugas ku melayan suami. Suami ku mencari layanan di luar dan membiarkan aku seperti orang gaji. Aku membiarkan sahaja tindakan suamiku. Aku takut menghadapi kenyataan jika suami ku meninggalkan aku. Tidak ku ceritakan masalahku pada sesiapa pun. Sesekali Mak Yah, orang gaji bertanya khabar melihat aku yang sering termenung dan Hadi yang selalu lambat pulang. Namun, aku tidak ingin menyulitkan keadaan Mak Yah. Masalah itu ku tanggung sendirian. Namun secekal mana aku cuba berpura-pura untuk berlagak selamba di depan anak-anak dan Mak Yah, acap kali juga air mata seolah ingin merembes keluar. Dan aku terpaksa ke bilik tidur dan menangis sendiri.


Suatu hari, aku menerima panggilan dari seorang wanita, jurutera di tempat kerja suamiku. Aku masih ingat suara dan kata-kata perempuan itu.

“Kakak, boleh tak kakak izinkan suami kakak kawin dengan saya? Saya dah tak tahan bercinta senyap-senyap macam ni.”


Suara yang dituturkan kedengaran lembut dan perlahan. Namun yang nyatanya aku pada ketika itu tersa diri seperti tidak berharga. Seolah aku pula yang menghancurkan kebahagiaanya. Kurang ajar! Sesenang itukah dia meminta izin untuk kawin dengan suamiku. Sudah nyata, sudah terang lagi bersuluh. Suami yang dicintai telah menduakan aku. Selepas mendapat panggilan dari wanita itu, suamiku mula menjauhkan diri. Apakah sebenarnya yang diinginkannya? Dia telah berlaku curang pada ku dan dia tidak membuat apa-apa penafian dan tindakan. Aku hanya dibiar seperti kain buruk di rumah. Tidak ditegur dan disapa. Besarnya dugaan ini. Tidak pernah aku dengar dari arwah emak atau dari arwah ayah, mereka bertengkar kerana orang ketiga. Inikah dugaan yang terpaksa aku dan anak-anak lalui?

Aku boleh berdiam diri dan berpura-pura tidak mengetahui apa-apa jika perempuan itu tidak menelefon ku. Tetapi jika perempuan itu sudah berani mengaku terang-terang kenapa pula aku harus berdiam diri? Lemah sangatkah diri ku ini? Aku meninggalkan bekas kekasih ku hanya untuk bersama Hadi. Walau pun Hadi tidak ku cintai sepenuh hati pada mulanya, namun selepas berkahwin aku akur bahawa sememangnya dia lebih baik dari setiap lelaki yang ku kenal. Kerana itu aku belajar untuk lebih mencintai dan menerima kekurangan dirinya. Dia juga menerima sikap panas baranku dan kelemahan ku seadanya. Dan kini, hanya kerana seorang perempuan, sanggupkah dia meninggalkan aku dan anak-anak?


Suatu malam aku memberanikan diri meminta penjelasan dari suamiku. Dia hanya diam. Dia mengaku dia mencintai wanita itu. Dan niatnya memang untuk memperisterikan wanita itu. Bila ditanya dimanakah kedudukan ku ketika itu dihatinya, dia berkata dia masih menyayangiku dan anak-anak. Aah! Gila! Mana mungkin ku terima kata-kata sebegitu. Hadi, mana mungkin kau dapat berlaku adil antara aku dan dia? Mana mungkin kau dapat membahagiakan aku dan anak-anak jika kasih telah terbelah dua? Rengekan isteri baru mu tidak mungkin kalah pada rengekan anak-anak yang perlukan kasih sayang mu. Dan aku tidak mungkin dapat bersaing pada perempuan yang muda bergetah sedangkan diri ku telah berusia hampir 35 tahun. Dan aku tidak secantik mana walaupun sebelum bersuami pernah menjadi kegilaan lelaki. Aku tidak pandai mengemas diri, aku tidak pandai bersolek dan tidak juga pandai melayan tidurmu.


“Abang sayangkan Sarah, masih dan akan tetap sayangkan Sarah… tapi abang sudah terlanjur jatuh cinta pada dia. Maafkanlah abang.”

Senang dia menuturkan kata maaf. Apakah dia menganggap semudah itu dia meminta maaf? Semudah dia jatuh cinta? Adakah dia menganggap semudah itu juga aku akan memaafkan dirinya dan menerima segalanya dengan hati terbuka? Sakit rasa hati. Pedih di sanubari. Ke mana perginya ucapan cinta yang dulu? Sumpah untuk setia dan bahagia sepanjang hayat bersamaku?


Aku membuat keputusan nekad. Ku tinggalkan rumah buat sementara waktu. Ku beritahu Mak Yah aku terpaksa menghadiri seminar seminggu di Terengganu. Ku bawa hati yang lara ke Terengganu. Menyusuri pantai di Pantai Abang, leka dengan keindahan alam tidak mengubat keperitan hidupku. Aku menangis dan menangis. Kerisauan tentang nasib anak-anak seringkali menerjah masuk ke benakku. Wajah-wajah anak kecil bermain di persisiran pantai bersama ibu dan bapa masing-masing melekakan aku. Suatu waktu dulu, aku, suami dan anak-anak pernah mempunyai saat-saat manis itu. Kebahagiaan yang terpancar di hati kami seolah-olah kamilah sebuah keluarga yang lengkap dan bahagia. Namun sekarang, kebahagiaan itu seperti tali menjerut leherku. Setiap kenangan manis bersama suami hanya membuatkan airmata ku lebih banyak tumpah.


Mana mungkin ku lupa senyuman manis suamiku tatkala aku selamat melahirkan Farah, anak perempuan seorang. Farahlah yang sering menjadi pengubat hati aku dan suami. Keletah Farah yang panas baran itu membuat abangnya Firdaus yang sulung terkekeh-kekeh ketawa. Musuh tradisi Farah, anak keduaku Farabi pula sering berebut perhatian daripada ku. Apabila ku melayan sama rata, kedua-dua akan menangis kerana kedua-dua mahukan lebih perhatian dari yang lain. Ahh! Anak, rupa-rupanya keletah mu tidak menjadikan ayahmu seorang yang lebih bahagia. Ada orang lain telah dapat memasuki ruang hati ayahmu. Dan aku tidak dapat menghalangnya.


Keputusan yang bagaimana perlu aku ambil? Berpisah secara baik? Atau bermadu? Atau memaksa Hadi meninggalkan prempuan itu? Adakah keyakinan pada diriku untuk memberi kata dua kepada Hadi supaya memilih antara aku dan dia? Pernah ku cakapkan pada Firdaus,

“Mami bergaduh dengan papa. Papa dah tak suka pulang ke rumah. Boleh ke kalau papa tak payah pulang ke rumah. Firdaus dan adik-adik duduk dengan mami je?”

Jawapan Firdaus membuat aku terdiam seketika. Betapa anak yang berumur sembilan tahun mampu berkata,

“Kalau macam tu, tak lengkaplah keluarga kita!”

Tahukah dia aku lebih-lebih lagi mahu melengkapkan keluarga ini? Supaya semua orang bahagia. Semua semua orang tidak terluka?


“Sorang je ke?” Sapaan dari seorang lelaki mengejutkan lamunanku. Aku memalingkan mukaku ke arah suara tersebut.

Terperanjat. Aku gamam.

“Tak ingat ke?”

“Ingat.” Aku menjawab perlahan dan masih memandang wajah itu tanpa berkelip.

“Makin lawa sekarang. Ingatkan tadi salah orang.” Dia tersenyum memandangku. Tentu dia mengejek aku yang kelihatan seperti muka orang ternampak hantu.

“Awak buat apa kat sini?”

Aku masih memandang tepat ke matanya. Dia yang ku kenal empat belas tahun lalu tidak banyak berubah. Badannya agak besar tetapi masih tegap dan kacak. Rambut disikat ke belakang menambahkan lagi keluasan dahinya.

“Bukan ke awak kat Sabah?”

“Ya. Sebab saya kat Sabah lah awak tinggalkan saya dan kawin dengan orang lain kan?”

Aku terkejut. Kenapa mesti diungkit peristiwa lama? Dia juga mungkin sudah berkeluarga dan tentunya bahagia sekarang.

“Maafkan saya. Tapi awak tidak boleh mengungkit. Kita sama-sama dah berkeluarga. Salah awak juga, awak tidak balas surat-surat saya. Awak di sana terus tak hantar berita pada saya. Buat apa saya tunggu awak?”

“Bergurau je lah yang. Jangan lah marah! Saya ada kursus kat sini, baru sampai pagi tadi.”

Panggilan ‘yang’ yang diucapkan membuat aku tidak keruan. Kemanisan yang ku rasai semasa remaja seolah datang menggamit semula. Indahnya saat percintaan itu. Dan pedihnya sebuah perpisahan yang terpaksa ku tanggung.

“Bila balik dari Sabah?”

Aku mengulang semula pertanyaan yang belum dijawabnya. Dalam masa yang sama cuba sebaik mungkin untuk bersikap selamba.

“Dah tiga tahun.”

Aku berhenti dari memandang raut wajahnya. Cuba untuk tidak menunjukkan raut wajah ku yang seolah menggambarkan aku masih merinduinya. Dia memandang ku tanpa kata. Pertemuan yang begitu mengejutkan, membuat lidahku kelu. Membuat dia cuma mampu memandang dengan sebuah senyuman. Aku pula sekali sekala memandang wajahnya. Selebihnya ku lemparkan pandangan pada laut yang luas terbentang… pada ombak yang mencium bibir pantai dengan tenang dan lembut.

“Saya balik ke hotel dulu, nanti kita borak lagi ya!”

Zakuan berlari-lari anak menuju ke hotel. Aku masih memandang tubuh Zakuan yang semakin kecil dan kemudian ditelan orang ramai di pesisiran pantai. Semakin kecil tubuhnya ku pandang, air mata semakin tergenang dan akhirnya tembok itu pecah. Aku menangis mengenang saat indah yang pernah ku lalui bersama Zakuan. Terseksa jiwa dan ragaku kerana Zakuan. Zakuan, jantung hatiku pada suatu ketika dulu. Cinta yang pernah ku anggap terlalu suci dan terlalu ikhlas rupanya hanya pelengkap sebuah penderitaan.


Zakuanlah lelaki pertama yang membuatkan aku mengenali dunia cinta. Aku masih ingat suatu malam semasa aku di kampung, dia menelefon dari Universiti. Katanya mahu ke kampungku. Gila! Katanya dia nak beraya di kampungku. Sedangkan tak sampai seminggu aku telah pun menjenguknya di Kolej Pertama Universiti Malaya. Aku singgah di kolej dan menumpang rakan baikku semasa di sekolah rendah semata-mata untuk menghabiskan tiga hari bersama Zakuan sebelum pulang ke Kota Bharu. Semasa itu aku pulang bercuti selama dua bulan. Cuti musim panas. Aku baru di tahun dua Universiti Hiroshima. Masihku ku ingat betapa kalutnya aku semasa memberitahu ayah dan emak mengenai Zakuan. Nasib baiklah kedua emak dan ayahku menerima Zakuan dan bersetuju Zakuan bermalam selama dua malam di rumahku. Aku masih ingat gurauan ayah. Kata ayah, Zakuan seorang yang kacak. Kalau Zakuan jatuh cinta dengan orang lain mesti aku merana. Aku cuma diam ketika itu. Namun hatiku berbaur cemburu dan bimbang.


Aku mengenali Zakuan semasa di universiti. Masa itu Zakuan berada di tahun kedua Fakulti Ekonomi dan aku berada di tahun kedua Ambang Asuhan Jepun, tahun terakhir aku di UM sebelum terbang ke Negara Matahari Terbit. Semasa mula-mula perkenalan kami aku dapat rasakan dia begitu pemalu. Melalui kawanku, dia meminta izin untuk berkwan dengan ku. Semasa bercakap melalui intercom kolej dia sentiasa tergagap dan tetapi dia sentiasa ketawa. Itu yang membuat aku tertarik padanya. Dia memang seorang lelaki yang kacak. Tubuh tinggi lampai, badan segak, berhidung mancung, berkulit putih. Tambahan pula mewakili Kolej Pertama di dalam perlawanan ragbi dan pandai pula bersilat tomoi Siam. Dia memang boleh membuat wanita tergilakannya. Kenapa dia terpikat padaku? Aku tidak pernah menyedari kewujudannya sebelum aku berkenalannya. Kehidupanku di kolej, ku habiskan di bilik, mengulangkaji pelajaran. Azam untuk ke Jepun dan tidak mahu terkandas di pertengahan jalan membuat aku lebih banyak di bilik dari di luar. Ku keluar bilik hanya untuk makan dan ke kelas. Ke Kuala Lumpur pun boleh dibilang dengan jari. Mana ku sangka ada abang fakulti terpikat denganku? Kacak pula tu! Sedangkan rakan sepengajian pun tidak menaruh minat padaku. Memang ada yang terpikat denganku. Dan aku juga ada terpikat dengan seseorang, namun ku anggap itu semua tidak penting, yang penting pengajianku.

Apa yang aku ingat sebelum Zakuan berkenalan dengan ku dia putus cinta dengan seorang rakan sekolej dan sefakulti. Setiap kali bertembung di dewan makan bekas buah hati Zakuan merenung ku tajam. Pada suatu hari sambil memegang dulang nasi dan lauk, aku melangkah ke dua kerusi yang kosong bersama rakan ku Maisarah. Terpaksa ku makan senyap-senyap kerana di depan ku rupa-rupanya adalah bekas kekasih Zakuan. Aku tidak perasankan kewujudan perempuan itu. Bila sudah duduk mengadap, mukaku berubah menjadi pucat. Mugkin kerana aku masih mentah, aku merasa begitu takut dan bersalah. Tidak dapat ku kawal keadaan apabila perempuan itu, Wani mula bercakap menyindir dengan rakan sebelahnya. Aku mula bercakap bahasa Jepun dengan Maisarah. Masa itu bahasa Jepunku tidaklah fasih sangat, tetapi kerana ingin tunjuk lagak, lintang pukang aku bercakap dengan Maisarah. Barulah bekas kekasih Zakuan mendiamkan diri dan melangkah keluar meninggalkan hidangan di meja. Bukan salahku dia sakit hati. Bila ku ceritakan pada Zakuan, dia cuma terbahak-bahak. Banggakah dia? Barulah diberitahunya bahawa bekas kekasihnya Wani, memutuskan hubungan mereka kerana lelaki lain. Setelah bercinta separuh jalan dengan lelaki tersebut, Wani ingin kembali pada Zakuan tetapi Zakuan menolak. Kata Zakuan padaku, “Zack dah berikan nasihat. Zack dah cakap lelaki itu takkan sukakan Wani. Tapi dia tak dengar. Dia nak putus juga dengan Zack. Dah putus mana boleh sambung-sambung. Lagi pun Zack dah ada Sarah, yang comel, cun, sopan, pijak semut pun tak mati.” Aku cuma tersenyum. Zakuan memandang ku penuh mesra. Dan aku terpaksa menundukkan muka. Ketika itu aku belum lagi menjadi kekasihnya yang sah. Namun sudah ada bait-bait sayang yang hadir di hatiku dan di hatinya.


Zakuan juga hampir bertumbuk dengan rakannya kerana rakannya memiliki gambar ku. Mana ku tahu Zakuan dan Kamarul berkawan. Sebelum mengenali Zakuan aku lebih dulu mengenali Kamarul. Kamarul sebaya denganku pelajar matrikulasi sains, muda dua tahun dari Zakuan. Namun aku menyepikan diri dari Kamarul bila mengetahui kakak angkat Kamarul berkecil hati kerana Kamarul berkawan dengan ku. Semasa Kamarul menghantar aku ke stesen bas Perhentian Putra, sebaik keluar dari kolej, kami terserempak dengan kakak angkat Kamarul yang berjalan menuju ke kolej. Kamarul turun dari teksi dan memberitahu sesuatu. Namun semasa di kampung, Kamarul menghantar surat, kakaknya telah memutuskan hubungan dengannya. Rupanya hubungan mereka bukan sekadar perhubungan ‘angkat’. Aku merasa bersalah yang amat. Oleh kerana semasa itu aku telah jatuh cinta pada Zakuan, maka aku membuat keputusan untuk melupakan Kamarul. Senyuman dan renungan mata Zakuan sentiasa membuatku kerinduan. Senyum nakalnya sering mengiringi langkahku. Betapa aku mencintai lelaki itu. Cinta yang tak pernah ku lupakan sehingga kini. Aku mengharapkan cinta Zakuan. Aku telah mula merinduinya. Namun tiada kata cinta secara rasmi daripada Zakuan. Dan aku juga tidak pernah mengucapkan kata cinta. Takut di kata perigi mencari timba. Cinta bertaut secara rasminya semasa di Lapangan Terbang Subang. Hari aku berangkat ke Tokyo bersama hampir seratus orang rakan-rakan untuk menyambung pelajaran di sana. Hari itu ada kesayuan di mata Zakuan. Ada kerinduan di hatiku. Dia datang membawa sepucuk surat menagih cinta. Surat itu disuruhnya ku baca dalam kapal terbang. Cinta yang dihulur membuat aku menangis kerana terharu. Sajak yang dikarang meruntun jiwa. Air mata mengalir kerana teringatkan Zakuan. Dia tentu tidak menyangka cintanya ku sambut. Dia tidak menyangka aku menerima cintanya setulus hati. Dalam sajaknya dia menganggap dirinya adalah sebuah pelabuhan, tempat aku berlabuh selepas pulang dari pelayaran. Digambarkan dirinya sebagai pipit, cuba terbang bersama enggang.


Petang, aku membeli keropok lekor dan menyusuri gigi pantai seperti dua hari sebelum ini. Zakuan datang dari belakang dan menepuk bahuku.

“Datang seorang je ke?”

“a-ah. Saja makan angin. Kenapa? Tak boleh?” Aku cuba berpura-pura selamba.

“Tak adalah. Mana suami awak? Mana anak-anak awak?”

Aku diam. Malas hendak memberitahu perkara sebenar. Aku tahu hubungan aku dan dia dah berlalu. Tak mungkin hubungan ini akan bertaut kembali. Aku takkan biarkan ia berlaku.

“Betul ke awak dah kawin?” Tanyaku.

“Dah. Dah ada anak dua. Tapi….”

“Kenapa?”

“Isteri meninggal tahun lepas. Ketumbuhan dalam otak.”

“Sorry.”

“Tak ada apa. Saya dah biasa.”

“Boleh saya tanya? Kenapa awak selepas pergi Sabah tidak menulis surat kepada saya lagi?” Aku ingin mengorek rahsia. Misteri kenapa Zakuan memencilkan diri dan menolakku. Tanda tanya yang ku simpan bertahun lama.

Zakuan terdiam. Langkahnya terhenti. Aku berpaling ke belakang mengadap tubuhnya. Aku ingin tahu. Aku inginkan kepastian. Betulkah tekaanku dia sudah mendapat penggantiku lantas melupakan aku kekasihnya. Dia yang pernah bersumpah sehidup semati dan merayu supaya aku tidak tinggalkannya.

“Maafkan Zakuan. Betullah tekaan Sarah dalam surat terakhir yang Sarah kirimkan. Zakuan jatuh cinta pada orang lain. Tapi Zakuan tidak berani nak mengecewakan Sarah.”

“Tak pa. Perkara dah lepas. Cuma Sarah nak kepastian. Sarah takut kalau Sarah buat tekaan yang salah. Zakuan kecewa dan marahkan Sarah. Itu saja.” Namun ada sesuatu yang menghiris kalbuku sewaktu itu. Ada airmata yang tergenang di mataku. Adakah Zakuan nampak air mata itu? Zakuan, tidakkah kau tahu aku pernah meraung kerana terlalu rindukan mu? Pernahkah kau tahu aku saban malam menitiskan airmata mengenangkan perbuatan mu. Sehelai demi sehelai aku membakar surat-suratmu dan air mata ku pada masa itu begitu murah nilainya. Tahukah kau menderitanya aku setiap kali aku melihat himpunan gambar-gambar mu. Lalu ku bakar gambar-gambar mu demi melupakan mu. Empat tahun bercinta denganmu. Kata-kata rindu dan cinta pada setiap helai suratmu membuatkan aku terus setia. Namun perubahan berlaku apabila dirimu berpindah ke Sabah. Surat yang sepatutnya sampai sekurang-kurangnya sepucuk seminggu tidak lagi mengunjugiku seperti selalu. Pada mulanya aku tidak mengesyakki apa-apa, namun apabila keadaan berterusan, aku menelefon mu. Aku hamburkan cinta, namun engkau seperti tidak mendengar. Engkau lebih banyak membisu. Bila ku tanya, kau cuma kata aku terikut-ikut perasaan curiga. Namun tak mungkin tekaan ku salah. Empat tahun bercinta takkan aku tak dapat membezakan perubahan mu. Bila ku minta putuskan hubungan kau bersetuju. Tidak kah kau tahu itu cuma perangkapku? Aku terkejut dengan persetujuanmu. Namun aku tidak pernah menyesal. Jika cintamu bukan milikku lagi, kenapa harus aku merayu? Aku pernah kecewakan beberapa orang lelaki kerana memilihmu, jadi kekecewaan yang ku terima ini ku anggap sebagai pengajaran.


Namun Zakuan, biar berkotak-kotak suratmu ku bakar, biar gambar-gambarmu hangus dijilat api, aku tidak dapat melupakan mu seminit pun dari hatiku. Tidak mungkin aku merayu untuk mendapatkan cintamu semula. Takkan ku jilat ludahku semula. Itu janjiku pada ketika itu. Lantas hadir Hadi yang sedari dulu menagih cintaku. Ketahuilah Hadi walaupun pernah dikecewakan olehku datang menagih semula cinta ini. Dia berjanji akan membuat aku melupakan mu. Dan benar, kebaikan hati Hadi merubah cinta ku pada mu sedikit demi sedikit. Sehingga hari ini aku tidak pernah menyesal memilih Hadi, walau pun kini cinta Hadi pula mula menipis. Ah! Kenapa ingatan tentang Hadi juga mengasak fikiranku?


Air mata tidak dapat ku bendung lagi. Bukan untuk Zakuan tapi untuk Hadi. Lama ku merenung ombak laut yang tidak bosan-bosan memukul pantai. Aku menghela nafas panjang, merenung muka Zakuan.


“Siapa perempuan tu?” Aku cuba melupakan ingatan pada Hadi.

“Perempuan mana?” Tanyanya tidak mengerti. Dia merenung mataku. Dan aku melarikan pandangan mataku ke laut.

“Perempuan yang telah berjaya merampas awak dari saya!” Nada suara ku kasar. Aku sendiri bingung. Perlukah aku berkasar dengannya? Zakuan tidak menjawab. Dia masih memandang ku. Ada getar di jantungku walau pun aku cuba berlagak selamba. Zakuan kemudian merenung laut. Ombak yang memukul pantai mungkin membuatkan dia teringatkan kenangan silam. Sudah nyanyukkah dia? Sehingga lupa kenapa dia meninggalkan aku? Aku menanti saat Zakuan membuka mulut. Ku pandang wajahnya. Dan mata bertentang mata.

“Isteri Zack yang meninggal, Arbaayah.”

“Orang Sabah juga? Cikgu macam awak juga?”

Dia tidak menjawab. Pandangan matanya cuba menjengah masuk ke dalam ruang diriku. Cuba memahami kepedihan hatiku. Ah! Memang betul dia jatuh cinta pada kali kedua dengan wanita Sabah. Cinta yang lebih tulus, yang lebih suci daripada cintanya kepadaku? Apa yang ada pada diri wanita itu? Atau adakah kerana jarak antara diriku dan dia, jarak antara dia dan wanita itu? Walau dia cuba menunjukkan simpati akan penderitaanku, takkan dapat dia memahami kepedihan hati yang telah ku lalui. Dua tahun perkahwinan aku dan Hadi aku masih menangis sendirian kerana terlalu rindu! Mana mungkin dia dapat menyelami perasaanku…


Aku tidak berdaya lagi. Suasana menjadi sepi. Aku melayan diri sendiri. Mengimbau kenangan silam. Zakuan yang ku panggil Zack. Selepas bertunang ku panggilnya abang, kini ku panggilnya awak.. Menunjukkan jauhnya hubungannya denganku sekarang.


“Kenapa Sarah menangis?” Zakuan bertanya seperti orang bodoh.

“Sarah masih sayangkan Zack?” Zakuan merenung ku tajam. Aku memalingkan muka.

“Dulu ya, terlalu sayang…… Sekarang Sarah cuma ada suami dan anak-anak.”

Zakuan berlagak selamba sambil tersenyum pada ku. Aku menjadi hairan dengan sikapnya. Kenapa perlu dia tersenyum seolah-olah mempersendakan diriku. Apa hak dia untuk mempersendakan aku? Tidak cukupkah penderitaan yang diberikannya padaku suatu waktu dulu?


“Maafkan Zack, tapi Zack kenal siapa suami Sarah, Hadi. Zack pernah terserempak dengan dia. Kawan Hadi kawan baik Zack semasa Zack di universiti. Sarah pun kenal kawan Zack tu kan, Amer, yang hitam berkilat tu?


Hati bagai dirobek. Takdir memang begitu sinis mempermainkan hidupku. Kecilnya duniaku. Jepun dan Korea ku sudah jajahi, namun dunia Universiti Malaya juga yang melingkungi diriku. Memang betul Hadi pernah bercerita mengenai Amer. Tapi tidak terlintas sedikitpun di hati ku bahawa Amer itu adalah orang yang sama dengan Amer rakan baik Zakuan. Tidak terdaya untuk memikirkan apa-apa lagi kecuali memikirkan adakah Hadi juga tahu Amer adalah kawan baik bekas tunang ku ini?


“Sarah, Zack boleh agak kenapa Sarah ada di sini. Sarah baliklah. Zack rasa Sarah masih boleh selamatkan rumah tangga Sarah. Kesiankanlah anak-anak Sarah. Sarah ibu mereka. Pada siapa mereka nak mengadu kalau ibu mereka tiada?”

“Apa yang patut Sarah buat? Hadi nak kawin dengan perempuan tu!”

Ada airmata yang tumpah. Ku kesat dengan jariku. Tidak berani untuk memandang Zakuan. Aku tidak ingin dituduh sebagai perempuan yang mengharapkan simpati. Lebih-lebih lagi dengan Zakuan. Lelaki yang telah merobekkan hatiku sepuluh tahun yang lalu. Kini hatiku dirobekkan buat kali kedua.

“Yang penting Sarah balik dulu. Kalau Hadi bawa balik Amy Nadia tu ke rumah macamana?”


Seolah pusingan bumi terhenti mendengar kata-kata Zack. Aku tidak pernah terfikirkan tindakan sebegitu dari Hadi. Namun kalau betul-betul terjadi, aku bukan sahaja hilang hak sebagai isteri tetapi sebagai seorang ibu juga.


“Nama perempuan tu Amy Nadia?” Aku bertanya bodoh.

Zakuan mengangguk, “ Sarah, pujuklah Hadi baik-baik”

Zack memegang kedua pipiku dan berbisik.

“Kalau Hadi tak nak terima Sarah, Sarah datanglah pada Zack. Zack masih sayang pada Sarah. Walaupun Zack berkahwin Zack masih rindukan Sarah, Zack berharap dapat jumpa Sarah. Nak minta maaf dengan Sarah. Zack berdosa pada Sarah dan isteri.” Suara Zakuan sebak. Namun tak mungkin dapat ku tunaikan permintaan Zakuan. Samada aku bersama Hadi atau sendiri selama-lama.


“Sampai saat ini Zack terpaksa tahan diri Zack. Menahan diri Zack dari mencari Sarah. Zack berharap agar rumah tangga Sarah hancur dan Zack akan menjadi suami Sarah. Zack masih cintakan Sarah seperti dulu.” Zakuan merenung mataku kembali.

Zakuan mengangkat tanganku dan mencium jari-jemari ku. Betapa nipisnya imanku tatkala itu. Rasanya aku ingin sekali rebah dalam dakapannya. Tubuh yang tegap dan sasa itu seperti memperlekehkan keimanan dan kesetiaan ku sebagai seorang isteri.

“Pulanglah. Zack takut nanti Zack tidak akan lepaskan Sarah dan biarkan Sarah tinggalkan tempat ni.”


Zakuan memeluk tubuhku. Ku biarkan sahaja. Mungkinkah aku masih sayangkan Zakuan? Aku keliru. Sudah lama Hadi tidak merangkul tubuhku. Kehangatan tubuh Zakuan menjadikan aku lupa seketika masalah rumah tangga ku. Hembusan nafas Zakuan membahagiakan diriku yang telah sekian lama memencil diri. Aku tidak rela dipeluk oleh lelaki ini. Tetapi kenapa aku tidak dapat bergerak dan lari sahaja dari pelukannya?

“I love you. I love you dear. I love you so much.” Rangkulan Zakuan terasa semakin kuat dan bau badan Zakuan menyebabkan aku semakin ingin berada lama di dalam dakapannya.

Masih ada lagikah cintaku pada Zakuan? Atau selama ini hanya berpura-pura melupakan Zakuan sedangkan hakikatnya aku masih mendambakan cintanya? Menyedari beberapa orang sedang memerhatikan perbuatan aku dan Zakuan, aku meleraikan pelukannya. Aku tatap wajahnya. Masih ada cinta di matanya. Tak mampu bertentang mata, aku menoleh ke arah laut.

“Sarah akan pulang tapi bukan sekarang. Sarah mahu ke tempat lain dulu.” Aku meninggalkan Zakuan. Ingin sekali aku untuk terus berada di dalam dakapan Zack. Ya, aku juga rindukan Zakuan. Rindu pada sentuhan Zakuan. Rindu pada bisikan cinta Zakuan. Tapi sayang tak mungkin aku dapat lupakan kecurangan Zakuan. Sebagaimana aku tak dapt lupakan kecurangan Hadi. Lelaki semua sama. Tidak cukup seorang. Seorang dia kata cinta, yang seorang lagi dia kata sayang. Malam itu aku tidak keluar dari bilik hotel kerana bimbang akan terserempak dengan Zakuan. Perasaan ingin curang dan membalas dendam pada kecurangan Hadi, serta kebencianku pada Zakuan membuatkan aku serba tidak kena. Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata.


Tiba di rumah tiada seorang pun berada di halaman. Aku senyap-senyap memasuki pintu dapur. Naik ke bilik Angah dan menerpa Angah yang tidur di katil.

“Woi bangunlah! Tidur gapo petang-petang ni?”

“Kak Sarah, bakpo balik tok ghoyak! Wat terkejut angoh jah.” Aku meletakkan beg di birai katil dan bergerak ke dapur.

Aku mencari lauk di dapur. Tiada apa yang istimewa. Ikan tongkol singgang, ulam dan budu. Ku ambil beberapa biji cili api dan ku hiris-hiris untuk dimasukkan dalam kuah ikan singgang. Meleleh air liur ku.

“Ooi, sedap ni makan nasi panas-panas dengan singgang pedas, cicah pulak ulam petai dengan budu.” Aku tersengih pada Angah. Angah cuma tersenyum.

“Makan la Kak Sarah kalau sedap. Angah makan biasa je.”

Kenyang perut, aku masuk ke bilik semula, tempat Angah baring.

“Bakpo kak Sarah balik?”

“Saja, ada kursus kat Terengganu, dah dekat dengan KB, balik je lah sini sekejap. Esok nak balik nogoghi pulak!” Aku berseloroh.

“Angah tak sunyi ke duduk rumah ni sorang-sorang?” Aku mengubah topik perbualan.

“Sunyi juga. Tapi anak-anak Kak Rosnah ada. Tak lah rasa sangat.”

Rumah pusaka itu diapit oleh rumah rumah Kak Rosnah dan rumah Abang Man. Jadi Angah tidaklah terasa sunyi walaupun keseorangan di rumah besar itu. Rumah Angah pulak depan rumah pusaka. Tapi Angah pergi rumahnya masa nak mandi sahaja. Anak-anak buah selalu datang menjenguk Angah atau menonton tv bersama Angah di rumah besar itu.


“Angah tak nak duduk dengan Kak Sarah Ke? Dengan Su ke?” Aku cuba memancing.

“Abang Man tak bagi. Lagipun, Arwah tinggalkan rumah ni untuk kito. Rumah baru pun Angah tak terjaga juga, kalau Angah pergi macamana dengan rumah ni?” Aku bersetuju. Aku tahu sejak dari awal lagi arwah emak amanahkan rumah pusaka pada Angah. Angah belum bersuami. Jadi sengaja emak berikan rumah tersebut pada Angah supaya tidak menumpang adik beradik atau orang lain. Kalau kami adik beradik pulang beraya di kampung, Angah boleh melarikan diri ke rumah barunya.

“Nanti kalau bosan duduk sini, telefon je, Kak Sarah datang ambil. Ok?” Pesanku.


Aku dan Angah berjalan bahu membahu ke kubur arwah. Ku cuba mencari rumput-rumput di pusara emak dan ayah tapi tiada sehelai pun. Kak Nani tinggal berdekatan kawasan perkuburan itu. Mungkin Kak Nani, atau mungkin juga Angah, Kak Rosnah atau Abang Man. Aku dan Angah sama-sama membaca Surah Yasin untuk kedua arwah emak dan ayah. Air mata yang merembes dari kelopak mataku cuba ku tahan namun gagal. Dan kerana terpengaruh dengan keadaan ku, Angah turut menangis.  


Semasa emak dan abah meninggal, aku tidak sempat memohon ampun dari mereka. Kini yang ada cuma dua batu nisan dan tanah perkuburan. Betapa besarnya dosaku pada mereka. Aku memang suka melawan cakap. Kini setelah aku kehilangan mereka baru ku tahu betapa besarnya kasih sayang dan pengorbanan mereka pada ku. Dulu aku masih mengungkit kisahku ditinggalkan di Kota Bharu sedangkan mereka bersama kakak-kakak, adik-adik dan abangku berada di Kuala Krai. Namun baru ku sedar kini, aku berjaya dalam hidupku kerana kesengsaraan yang ku tempuh masa remajaku. Kini tiada siapa untuk mengadu. Hadi pula walaupun masih menjadi suamiku dia telah membelakangkan aku dan anak-anak. Dulu bermati-matian aku mempertahankan Hadi di depan emak. Kini aku merasa malu pada diri sendiri. Sungguhlah orang tua terlebih dahulu makan garam. Cuma aku yang tidak memahami atau pun juga aku yang tidak ingin memahami.


Jika arwah masih hidup tentu aku dimarah kerana meninggalkan anak-anak. Tentu arwah emak akan berkata,

“Suami boleh dicari, tapi anak-anak tiada galang gantinya.”

Arwah emak selalu berkata jangan percayakan seseorang seratus peratus. Jadi jika kecewa tidaklah sampai kiamat dunia. Emak selalu berpesan jangan terlalu menyayangi seseorang, bila benci tidak akan terlalu benci. Jangan terlalu benci pada seseorang nanti mungkin aku akan menyayangi orang itu. Itulah emak yang selalu tidak pernah penat memberi nasihat dan menceritakan asam garam kehidupan mak. Emak, semasa kau masih hidup ku anggap nasihatmu sebagai leteran semata, tetapi sejak kehilanganmu baru aku merasakan betapa berhikmahnya setiap apa yang dituturkan.


Sepanjang perjalanan menaiki keretapi dari Pasir Mas ke Seremban aku tidak dapat melelapkan mata. Keretapi Wau Ekpres yang ku naiki kerap bergoncang sehingga aku takut untuk tertidur. Sehingga pagi, fikiranku melayang kepada Hadi dan Zakuan. Dua lelaki yang ku kenal sejak aku belajar di Universiti Malaya. Dua lelaki yang mencintaiku dan kemudian meninggalkanku. Yang berbeza, seorang meninggalkan aku setelah bertunang, seorang lagi mungkin meninggalkan ku setelah mempunyai tiga orang anak bersamanya.


Sampai di Mantin, ku dapati anak-anak bermain di pondok kecil di hadapan banglo. Aku membayar tambang teksi dan bergegas berjalan dan mencium mereka. Mereka ketawa riang menyambut kepulanganku. Mak Yah kelihatan gembira melihatku. Hadi keluar dari ruang tamu melihat ku. Dia nampak terkejut tetapi memandang ku tanpa berkelip. Hadi memeluk dan mencium pipiku. Aku terkejut. Anak-anak bersorak.

“Iiiii, tak malu papa cium mami!”

Aku cuma tersenyum tawar. Apakah tujuan Hadi berbuat begitu? Berlagak seolah tiada apa yang berlaku. Aku tidak berani mengangkat muka. Wahai anak! Sekiranya kau tahu gelodak jiwaku! Namun apakan daya. Anak-anak ini terlalu mentah untuk mengetahui kebuntuan ibunya.

“Abang tak kerja ke hari ini?” Aku bertanya lembut. Hatiku cair melihat Hadi bersama anak-anak. Melihat anak yang bergurau senda bersama Hadi. Ahh! hati perempuan… Sekeras-keras kerak nasi, akhirnya lembut jua… Rindu juga aku pada Hadi rupanya. Hanya dengan sebuah senyuman daripada Hadi, sudah tertebuskah dosa yang dibuatnya?

“Tak. Abang jaga rumah. Abang tunggu Sarah dengan anak-anak.”

Hadi menjawab penuh makna. Aku melarikan diri ke bilik tidur. Aku mencampakkan beg pakaian dan membuka almari pakaian. Aku mencari kain batik dan sehelai baju T-shirt. Aku berlagak selamba walaupun hati tidak keruan dengan kehadiran Hadi yang duduk di sisi katil sambil memandang ke arah tubuhku.

“Maafkan Abang. Bolehkah Sarah terima abang kembali sepenuh hati Sarah? Abang menyesal. Sejak Sarah pergi, abang mula sedar, abang hanya mencintai Sarah seorang.”

Aku cuba menahan tangisan, namun ia terlerai juga. Pelukan Hadi semakin kuat dan airmataku semakin deras mengalir.


Keadaan menjadi pulih dan kemesraan Hadi kembali menceriakan rumah tangga ku. Aku cuba mencari masa dan peluang untuk mengeratkan hubungan kami. Dan Hadi nampaknya seperti dulu mesra denganku dan anak-anak. Ku harapkan keadaan ini berterusan. Ku cuba lupakan kisah hitam Hadi dan kumulakan hidup yang baru.


Kehilangan ku rupanya memberi tamparan hebat pada Hadi. Menurut Mak Yah Hadi tidak pergi kerja sepanjang ketiadaanku. Dia cuma menemankan anak-anak bermain dan sekali sekala menonton tv sehingga lewat malam.


Walaupun aku telah cuba memaafkan Hadi, namun ia tidak mudah seperti yang ku sangka. Setiap kali bersama Hadi aku teringatkan kenanganku bersama Zakuan di pantai itu. Aku juga teringatkan perempuan yang telah berjaya mencuri hati Hadi. Perasaan marah, sakit hati, berdosa dan bersalah, bersilih ganti menemani diri ini setiap kali ada waktu terluang.

Deringan telefon di pejabat kubiarkan sahaja. Bekerja di sebuah universiti tempatan aku diperuntukkan sebuah bilik yang agak kecil tetapi selesa untuk ku bekerja. Ku kunci pintu dan cuba memberi tumpuan untuk membaca tugasan pelajar. Jika tidak ku kunci pintu kadang-kadang diganggu oleh para pelajar yang bertanyakan markah. Kadang-kadang ada yang menelefon. Tidak pernah ku abaikan pelajarku namun ketika ada tugas yang memerlukan tumpuan dan mempunyai deadline, terpaksa ku bersembunyi dan membatu di dalam bilik. Deringan telefon mengganggu. Ku biarkan sahaja. Namun seperti cuba berlawan dengan kesabaran ku, telefon itu berterusan berdering. Ku capai gagang dan dengan nada yang agak kasar bertanya.

“Ya?”

“Kak Sarah?”

“Ya, saya. Siapa ni?”

“Amy Nadia.” Aku seperti terpempan. Rasanya seolah-olah mahu meletup dadaku.

“Ada apa awak cari saya?”

“Saya bukan nak pecahbelahkan rumah tangga Akak. Saya cuma nak Hadi berkahwin dengan saya saja. Dia cintakan saya.”

Berani dia sebut tentang cinta kepadaku. Tidak bolehkah dia mencintai lelaki bujang? Atas dasar cinta, adakah dia menganggap dia layak untuk memecahbelahkan keluargaku?

“Nadia, sebagai seorang isteri saya cakap terus terang, saya sayangkan suami saya. Dia mungkin cintakan awak. Tapi bukan senang dia nak tinggalkan saya. Sudah sepuluh tahun kami berkahwin. Saya lebih mengenalinya berbanding awak.”

“Saya bukan sengaja jatuh cinta dengan suami orang. Kalau boleh saya pun tidak mau bermadu. Tapi Abang Hadi kata dia sayangkan saya seperti dia sayangkan Akak. Saya telah cuba melupakan dia tapi saya gagal. Saya terlalu sayangkan dia.” Amy Nadia mula menangis. Perasaan marah dan sakit hati bercampur baur. Syak wasangka menguasai diri. Mereka telah tidur bersamakah? Kalau ya, apa tindakanku? Apa pula tindakan Hadi?

“Adakah awak sudah terlanjur?” Ku lontarkan juga persoalan yang selama ini bermain di benakku.

Amy Nadia meletakkan telefon. Aku tersandar pada kerusi.


Hadi, benarkah telahanku bahawa engkau telah meniduri Amy Nadia. Jika benar, malang sungguh nasibku. Jika benar engkau telah meniduri wanita itu, sanggupkah aku memaafkan mu? Mampukah aku melakukan pengorbanan itu? Aku juga tidak sanggup untuk mengetahui kesengsaraan wanita itu lantaran perbuatanmu. Wahai Hadi, semasa bersamaku adakah engkau membayangkan Amy Nadia? Air mata menitis. Antara perasaan marah, geram, terhina, hampa dan sedih, aku cuma mampu menahan tangisan. Adakah hubunganmu dengan Amy Nadia masih berterusan ketika aku mula mencari kebahagiaan bersama mu buat kali kedua?


Rasanya tidak ingin ku pulang ke rumah. Tidak ingin ku pandang walau pun cuma bayang Hadi di rumah itu. Namun apabila hari beransur senja, ketakutan menguasai diri. Selepas Maghrib aku mula merasa tidak senang hati. Kesunyian mencengkam diri. Aku tidak ingin berjumpa makhluk halus yang turut menghuni bangunan fakulti ini. Cerita-cerita ‘misteri’ dan ‘mistik’ selalu kedengaran di fakultiku. Aku mencapai beg tangan dan meluru keluar.


Aku kembali ke rumah dan melihat Hadi terbaring di katil.

“Lambat balik hari ni! Sibuk benar ke?”

Aku tidak menjawab.

“Anak-anak dah tidur, tunggu Sarah tak balik-balik. Kenapa tak telefon? Risau Abang tau tak?”

Duduk di birai katil, aku bersuara,

“Tadi Amy Nadia telefon”

Hadi nampak terkejut dan mukanya menjadi pucat. Dia nampak runsing dan aku mula tidak sabar melihat kelakuannya yang cuba menyembunyikan rasa bersalah.

“Kenapa abang tipu Sarah?” Hadi ingin memelukku namun ku tolak tubuhnya dan berdiri.

“Kenapa abang tipu Sarah? Sampai hati abang tipu Sarah macam ni…”

Suara ku makin kuat dan dan aku tidak dapat mengawal tangisan ini.

“Maafkan Abang!”

Hadi kembali memeluk ku sekuat yang mungkin sehingga aku tidak dapat menjauhkan diri dari tubuhnya.

“Abang telah cuba lupakan dia. Percayalah abang juga kesal perkara ini terjadi. Dosa dan tanggung jawab memburu Abang. Dalam masa yang sama abang masih sayangkan Sarah!”

“Mana mungkin abang sayangkan Sarah. Kalau sayang, abang tak akan jatuh cinta pada yang lain.” Hadi cuma terdiam dan aku bertambah kecewa.

“Abang dah tidur dengan dia ke?” Hadi masih terdiam.

“Jawablah! Kenapa diam?” Aku menumbuk dada Hadi. Hadi memelukku. Walau ku ingin pergi, Hadi tidak melepaskan ku.

“Abang minta maaf!” Hadi akhirnya melepaskanku. Hadi merenung lantai tidak berani memandang mukaku. Aku meraung seperti orang gila. Biarkan sahaja sekiranya raunganku didengari anak. Biar juga sekiranya Mak Yah mendengar pertengkaranku. Aku terduduk di lantai, tidak tahu ke mana ku ingin pergi. Hadi pula bungkam di atas katil sambil memandangku dengan penuh rasa bersalah. Aku tidak ingin memandang muka Hadi. Malah tidak ingin pun berada di dalam satu bilik dengannya.


Aku keluar dan menuju ke bilik tidur Farah. Farah nyenyak tidur. Memikirkan kebahagiaan kami selama hampir sepuluh tahun sungguh mendera perasaanku. Mengenang kasih sayang Hadi, aku seperti mahu minum racun tikus dan lupakan segala masalah yang melanda. Namun masih ku ingat ugamaku ini. Aku tidak ingin mati dalam murtad. Tak mungkin ku bunuh diri ku sendiri hanya kerana kehilangan seorang suami. Rasanya lebih baik ku bunuh Hadi dari membunuh diri sendiri. Aku juga tidak mahu suamiku terus berzina dan berdosa. Aku juga tau nasib Amy Nadia jika ditinggalkan Hadi. Tidur berpelukan dengan Farah sedikit membantu mengurangkan kepedihanku. Sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan mata. Mujurlah esakan ku tidak mengganggu tidur Farah. Tidak puas ku tatap wajah manis Farah yang begitu nyenyak tidur.


Aku mengambil cuti rehat seminggu. Berehat di rumah dan memikirkan penyelesaian. Jalan manakah harus ku tuju supaya semua orang dapat menggapai sedikit kebahagiaan. Pasrah! Aku mengambil keputusan untuk bermadu. Biarlah sahaja aku dan anak-anak mendapat sedikit kebahagiaan dari terus menderita dan hidup dalam teka teki. Sebulan selepas itu Hadi berkahwin dengan Amy Nadia. Majlis dibuat secara kecil-kecilan di rumah Amy Nadia di Perak. Hanya Hadi dan beberapa kawannya yang hadir ke majlis perkahwinan itu. Tentu sekali Amer turut serta. Hadi tidak pulang seminggu selepas majlis akad nikah itu. Selama seminggu juga aku menjeruk perasaan. Merasa terluka, terhina dan terseksa mengenang nasibku yang terpaksa berkongsi suami.


Hadi pulang membawa Amy Nadia bertandang ke rumahku. Tidak lama cuma setengah jam, namun waktu setengah jam itu seolah-olah begitu lama berlalu. Beberapa kali memandang jam dinding megharapkan waktu segera berlalu. Perlakuan ku rupanya menyedarkah Amy Nadia bahawa kehadirannya tidak diundang. Hadi mengambil hatiku dengan duduk lebih rapat dengan diriku berbanding Amy Nadia yang duduk di kerusi yang bertentangan diriku. Aku memandang muka Amy Nadia seperti mahu menelan tubuh kurusnya bulat-bulat. Tidak mampu bertentang mata, Amy Nadia kerap menundukkan muka dan sesekali meninjau perabut dan perhiasan rumah. Beberapa soalan Amy Nadia ku biarkan tanpa berjawab. Dan Hadi menjawab soalan untuk Amy Nadia. Sungguh pandai Hadi berlakun. Seolah-olah tidak terdapat apa-apa kekocakan di dalam benaknya. Sedangkan aku pula tidak dapat membendung perasaan kecewa, marah dan sedih. Cuba sedaya mungkin untuk berlagak biasa, namun tiada apa yang dapat ku luahkan. Apakah yang perlu ku katakan? Perlukah aku menyambutnya seperti seorang adik atau seorang kawan? Dia adalah musuhku. Dia adalah wanita yang akan sering berebut kasih Hadi denganku. Dan aku tidak mungkin menang dengan mudah. Dia seorang wanita yang lemah lembut, berkulit putih bersih, masih muda dan anggun.


Amy Nadia kembali seorang diri ke rumah sewanya. Hadi bermain-main dengan anak-anak di halaman. Aku melihat cuma. Ku sedar, anak-anak akan kekurnagan kasih sayang Hadi. Anak-anak perlu membiasakan diri dengan ketiadaan Hadi di rumah. Anak-anak begitu riang kecuali Firdaus yang nampaknya memahami pergolakan antara Hadi dan aku. Aku tak pasti bilakah masa yang sesuai untuk ku beritahu Firdaus. Aku harap aku dapat memberitahu Firdaus kenyataan pedih itu dengan hati terbuka supaya Firdaus tidak membenci Hadi dan juga aku.


Semenjak hari itu juga, Hadi masih bergilir-gilir secara adil ke rumah ku dan Amy Nadia. Namun aku merasakan seolah-olah hidup ini tidak berlaku adil bagiku. Kadang-kadang kematian emak dan abah membuatkan aku menangis di tengah malam. Dapatkah aku hidup bersama Hadi sehingga ajal memanggil ku? Dapatkah rumah tanggaku bertahan sebagaimana rumah tangga kedua ibu bapaku? Dapatkah aku mengadu sakit pening ku kepada Hadi lagi? Sampai bilakah Hadi boleh berlagak adil? Hati ini seolah-olah sudah tertutup pada Hadi. Kehadiran dan gurau senda Hadi tidak lagi melucukan ku. Kemesraan Hadi juga sudah tidak begitu penting kepada ku. Sesekali Hadi memelukku namun hati ini sudah berani memberontak. Tiada lagi kehangatan yang ku dapat rasai dari pelukan dan sentuhan Hadi. Sesekali Hadi berasmara denganku, aku hanya menitiskan air mata secara senyap. Terhinanya aku! Aku mula merasakan aku sudah tidak berguna! Tidak tahukah Hadi aku menangis setiap kali dia memeluk tubuhku ini? Dapatkah aku merelakan pelukan dan belaian Hadi sekiranya setiap saat bersama Hadi, fikiranku terganggu mengenangkan kehidupan intim Hadi dan Amy Nadia. Dapatkah Hadi rasai bahawa cinta ku padanya telah mula pudar? Cinta telah mula menipis dan aku seperti kehilangan kekuatan untuk berebutkan cinta Hadi.


Hadi, sebesar manakah cinta mu padaku? Sebesar mana pula cinta mu pada Amy Nadia? Di manakah diri mu pada waktu dulu ketika mula merayu cinta dan memujuk ku agar melupakan Zakuan? Sudahkah kau lupa janjimu pada ku untuk mencintaiku sehingga akhir hayatku? Hadi, kini semuanya tinggal kenangan. Hubungan kita tidak mungkin kembali seperti waktu itu. Setidak-tidaknya aku sudah pasrah terhadap apa jua keadaan. Biarlah diri mu bahagia bersama Amy Nadia dan biarkan aku bersama anak-anak kita. Aku ingin berputus asa. Aku tidak ingin mengharapkan apa-apa lagi. Biarkan masa yang menentukan segalanya.


Cuba melupakan kekalutan rumah tangga, aku mula menumpukan perhatian pada kerja dan sering pulang lewat. Hari minggu pula ku sering membuat aktiviti bersama anak-anak agar anak-anak tidak merasakan ketiadaan Hadi. Kadang-kadang hari minggu Hadi pulang dan sering membawa kek atau kuih muih masakan Amy Nadia untuk anak-anak. Tidak juga ku sentuh apa jua pemberian Amy Nadia. Bagiku ia tidak munasabah. Milikku Hadi telahpun diambil Amy Nadia, ia tidak mungkin dapat menggantikan apa jua yang telah ku hilang.


Sesekali aku mengenangkan Zakuan. Teringatkan hembusan nafas dan kata-kata sayang Zakuan. Aku ingin sekali berjumpa Zakuan, memeluk dan mengadu pada Zakuan. Aku mengharapkan Zakuan kembali ke sisi ku. Aku mula memasang angan-angan untuk hidup bersama Zakuan. Kejadian di pantai tempohari menyedarkan diriku, aku masih menyintai Zakuan. Sekurang-kuangnya masih ada sekelumit rinduku pada Zakuan. Kenangan manis bersama Zakuan di Kolej Pertama masih segar di dalam ingatanku. Kenangan kami berpimpinan tangan mengelilingi Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya. Sesekali Zakuan akan mengucup bibirku. Zakuanlah lelaki pertama yang merampas bibir ini. Kucupan Zakuan memang membuatku melupakan segalanya. Betapa aku merindukan hembusan nafas dan ciuman Zakuan. Mujurlah Zakuan tidak berbuat lebih dari itu. Jika tidak, aku yang masih mentah masa itu mungkin merelakan segalanya, termasuklah tubuh ini.


Sedang mengetuk papan kekunci komputer, ketukan di pintu mengganggu konsentrasi ku.

Ku buka pintu dan terpacul muka Zakuan. Aku terkejut dan melopong, tapi Zakuan cuma tersengih.

“Mana tahu Sarah kat sini?”

“Alah! Bukan payah! Surf internet, telefon ofis tahulah! Terkejut ke?” Zakuan masih tersenyum.

“Terkejut la! Masuklah dulu! Nanti orang tengok apa pula orang kata.” Aku gembira dengan kehadiran Zakuan, walaupun ketika itu aku sedang sibuk menyiapkan kertas kerja untuk satu persidangan antarabangsa.

Ku biarkan Zakuan masuk ke bilik dan menutup pintu. Aku merenungnya dari atas dan bawah. Haruman yang dipakainya menusuk hidungku.

“Kenapa datang?” Aku bertanya sambil memandang Zakuan yang mengambil tempat duduk di kerusi.

“Tak boleh datang ke? Salah ke datang menjenguk. Zack cuma nak lihat Sarah. Zack rindu!”

“Zack mana boleh macam tu...”

Zakuan diam dan merenungku. Renungan yang tak mungkin ku balas balik. Renungan itulah yang sering menghambatku di saat-saat awal perkenalan kami. Setiap kali ke dewan makan kolej, Zakuan sentiasa ada. Zakuan sentiasa menunggu waktu ku turun makan agar dia dapat makan sambil merenung dan memberi senyuman nakalnya pada ku. Senyuman dan renungan mata Zakuan nyata membuat aku hilang pedoman. Tidak sukar untuk jatuh cinta pada Zakuan. Zakuan nampak lebih matang dan bertubuh tinggi lampai. Mewakili kolej untuk pertandingan ragbi dan sukan tomoi Siam menampakkan kegagahan Zakuan. Hidung yang mancung dan bibir yang sering tersenyum. Aku sendiri pernah hairan kenapa pelajar fakulti yang menjadi kegilaan di kolej itu boleh terpikat padaku yang ketika itu pelajar Matrikulasi lepasan SPM. Di saat awal perkahwinanku dengan Hadi, aku masih rindukan senyuman dan renungan Zakuan. Kini Zakuan berada di depan ku.

“Sarah, boleh kah kita berkawan?”

“Itulah ayat pertama yang Zack katakan 15 tahun dulu. Ingat tak?”

Aku menyoal sambil tersenyum. Zakuan ketawa malu. Mukanya kemerahan. Senyuman nakalnya, suara garaunya dan renungan menggodanya. Zakuan yang gemar ketawa dan kerana dia berkulit putih, wajahnya akan kemerahan setiap kali dia ketawa.

“Pada masa itu sebenarnya, Zack bukan nak berkawan tapi nak bercinta dengan Sarah kan?”

Aku menambah dan memandang Zakuan yang masih tersengih.

“Ya, Sarah masih ingat rupanya….. Tidak kah Sarah rindukan Zack?”

“Sarah isteri orang. Kalau rindupun Sarah tidak berdaya untuk berbuat apa-apa.” Aku seperti memancing simpati Zakuan. Dalam hati terasa menyesal kerana terlanjur kata.

“Jadi Sarah juga rindukan Zackkan?”

Aku cuma diam.

“Sarah, dah dua tahun isteri Zack meninggal. Zack boleh kawin dengan sesiapa sahaja dalam masa dua tahun. Tapi Zack tidak dapat melupakan Sarah. Zack tidak dapat melupakan kenangan indah kita. Zack masih ingat setiap jalan yang kita lalui di universiti. Zack masih ingat bagaimana Sarah menangis di dada Zack kali terakhir semasa Zack hantar Sarah ke airport. Zack masih ingat setiap hembusan nafas Sarah. Zack tidak mungkin lupakan Sarah.”

“Tapi cuma sebentarkan? Selepas itu Zack mula mencari cinta yang lain. Zack begitu cepat tertawan dengan yang lain.” Aku memandang Zakuan. Hati terhiris lagi, masih terasa pedihnya diperlakukan sebegitu oleh Zakuan.

Itulah kali pertama ku lihat wajah Zack yang kelat. Sungguh! Ku tidak mampu menghalang Zakuan dari berkata-kata. Lelaki yang pernah memberi kasih sayang dan pernah mengecewakan ku separuh mati, kini mengadapku dengan wajah kelat dan pancaran mata yang kecewa. Kenapa ada debaran di dada? Kenapa aku tidak membantah kehadirannya di bilik pejabatku?

“Tidakkah Sarah ingat, selepas pertunangan kita terputus, Zack menelefon dan bertanya Sarah. Bukankah Zack bertanya, sekiranya Sarah masih sayangkan Zack, Zack akan memutuskan hubungan dengan Arbaayah dan kembali ke pangkuan Sarah? Zack mengharapkan Sarah menerima semula cinta Zack. Tapi tidak, Sarah biarkan Zack kecewa dan berkawin dengan Arbaayah, sedangkan Sarah berkawin dengan orang lain.”

Aku mendiamkan diri tidak memahami apa yang Zack mahu sampaikan.

“Kenapa Sarah? Sukar sangatkah untuk memaafkan dosa Zack pada Sarah sehingga Sarah sanggup membiarkan kita hidup berpisah?”

Zakuan bercakap seperti aku yang bersalah. Padahal perpisahan kami disebabkan kecurangannya terlebih dahulu.

“Zack, jika Sarah terima Zack pada masa itu, adakah kita akan bahagia? Sarah tidak sanggup berkawin dengan orang yang curang. Sarah setia tetapi Zack curang. Bolehkah Sarah bahagia pada masa itu sedangkan Sarah tahu Zack pernah menyintai orang lain, pernah mengecewakan Sarah?”

“Zack tidak mampu menipu diri sendiri. Zack ingin kembali pada Sarah semula setelah Zack sedar Zack tidak dapat melupakan Sarah. Arbaayah yang mendesak Zack kahwin. Sungguh! Jika Sarah terima Zack kembali pada masa itu, yang menjadi isteri Zack adalah Sarah bukan Arbaayah. Sepanjang masa perkahwinan kami, kenangan bersama Sarah tetap memburu Zack. Zack masih merindui Sarah walaupun Zack tahu Sarah sudah berkahwin.”

“Sarah tidak ingin menghancurkan harapan orang yang terlalu mengharapkan Sarah. Hadi yang telah lama menaruh hati pada Sarah. Dia kemudiannya datang memberi perlindungan pada Sarah di saat Sarah perlukan seorang teman untuk berbicara, dan untuk melupakan Zack.”

“Sarah betul-betul bahagia bersama Hadi. Betul, dulu Sarah tidak menyintai Hadi sepenuh hati. Tetapi setelah berkawin sedikit demi sedikit rindu dan cinta Sarah pada Zack hilang…” Aku menambah.

Aku memandang Zakuan. Merenung Zakuan yang tidak mampu membalas balik. Dia akhirnya menggaru kepala. Aku tersenyum sinis. Lama dia memandang simen sebelum berkata,

“Adakah Sarah masih bahagia sekarang? Walau pun dia juga mengecewakan Sarah?”

Aku terdiam. Sudah tentulah Zakuan mengetahui perkahwinan Hadi dengan Amy Nadia. Amer tentu memberitahu Zakuan segala-galanya tentang Hadi.

“Adakah Sarah bahagia sekarang?”

Dia seperti tidak berperasaan sanggup menyakitkan hatiku. Pedih kembali meragut tangkai jantungku. Air hangat mula mengalir dari kelopak mata ku.

“Maafkan Zack sayang. Zack tidak bermaksud begitu.”


Aku berdiri mengambil tisu dari meja belakang. Zakuan berdiri dan merangkul pinggangku.

“Maafkan Zack. Zack terlalu rindu…”

Zakuan menyapu air mata di pipi dengan kedua ibu jarinya. Tangannya kemudian menyentuh daguku. Dan bibirku.

Syaitan manakah yang merasukku sehingga aku memeluk Zakuan dan melekapkan muka ke dadanya. Haruman dari dada Zakuan menyentuh hidung dan aku khayal dalam pelukannya. Tangisan kembali menguasai dan Zakuan menggosok kedua-dua bahuku dengan lembut. Terasa darah hangat mengalir di setiap urat sarafku.

Zakuan kemudian mengucup bibirku dengan lembut. Betapa indahnya ku rasakan saat itu. Dosa yang mengiringi setiap kucupan Zakuan tidak ku endahkan. Ku biarkan Zakuan mengucup bibirku. Ku balas setiap kucupan Zakuan. Dan air mata yang tidak ku pasti kenapa mengalir mengiringi perbuatan kami. Zakuan memeluk tubuhku erat dan mengucup bibir ini semahunya.


Deringan telefon mengejutkan ku dan aku kembali kepada dunia nyata. Ku sapu bibir dengan belakang tanganku. Aku menolak tubuh Zakuan. Zakuan tidak berganjak. Wajah kecewanya membuat aku merasa simpati. Syaitan manakah yang telah merasukku dan menguasai Zakuan?

“Tolonglah Zack. Cukuplah!” Aku cuba mengawal perasaan. Ku capai telefon dalam keadaan aku masih berdiri dekat dengan Zakuan.

“Ya, Dr Sarah sini…” Suara ku bergetar.

“Dr, boleh datang segera. Bos nak jumpa.”

“Hari ni tak boleh, saya nak ke hospital. Emergency. Esok saya pergi jumpa.” Aku berbohong. Mana mungkin ku pergi menemui seseorang dengan mata merah dan berair. Bibirku pula tentu kemerahan dibuat Zakuan! Aku tahu tentu bos ku mengamuk kerana aku menolak untuk berjumpa. Bukan ku tidak tahu perangai Dr Nasrol. Cepat marah, tetapi cepat pula hatinya sejuk.

Tanpa memandang Zakuan aku berkata,

“Zack keluarlah, Sarah nak balik!”

Zakuan tidak berganjak. Aku hampir menangis lagi.


“Tolonglah! Sini tempat kerja Sarah. Sarah tak nak ada orang kata Sarah gatal, bermain kayu tiga.”

“Zack ikhlas untuk mengambil Sarah sebagai isteri. Zack betul-betul rindu dan cintakan Sarah. Zack akan datang lagi.” Zakuan berdiri mendekati diriku dan memelukku lama sebelum keluar. Aku kebingungan. Aku menyesal kerana membiarkan Zakuan pergi. Aku sedar aku rindukan lelaki itu!


Antara percaya dan tidak aku terduduk di kerusi. Kehangatan bibir Zack masih terasa. Gelodak jiwa masih tidak dapat ku pendam. Aku serta merta teringatkan Hadi. Aku seperti dapat memahami perasaan Hadi. Sekali terjebak sungguh payah untuk kembali. Kehangatan kucupan dan hembusan nafas Zack mengiringi diriku sehingga aku sukar melelapkan mata semalaman. Bukan pelukan Hadi yang ku dambakan tetapi pelukan Zakuan. Aku terasa sungguh hina. Hinanya diriku kerana mengharapkan pelukan lelaki asing. Sungguh hina aku tidak memikirkan keadaanku yang sudah beranak tiga. Hina diriku kerana aku telah berpeluk dan berkucup dengan penuh nikmat bersama seorang lelaki yang aku diharamkan menyentuhnya.


Ya Allah, tolonglah aku! Aku tidak mampu mengharungi cubaan ini seorang diri. Aku sudah tidak menyintai Hadi. Harapanku padanya sudah punah. Aku perlukan seseorang yang memahami hati dan perasaan ku. Tapi adakah dengan membina harapan bersama Zakuan akan membahagiakan diriku? Malam itu aku tertidur di dalam tangisan. Seorang diri. Kerana Hadi tidur di rumah madu ‘nya’.


Pagi esoknya, hari minggu dan Hadi pulang membawa Amy Nadia bersama. Masa itu aku bersama anak-anak menghirup udara segar dan melihat burung-burung yang berterbangan. Farah kelihatan begitu riang melambai pada kawanan burung yang terbang dan sekali sekala singgah di padang di hadapan rumahku.

“Apa khabar kak?”

Masih berat mulutku untuk berbicara dengan Amy Nadia. Aku hanya memberikan senyuman hambar.

“Saya datang nak bawa anak-anak jalan. Kalau akak izinkan.”

“Lepas ambil suami saya, awak nak ambil anak-anak saya pula ke?” Aku menjawab perlahan tetapi cukup jelas untuk sampai ke telinga Amy Nadia dan Hadi. Amy Nadia nampak terkejut. Aku biarkan dia terkebil-kebil di gazebo. Hati masih belum puas.

“Dulu masa nak goda suami saya, awak tak minta izin pun!”

Puas hatiku! Aku masuk ke bilik dan Hadi mengiringiku.

“Kenapa cakap macam tu? Amy Nadia cuma nak berbaik-baik dengan Sarah dan anak-anak. Takkan itu pun Sarah nak marah!” Hadi memprotes tindakan ku. Aku cuma memandang penuh geram.

“Abang juga kesiankan anak-anak. Anak-anak jarang bersama abang sekarang.”

“Kalau abang nak bersama anak-anak, abang patut lebih kerap berada di rumah. Dan lebih kerap pulang ke rumah.” Aku memperli Hadi.

Kali ini Hadi pula kehilangan kata-kata. Puas hatiku dapat menyakitkan hati Hadi.

“Abang dah ada Amy Nadia kan? Janganlah kacau masa Sarah nak bersama anak-anak. Dan, Sarah tak suka abang bawa bini baru abang kat sini!” Aku mula meninggi suara.

“Sarah, Sarah masih isteri abang dan abang masih bapa kepada budak-budak tu. Abang masih sayangkan Sarah dan anak-anak. Tak bolehkah Sarah terima kepulangan abang dengan mesra seperti dulu?”

“Apa abang cakap ni? Lepas abang curang, abang kawin dengan perempuan lain, kenapa Sarah perlu anggap segalanya baik seperti dulu?”

“Tapi sebagai seorang isteri, Sarah tak boleh bersikap dingin dengan abang. Fikirkanlah untuk kebaikan anak-anak kita.”

“Sarah tak merancang untuk bersikap dingin dengan abang. Ia berlaku secara tak sengaja. Sarah tidak dapat nak kawal perasaan Sarah. Hati Sarah sudah dingin. Sarah sudah tidak ingin berebutkan abang dengan Amy Nadia. Sarah terpaksa telan semua ni seorang diri. Tiada siapa tahu apa yang Sarah alami. Adik-beradik Sarah pun tak tahu lagi Sarah dah dimadukan.”


Aku masih memandang Hadi dengan geram. Rasa benciku pada Hadi meluat-luat ketika itu. Kenapa dia marahkan aku hanya kerana bini barunya itu?

“Abang ingin sekali berlaku adil pada Sarah dan anak-anak. Abang ingin kerap bersama Sarah. Tetapi melihat perubahan diri Sarah, abang tidak dapat lebih lama di sini. Kehadiran abang tidak diendah. Abang tidak dipedulikan.”

“Siapa minta ini semua berlaku? Siapa yang membuat semua ini berlaku? Semua ini salah siapa?”


Mataku seperti menikam tubuh Hadi. Namun air mata kerana sakit hati dan terkilan merembes keluar. Hadi berlalu dan aku masih di bilik, menangis dan merenung masa depan bersama Hadi yang tidak tentu bahagia. Kadang-kadang ingin aku meminta cerai, namun ungkapan itu terlalu takut aku ungkapkan. Apakah yang akan berlaku pada anak-anak jika aku berpisah dengan Hadi? Adakah Hadi akan memulaukan anak-anaknya sendiri? Adakah anak-anak dapat menerima kenyataan sepahit itu? Dan adakah benar aku memerlukan sebuah perceraian?


Farabi datang dan memeluk ku.

“Mama, papa nak balik! Nak ikut leh?” Tanya Farabi. Aku memeluk dan mencium kepala Farabi.

“Pergilah! Tapi balik cepat ya!”

Farabi meluru keluar mencari Hadi.

“Papa, mama cakap boleh. Jom abang kita pergi!”

Aku mengintai di tingkap. Melihat keriangan anak-anak bersama Hadi membuatkan hatiku bertambah pilu. Hadi mendukung Farah dan Amy Nadia berpegangan dengan Farabi menuju ke kereta. Firdaus cuma tersengih. Hadi kemudian memandang ke arah bilik tidurku dengan muka masam.


Terasa sungguh pedih seolah-olah hati ini disiat-siat. Aku seolah-olah sengaja dipinggirkan. Adakah aku akan kehilangan kasih sayamg anak-anak pula? Air mata ku biarkan mengalir. Mata sudah sembab dan merah yang amat. Malu untuk keluar dari bilik takut bertembung dengan Mak Yah. Aku cuma mengurung diri di bilik sehinggalah anak-anak pulang untuk tidur.


Malam, telefon bimbit berdering-dering. Ku biarkan sahaja. Namun apabila panggilan kedua mencecah telingaku aku mengambil keputusan untuk melihat nombor yang tertera. Nombor yang tidak biasa ku lihat.

“Hello? Sapa ni?”

“Zack.”

“Macamana Zack tahu nombor Sarah?”

“Adalah! Kenapa nak cakap pula.”

Aku diam.

“Zack tak boleh tidur. Zack rindu!” Ada getaran pada suara Zakuan. Ia seperti meragut tangkai jantungku. Jarum jam terasa seperti berhenti bergerak kerana debaranku.

Adakah aku turut merindui Zakuan? Aku tidak pasti. Hembusan nafas Zakuan kedengaran di telefon. Kenangan di pejabat lantas mengimbau semula dan aku mula tersentuh.

“Zack betul ke sayang Sarah?”

“Sepatutnya Sarah tahu. Tidak perlu Sarah tanya.” Zakuan seperti merajuk.

“Tapi berhakkah Sarah sayangkan Zack semula?” Kali ini Zakuan pula terdiam. Keheningan malam dan kedinginan di bilik tidur membuat aku begitu sunyi dan sepi. Lama sebelum Zakuan membalas pertanyaanku.

“Itu tidak penting bagi Zack. Apa yang Zack mahu adalah Sarah. Dan Zack pasti Sarah akan menyintai Zack seperti dulu. Zack akan buat apa sahaja agar Sarah kembali ke pangkuan Zack. Zack yakin.”

“Tapi tidak elok kita begini. Sarah isteri orang.”

“Sarah akan jadi isteri Zack.” Aku kembali diam. Tidak pasti apakah kemahuanku. Zakuan menutup telefon membuat aku tertanya-tanya tidak mengerti. Namun sepanjang malam fikiranku mengimbau kenangan manis bersama Zakuan. Ia silih berganti dengan kenangan pahit manis bersama Hadi.  Zaman remaja ku selama empat tahun ku habiskan dengan mencintai Zakuan. Aku terpikat pada Zakuan bukan semata-mata kerana ketampanannya tetapi juga kerana dia pandai menghiburkan hatiku. Tiap kali berjumpa ada sahaja kata-kata dan perbuatan Zakuan yang membuat aku tersenyum. Mungkin juga dia kerap melafazkan kata-kata sayang dan cinta membuat aku terus setia walaupun tinggal berjauhan. Cinta jarak jauh antara aku dan dia tidak membuat aku curang dan dia juga tidak pernah lalai menemaniku dengan timbunan surat-surat cintanya. Sehinggalah dia akhirnya berhijrah ke Sabah menjadi guru sambilan sementara menunggu tawaran kerja dan tawaran ke Maktab Perguruan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Tidak sampai setahun dia akhirnya menyepikan diri dan membiarkan aku tertanya-tanya kesalahan dan kekurangan diri ini.


Sepanjang empat tahun beberapa orang senior memang ingin mendekati dan menyayangi diriku. Senior Hiroshima tidak pula menaruh perasaan pada ku. Mungkin juga mereka mengetahui kesetiaan ku pada Zakuan. Masakan tidak, mereka selalu berkunjung ke rumah ku. Di atas peti televisyen ku letakkan gambar Zakuan yang kacak itu. Kadang-kadang bila rakan-rakan Zakri dan Ayin berkunjung, mereka di bawa oleh Zakri dan Ayin ke rumah ku untuk makan tengahari atau malam. Zakri dan Ayin amat menggemari mi goreng masakanku. Bila datang ke rumah tentu akan ku masak mi goreng. Dan mereka akan memuji dan makan dengan begitu berselera. Kata mereka mi goreng ku rasanya seperti mi goreng di gerai Kolej Ketujuh, Universiti Malaya. Aku cuma tersenyum bangga. Selepas kedatanganku ke Hiroshima, tiada lagi kohai dari Rancangan Persediaan Khas Jepun yang datang ke Universiti Hiroshima. Aku dianggap seperti adik bongsu selama tiga tahun. Selepas tiga tahun barulah tiga orang pelajar lelaki datang ke Hiroshima. Namun begitu aku masih ‘adik perempuan’ yang bongsu. Walaupun diusik agar mencari teman lelaki lain aku hanya tersenyum. Bagiku Zakuanlah segala-galanya.


Aku begitu merindukan suasana Hiroshima. Zakri yang sentiasa membantu, Ayin yang menghidap asma dan putus cinta, Abang Sham yang berkahwin dengan wanita Jepun, Fauzi yang banas paran, Moly yang bercinta dengan senior Yamaguchi, Kak Ita yang putih melepak dan berkahwin dengan rakan dari Universiti Hokkaido, Norma yang berkahwin dengan juniorku Stim, serta Razak dan Norudin yang kecil dan comel. Tidak lupa juga Nana, yang mengikuti pangajian Ph. d dan selalu memasak untuk kami. Pada setiap perhimpunan aku sering menjadi usikan. Zakri sentiasa menghangatkan suasana dan Nana yang mengharapkan cinta wanita Jepun sehingga kini gagal mendapat cintanya dan belum lagi berkahwin.


Masih ku ingat semasa di dalam van, semasa kami beramai-ramai pulang dari melawat Yamaguchi sambil ringogari, tiba sahaja topik perbualan menyentuh mengenai ‘balak’.

“Moly, pasal balak hang tak ikut balik?” Tanya Zakri.

“Buat apa? Dia baito!”

“Baito pun pontenglah! apa lah punya balak.”

Aku yang duduk di depan tiba-tiba menyampuk.

“Eii! Balak tu ada maksud lain, tau tak?”

Kata-kataku membuatkan semua senior ku lelaki dan perempuan ketawa bagai nak pecah perut. Saat itu barulah ku sedar, ‘balak’ juga bermaksud lain, sesuatu yang tidak ku duga sebelum ini. Hasrat ku pada ketika itu cuma menyatakan makna balak yang lain iaitu ‘kayu balak’. Aku seperti memprotes ‘balak’ di gunakan ke atas manusia. Pada ku penggunaan ‘balak’ untuk teman lelaki adalah tidak sesuai.


Dalam hiruk pikuk mereka mentertawakan ku, Zakri bertanya.

“Sarah cuba hang cakap balak apa lagi?”, diikuti dengan ketawa senior lelaki. Aku cuma tersenyum dan melihat mereka tersenyum gelihati. Sehingga kami sampai ke Hiroshima, tidak lagi aku berani membuka mulut.


Kerana kerap ke Yamaguchi dua orang sempai Yamaguchi begitu tergila-gilakanku. Walau pun mengetahui aku sudah berpunya dan dilarang oleh Ayin, Zakri dan Moly, serta rakan baikku Roaini yang menuntut di sana, Fuad dan Ujang sering menelefon. Pada mulanya Fuad sahaja yang sering menelefon, aku cuma melayan sekadar berbasa basi sahaja. Kemudian Ujang pula menelefon dan bercakap sehingga ke larut malam. Aku masih ingat lagi bagaimana, suatu hari aku cuma menjawab ala kadar segala percakapan Ujang, sehingga aku terlelap. Bila ku tersedar, mungkin juga cuma dua atau tiga minit terlelap, namun suara Ujang masih kedengaran di telinga ku. Ujang tidak sedar pun aku telah tertidur. Kedegilan Ujang yang berebutkan aku dari Fuad, walau pun sebenarnya aku tidak memilih salah seorang dari mereka, membuat Roaini berang. Roaini memberitahu ku, dia pernah memarahi Ujang. Katanya pada Ujang.

“Lelaki jenis apa Abang Ujang sehingga nak ambil mak we kohai sendiri?” Fuad setahun lebih muda dari Ujang. Tanpa diundang Ujang datang ke Hiroshima seorang diri mengajakku menonton wayang. Kerja gila! Dia sanggup menghabiskan duit dan naik shinkansen selama 3 jam untuk menonton wayang bersama ku. Itulah kali pertama aku menonton wayang seumur hidupku. Betapa tidak selesanya aku apabila menonton filem pada masa itu yang bertajuk “Sleeping with the enemy” lakonan Julia Roberts. Habis menonton dia tidak tahu arah tujuan. Kerana simpati ku jemputnya ke rumah. Beberapa potret Zakuan yang ku letakkan di atas televisyen tidak langsung mematahkan semangatnya. Aku cuma melayan sekadar tidak ingin dianggap biadap. Aku banyak senyap berbanding bercakap. Akhirnya dia meminta diri untuk pulang pada hari itu juga ke Yamaguchi.


Aku sedar, baik Ujang atau Fuad bukan sebenarnya menyintai ku. Kekosongan tanpa seorang pun teman wanita mungkin menyebabkan mereka menaruh minat pada ku. Empat tahun memang waktu yang sukar dan lama bagi seorang pelajar di negara asing. Tanpa keluarga, tanpa teman berbicara kesunyian kadang-kadang boleh mendesak seseorang untuk mencintai seorang yang lain. Anehnya aku ketika itu tidak pun berniat untuk bermain kayu tiga. Aku setia bersandarkan potret dan surat-surat cinta Zakuan. Membaca surat-surat Zakuan membuatkan aku senyum seorang diri, ketawa dan kadang-kadang aku menangis kerana terlalu rindu. Pernah juga Zakuan menuduhku curang apabila surat ku lambat sampai di tangannya. Bukan lama cuma seminggu sahaja jarak dengan surat terakhir ku. Namun kemarahan Zakuan begitu besar sehingga dia menuduhku telah melupakannya. Betapa aku menangis mengenang sikap Zakuan yang seolah tidak pernah tahu aku begitu menyintainya. Kelewatan surat itu memang di luar jangkaan ku kerana aku biasanya menulis surat pada nya dua tiga kali semingggu.


Kini setelah lebih sepuluh tahun berlalu, Zakri dan Ayin telah menjadi pegawai utama sebuah syarikat pembuatan kereta nasional, Moly bekerja sebagai setiausaha kepada seorang pengarah urusan berbangsa Jepun, Normah sebagai pensyarah di Uitm, Kak Ita juga bekerja di sebuah syarikat Jepun, Nana sebagai profesor di Universiti Malaysia Sabah dan aku juga turut menjadi seorang pensyarah ekonomi di Universiti Putra Malaysia. Tidak ku ketahui ke mana menghilang kohai-kohai ku. Pertemuan lima tahun dulu, aku diberitahu mereka juga bekerja di syarikat Jepun di negeri kelahiran masing-masing. Abang Syam masih lagi berada di Jepun bersama isterinya. Tidak ku dengar berita mengenai Abang Syam lagi. Jika sudah balik ke Malaysia sudah tentu aku akan diberitahu oleh Norma, Nana atau Moly yang sentiasa berhubung di antara satu sama lain. Abang Jamal sudah kaya raya setelah menceburkan diri di dalam perniagaan sendiri. Ada juga sempai dan kohai ku yang berhenti kerja untuk menjalankan perniagaan sendiri. Mungkin mereka sudah berjaya. Entah mengapa juga, mungkin ia ujian Allah SWT, perniagaan Hadi tidak begitu memberangsangkan. Syarikat sistem keselamatan yang ditubuhkan bersama rakan-rakannya tidak begitu menjadi. Banyak sudah modal dilaburkan. Masa dan tenaga turut dicurahkan. Sistem yang dicipta sudah berjaya dan antara yang tercanggih di dunia, namun peluang untuk mendapatkan kontrak pemasangan sistem keselamatan di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta begitu sukar. Kerenah birokrasi dan kerenah rakan-rakan di dalan syarikat itu menjadi penyebab utama syarikat tidak berjalan seperti yang diharapkan. Ditambah dengan kekurangan sumber kewangan dan sumber tenaga manusia, kemajuan syarikat begitu lembab sehingga aku akhirnya menjadi tidak berminat untuk bertanya dan mengetahui perkembangan syarikat tersebut.

Hati tiba-tiba merindukan sempai-sempai dan kohai-kohaiku. Bahagianya saat itu ku rasakan dengan kehadiran mereka. Semenjak pulang ke Malaysia, tidak pernah berjumpa dengan Abang Jamal lagi. Dengan yang lain pernah juga berjumpa sekali dua. Rindu pada suasana Hiroshima… menerima sebuah persahabatan dan persaudaraan ketika di bumi asing. Ia tidak mungkin ku lupa. Aku kembali mengimbau kenangan lalu.


Aku sedang tidur ketika telefon berdering. Pukul satu pagi.

“Mek okite! Okayama he ikouyo! Ima kara. Minna iku karasa. Mek pun kena pergi juga!”

‘Mek’ adalah nama manjaku di sana. Jahat mereka memanggiku dengan nama ‘mek’ mentang-mentanglah aku orang Kelantan.

“Okayama? Tooi jan!”

“Dekat je, Abang yang drive. Ato sanjuppun, mattene!”

Satu jam kemudian Abang Jamal dan sempai-sempai yang lain tiba dari Saijou. Kampus bagi Fakulti Sains, Universiti Hiroshima. Saijou adalah sebuah daerah yang agak terpencil. Suasana seperti kampung di Malaysia juga, ada jalan raya yang luas dan lapang, dan ada sawah padi serta kelompok-kelompok perkampungan. Aku pula berada di Bandar Hiroshima. Kami di Bandar Hiroshima tidak membeli kereta kerana kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta. Sedangkan di Saijou tanah lapang ada di mana-mana.


Indah saat ini berkereta tiga buah ke Okayama. Pemandangan laut dan jambatan Seto Ohashi berkilauan di kejauhan. Menyusuri jalan-jalan bandar dan kampung akhirnya pukul lima pagi kami sampai di Okayama. Pada masa itu musim sejuk. Abang Jamal menelefon ke rumah kawannya di Okayama pada pukul empat pagi itu.

“Ato ichijikan tsukara, nasi lemak tsukutte! Aku dan kohai-kohai aku juugonin.”

Aku yang berada di tempat duduk belakang kereta Abang Jamal ketawa terkekeh-kekeh.

“Apalah Abang Jamal ni! Hidoiyo. Dia orang tu fuyu ni mesti tidur mati lagi.”

Abang Jamal menjawab,

“Peduli apa? Aku sempai second batch AAJ, dia orang kena dengar cakap aku!” Kami berlima ketawa lagi. Muka kemerahan dan kecinaan Abang Jamal jelas kelihatan kerana waktu itu musim sejuk siang bermula awal. Pukul tiga pagi sudah kesiangan. Apabila kami sampai nasi lemak sudah siap terhidang. Selepas makan pagi dan rehat beberapa ketika, Abang Jamal membuat kerja gila lagi.

“Jom kita balik! Aku ada baito petang ni!” Mengamuk rakan-rakan Okayama.

“Kau datang ni waza-waza nak makan nasi lemak ke?”

Abang Jamal cuma ketawa gelihati. Aku mengeleng kepala. Kami pulang ke Hiroshima dan dalam kereta riuh rendah memarahi Abang Jamal.


Bandar Hiroshima kini telah berubah arah. Tahun 1994 semua fakulti berpindah ke Saijou. Bangunan yang dibom Amerika syarikat itu masih tersergam kukuh. Pernah juga dua tiga kali aku ke bangunan itu, kerana ia terletak di sebelah fakulti ku, Fakulti Ekonomi. Suasananya agak suram dan gelap. Masih ada bekas akibat dentuman bom. Jam yang diletakkan di bahagian depan atas bangunan itu adalah jam yang sama tatkala ia dibom. Masih ada kesan darah kering di beberapa tempat di bangunan itu. Di bangunan itulah dua orang rakyat Malaysia berbangsa Melayu terkorban. Cikgu Razak (kini Dato’ Razak) adalah bekas pelajar Malaysia yang terselamat. Masakan aku lupa seorang nenek yang juga tuan punya restoran tempat ku bekerja sebagai pelayan. Dia juga mangsa peperangan. Ada kecacatan di pangkal bahu dan lengannya. Jalannya pula agak tempang. Malah dia juga bekas pelajar Universiti Hiroshima dan mengenali tiga rakyat Malaysia yang sama-sama menuntut ketika itu.


Pernah sekali aku, Normah dan Moly mengikuti rombongan ke perkuburan yang menempatkan dua rakyat Malaysia itu bagi mengenang mangsa peperangan. Majikanku juga ada bersama. Ketika itu pihak berkuasa Hiroshima tidak mengetahui cara pengebumian orang Islam. Kuburnya adalah sama dengan kubur Jepun. Namun tidak lama selepas itu konkrit itu di potong bagi menunjukkan perbezaan kubur orang Islam dan orang Jepun yang bukan Islam. Mereka mengadakan upacara mengikut adat mereka, sedangkan kami bertiga membaca beberapa surah untuk disedekahkan dan menyiram air di pusara. Sukarnya perasaan ku pada ketika itu mengenang dua orang bangsa Melayu yang pusaranya terletak di bumi asing. Namun bumi mana jua jenazah dikuburkan ia tetap milik Allah SWT.


Setiap kali ke Hiroshima Heiwa Koen, Taman Keamanan Hiroshima, hati merasa pedih. Bangunan zaman bom atom itu masih kukuh berdiri walaupun cuma rangka. Aku tidak pasti samada ada bangunan yang sudah diperbaiki atau tidak. Namun melihat gambar-gambar mangsa yang menjadi mayat dan cedera cukup untuk menginsafkan diriku. Aku cuma berharap dengan kemusnahan itu warga Jepun memahami peritnya sebuah peperangan. Supaya Jepun tidak menjadi kuasa perang. Supaya mereka berjuang untuk tidak menjadi kuasa nuklear atau kuasa penakluk negara lain yang berdaulat. Supaya Amerika dan sekutunya menyedari kemusnahanyang telah dan akan mereka berikan pada negara lain akibat tindakan rakus mereka. Burung-burung merpati di Taman Keamanan Hiroshima menjadi tarikan utama di situ. Mengusik hati pelancung dalam dan luar negara setelah berhenti rehat melihat kemusnahan yang tercatat di dalam buku sejarah dunia buat selamanya.


Kenangan pergi ke Korea bersama Maisarah, Nana dan Abang Zainal memberi aku pengalaman baru. Korea Selatan dan Jepun walau berjiran tetapi ada perbezaan yang nyata. Masa itu tahun 1993, bertolak dari Yamaguchi menaiki kapal ke Pusan, Bandar yang terletak di Selatan Korea Selatan. Bandar pelabuhan. Sedapnya masakan yang ku makan. Setiap kali kami makan di restoran, kimuchi menjadi kemestian. Aku jatuh cinta pada kimuchi sejak itu. Rasa pedas dan masam sayur-sayur jeruk itu memang membuka selera. Sehingga balik ke Jepun pun aku mencari kimuchi lobak cina dan lobak putih! Selepas merayau di Pusan kami pergi ke stesen keretapi. Di sana kejutan budaya berlaku. Keretapi laju yang mirip shinkansen di Jepun terlewat sampai dua jam. Di Jepun usahkan shinkansen, bas pun tidak pernah lewat walau seminit. Aku teringat seminggu sekali aku menaiki bas ke Pusat Komuiniti Hirano Machi untuk mengajar bahasa Melayu, memang aku selalu melihat jam untuk membuat ‘penyelidikan’ samada bas terlewat atau tidak. Bagai tidak percaya, bas datang tepat pada masanya.


Di Seoul, kami membeli belah. Bagai naik gila kami dibuatnya kerana harganya yang murah. Kawan-kawan Abang Zainal yang belajar di sana sangat baik hati meneman kami ke hulur ke hilir. Aku membeli kain dan teddy bear. Kejutan kedua berlaku. Mereka membungkus barangku dengan plastik sampah yang berwarna hitam. Sedangkan di Jepun, walau harga seratus yen (iaitu lebih kurang RM3.00), tetap diberi plastik kecil yang comel, kalau pun tidak dibalut dengan kertas berwarna. Marah betul kawan Abang Zainal kerana aku membeli teddy bear.

“Ni sapa nak bawa plastik sampah besar ni dalam keretapi ni? Dahlah orang penuh sesak. Engkau bawa sendiri Sarah!”

Aku tidak kisah untuk membawa plastik sampah itu, tetapi kawan Abang Zainal tetap juga membawanya ke hulu ke hilir termasuk semasa berada di dalam keretapi. Baiknya hati dia. Dan mulut dan perangainya. Dia sengaja membawa aku melihat anak-anak patung yang tidak berseluar dalam. Di selaknya skirt anak patung dan ditunjukkan padaku. Perangai gila Abang Yus memang keterlaluan tetapi aku kehairanan memikirkan bagaimana orang Korea membuat anak-anak patung yang lucah. Malah ada juga kasut yang direka lucah.


Kejutan budaya yang ketiga setiap kali aku menaiki keretapi dan bas, hendak tidak hendak terpaksa aku berlagak selamba walau hati menyumpah-nyumpah akibat bau bawang putih di dalam seluruh keretapi. Agaknya terlebih makan kimuchi sehingga peluh pun berbau bawang putih. Kemudian terpaksa pula melihat wajah-wajah lelaki Korea yang tegap dan kasar. Wanitanya pula bersolek tebal. Aku sering terfikir lelaki Korea kelihatan kasar dan tegap kerana semua mereka terpaksa menjalani latihan tentera selama dua tahun.


Dan pertama kali menaiki bas di Korea, aku bagai mahu menangis melihat pemandu bas yang ku naiki memaki hamun seorang wanita tua yang membawa banyak barang sehingga terpaksa diangkut naik beberapa kali. Sejak itulah Korea menjadi igauan buruk kepadaku. Bagiku tiada yang elok tentang orang Korea sehinggalah setahun berikutnya semasa aku berkursus sembilan bulan di Tokyo. Ada empat orang warganegara Korea, turut menyertai kursus itu. Dua lelaki dan dua wanita. Chon dan Hon kedua-dua mereka pernah menjalani latihan tentera. Gaya mereka dan disiplin mereka memang seperti tentera. Baiknya hati Chon, dan Hon walau pun fizikalnya kasar memang memanjakan aku. Selalu mengikut kehendak dan melayan permintaanku. Hon juga mencari peluang mengenakan aku sehingga aku kadang-kadang tidak mahu bercakap dengannya dan cuma mahu bergurau dengan Chon saja. Masakan aku lupa, Hon sebaik kelas, menuruni tangga mengikutku dari belakang bersama tiga lagi rakan senegaranya. Dia bertanya padaku dengan niat mahu menyakitkan hatiku,

“Imochan kyou kawaiine!”

Rakan-rakan mentertawakan ku. Imo adalah ‘ubi’ tetapi makna yang lain adalah panggilan untuk gadis kampung yang tidak tahu apa-apa. Tersirap darahku.

“Nani? Tako?”

Aku bertanya kembali sambil cuba muka selamba. Aku ketawa terkekeh-kekeh kemudiannya sementara yang lain terbahak-bahak. Muka Chon yang kemerahan itu semakin merah akibat ketawa yang amat. Tako adalah ‘sotong kureta’ tetapi makna yang lain adalah bodoh ! Marahnya Hon tapi dia juga ketawa dengan lawakku dan serkapnya yang tidak mengena. Dia mengangkat tangannya yang memegang kotak pensel yang ku hadiahkan padanya untuk memukul kepalaku. Aku mengelak. Kataku.

“Datte! Hitono kot yoku iuyo! Sou deshou?”

Dia tidak jadi memukulku dengan pukulan sayang itu. Dua tiga hari selepas itu setiap kali bertembung kami akan tersengih-sengih dan hubungan kami semakin rapat sebagai kawan dari dua negara yang berlainan.


Bersms dengan Zakuan berbual melalui telefon membuat aku dan dia semakin rapat. Aku sudah berani keluar tanpa pengetahuan Hadi. Ku ubat hatiku yang terluka dengan menerima kasih Zakuan. Sampai bila? Aku tidak berani memikirkan masa depan. Bagiku cukuplah dengan sedikit kebahagiaan yang ku kecapi sekarang.

“Sarah, datang rumah esok, boleh ke?” Tanyanya pada suatu hari ketika kami keluar bersantai di Port Dickson.

“Takut laa!”

“Takut apa?”

“Takut kena perangkap.”

Zakuan mengilai dan memeluk pinggangku.

“Sarah tak nak masuk perangkap ke?” Zakuan bertanya nakal dan aku cuma tersipu-sipu malu.

“Anak Zack sambut harijadi hari esok. Dah lama dia tak sambut harijadi. Sejak mak dia meninggal. Tahun ini Zack nak sambut bersama mereka. Sarah datanglah. Anak-anak Zack akan lebih gembira.” Tambahnya mengharap.

“Boleh bawa anak-anak Sarah sekali ke? Sarah tak sampai hati nak tinggalkan dia orang kat rumah”

“Tentulah boleh. Tentu lebih meriah.”

“Okey. Esok Sarah pergi.”

Zakuan cepat-cepat mencium pipiku penuh mesra.

“Zack bahagia sayang. Terlalu bahagia. Zack tak sabar hendak melihat keluarga yang sempurna… anak-anak Sarah dan anak-anak Zack tinggal bersama.”

Aku terdiam. Terlalu takut untuk menghadapi kenyataan. Ku sedar aku isteri derhaka. Aku sedar tindakan ku berhubungan semula dengan Zakuan ditegah agama dan adat. Tapi hati yang telah terluka ini begini payah untuk sembuh. Aku mungkin dapat memaafkan kecurangan Hadi, tetapi tidak mungkin dapat menyintainya seperti dulu.

“Kenapa Sarah muram? Sarah tak sukakah?”

“Sarah tidak pasti. Dulu Hadi curang. Sekarang Sarah pula yang curang.”

“Sayang, jangan bersedih lagi. Berpisahlah dengan Hadi secara baik. Terangkan hubungan kita. Kalau Sarah nak, Zack boleh jumpa Hadi juga. Zack tak nampak Hadi akan mengamuk. Dia yang mulakan dulu.”

Aku terdiam. Zakuan memeluk tubuh ku seerat mungkin. Ku biarkan sahaja. Tak mungkin ada orang mengenali di Pantai Port Dickson ini. Aku dan Zakuan masing-masing mengambil cuti sehari untuk berjumpa di Port Dickson.

“Zack janji tak akan lebih-lebih dengan Sarah. Tapi, kalau Zack peluk, Sarah tak marahkan?”

“Tak marah, cuma tak tahan.” Aku tersenyum.

“Oii! Gatalnya!” Aku tersenyum malu melihat Zakuan yang tersengih-sengih memandangku seperti tidak percaya.

“Sejak bila Sarah jadi macam ni. Dah pandai cakap mencarut ni?” Zakuan memadangku tepat sambil tersenyum. Renungan Zakuan membuat aku tertunduk malu.

“Dulu masa mula-mula Zack kenal, pijak semut pun tak mati. Jalan pun asyik tunduk je!”

“Nih! Bibir ni yang buat Zack gila bayang bertahun-tahun, tau tak?” Zakuan menyentuh bibirku dengan jari telunjuknya.

“Nak , boleh?”

“Nak apa?” Aku tidak dapat menangkap maksud Zakuan.

“Mulut Sarah.”

Aku berpaling ke arah lain, cuba membelakangkan Zakuan. Mengapalah agaknya aku begini mudah tersentuh? Zakuan menyedari keterlanjuran kata-katanya setelah melihatkan riak mukaku yang berubah.

“Maaf Sarah…”

Ku biarkan tidak berjawab.


Aku menyusuri pantai agak berjauhan dengan Zakuan. Zakuan kebingungan namun tidak berani berkata apa-apa lagi. Aku cuma merasakan betapa hinanya diriku. Kata-kata Zakuan ku rasakan seperti menghina diriku. Aku terasa seperti perempuan murahan. Benarlah aku ini isteri yang hina. Aku seolah-olah telah melupakan maruah ku sebagai isteri dan sebagai seorang ibu. Bukankah kedudukan ibu itu sangat mulia? Kenapa aku menghina kedudukan diri ku sendiri? Kenapa ku biarkan diriku terjerumus dalam cinta ini sedangkan ku tahu ia bakal mengheret aku kepada kepedihan dan kesengsaraan? Zakuan kembali memeluk pinggangku dan aku membiarkan sahaja. Sesekali Zakuan mencium pipiku dan aku berlagak selamba. Sejak pertemuan itulah semakin lama aku semakin menyesali diri yang telah terpesung menyintai Zakuan. Aku merasa serba salah dan dihambat rasa berdosa.


Esoknya aku membawa anak-anak ke rumah Zakuan. Rumah teres dua tingkat itu sederhana besarnya. Mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air. Bukan main seronok anak-anakku dan anak-anak Zakuan bermain bersama. Aku cuma tersenyum memandang betapa naifnya anak-anak ini. Mereka tidak mengerti perhubungan aku dan Zakuan. Mungkinkah anak-anakku dapat menerima Zakuan? Mungkinkah anak-anak Zakuan dapat menerima ku? Aku terpaksa meminta diri setelah sejam di rumah itu. Aku tidak mahu anak-anakku menuduhku aku telah bercinta dengan lelaki lain. Aku memberitahu Firdaus bahawa Zakuan adalah sepupuku. Dia tidak banyak bertanya cuma seolah-olah tidak mengerti kerana selama ini tidak pernah mengenali Zakuan.


Entah mengapa begitu berat mulutku untuk meminta perpisahan daripada Hadi. Keluar senyap-senyap bersama Zakuan membuatkan aku dihantui rasa bersalah kepada anak-anak dan Hadi. Sampai bila hubungan tiga penjuru ini akan bertahan ku tidak pasti. Dosa dan tanggungjawab memburu setiap kali aku keluar bersama Zakuan. Sikap dingin Hadi juga turut mengganggu keceriaanku. Kadangkala pertemuan dengan Zakuan diakhiri dengan pertengkaran. Zakuan memaksaku meminta cerai sedangkan aku masih belum bersedia. Aku masih takut dan keliru. Keliru samaada aku benar-benar menyintai Zakuan dan samada aku benar-benar tidak memerlukan Hadi sebagai suamiku. Hadi nyata menjauhkan diri. Balik ke rumah, Hadi cuma akan mendiamkan diri dan akan tidur bersama anak-anak. Kadang-kadang tidur di bilik Firdaus dan Farabi, kadang-kadang di bilik Farah. Walaupun aku yakin aku membenci Hadi, tidak pula tergamak aku melihat Hadi tidur di katil bersama Farabi dan Firdaus. Katil Farah pula cuma katil kanak-kanak. Rasa bersalah, aku menyuruh Hadi tidur di katilku. Namun, sangkaan aku meleset, Hadi tidur di ruang tamu. Aku serba salah. Suatu malam, aku mengejutkan Hadi yang tidur di bilik Firdaus dan Farabi.


“Bangunlah bang. Sampai bila abang nak tidur kat sini.?”

Hadi tidak menjawab tetapi merenungku. Dia kemudian berjalan menuju ruang tamu.

“Bang, tolonglah, jangan buat macam ni. Tak elok tidur atas kerusi. Tidak selesa. Sakit badan nanti! Lagi pun apa Mak Yah kata nanti.”

Hadi tidak menghiraukan aku. Dia terlentang di sofa. Aku terduduk di sisinya.

“Jom masuk tidur kat bilik.”

Hadi menarikku dan aku terbaring di dadanya.

“Betul Sarah nak abang tidur kat bilik?”

Terbaring di dada Hadi membuatkan aku tidak keruan. Degupan jantung terasa begitu laju dan kuat. Adakah Hadi perasan? Ahh! Malunya.

Hadi mengheret tanganku dan menuju ke bilik.

Aku baring di sisi Hadi. Tangan Hadi memeluk. Nafas Hadi berkeliaran di tengkukku. Sudah lama rasanya aku tidak tidur bersama Hadi. Aku sedikit gugup dan cemas. Namun sedikit kebahagiaan kembali hinggap di hati.

Bangun dari tidur, ku ambil tangan Hadi dan ku letakkan di tilam. Namun Hadi tidak melepaskan jari-jemari ku.

“Tidurlah lagi! Abang tidak ingin lepaskan Sarah. Jangan musnahkan kebahagiaan abang.” Aku kembali berbaring di katil tetapi membelakangkan Hadi. Hadi memelukku dari belakang. Airmata menitis di pipi ku. Air mata penyesalan kerana menipu Hadi. Air mata kepedihan kerana telah curang pada Hadi. Airmata pilu kerana Hadi tidak terus membuang diriku walaupun mempunyai Amy Nadia. Hadi masih menyayangi walau aku sedingin salju.

“Sarah, janganlah menangis. Sarah tahukan dari dulu lagi abang kata cinta abang pada Sarah tidak mungkin kurang….. Abang menyesal kerana terlanjur dengan Amy Nadia dulu. Tapi seperti dulu kehadiran Amy Nadia tetap tidak dapat mengganti cinta abang pada Sarah…”

“Sarah pandang abang!” Hadi memerintah. Aku kaku. Hadi membalikkan tubuhku. Jari jemari Hadi menyapu airmata yang masih mengalir di pipi.

“Abang masih sayangkan Sarah. Sarah tahukan?”

Aku cuma mengangguk. Mana mungkin ku dapat bertentang mata dengan Hadi, setelah tubuhku juga pernah dipeluk Zakuan. Bibir ini juga pernah dikucup Zakuan.

“Sarah nak mandi!” Aku melarikan diri dari Hadi.

“Sarah, kenapa ni?”


Di bilik air tangisan ku semakin kuat. Air mata mengalir deras. Sedih, kesal dan terhina. Aku sedar aku masih tidak dapat memaafkan Hadi. Aku bingung. Pada siapa aku perlu curahkan cinta ini. Hadi atau Zakuan? Adakah aku benar-benar menyintai Zakuan atau aku bertindak sekadar untuk memprotes kecurangan dan perkahwinan Hadi? Aku buntu.


Aku ke rumah Zakuan pada suatu hari untuk melawat anak Zakuan yang sakit. Zakuan nampak risau akan kesihatan anaknya. Ku lihat Aiman hanya terbaring di tilam. Ada sehelai tuala kecil basah menutupi dahinya. Wajahnya sedikit pucat. Tubuhnya ku sentuh dan memang benar amat panas!

“Dah pergi klinik ke?”

“Dah. Doktor suruh duduk rumah hari ini dan besok. Kalau tidak sembuh terpaksa bawa ke hospital…”

Adik Zakuan Zetty terus menjaga Aiman. Zakuan mengajak ku berbual di dapur. Dia membancuh milo panas untukku.

“Dah minta cerai dari Hadi?”

Aku terkejut. Nampaknya dia lebih risaukan diri ku dari anaknya. Pertanyaan yang tak ku duga itu membuat aku tidak menentu.

Aku mengeleng kepala cuma.

“Kenapa?”

“Sebab Sarah tidak pasti. Sarah keliru.”

Zakuan memandangku seperti kehairanan. Dia nampaknya marah.

“Apa yang Sarah tidak pasti? Apa yang Sarah keliru?” Zakuan mula meninggikan suara.

Wajah Zakuan masam kelat. Aku tidak selesa disoalsiasat seperti itu. Lagipun Hadi tidak pernah memandang ku seperti itu. “Sarah tak suka Zack marah-marah macam ni.” Kataku sedikit dengan nada sedikit tinggi.

“Zack minta maaf okey. Zack sedikit bingung dua tiga hari ini. Anak demam. Sarah pula sudah lama tidak menghubungi Zack. Zack takut Sarah sudah bencikan Zack. Semalam pula Zetty datang. Katanya Emak Zack dah cari jodoh untuk Zack. Sepupu Zack. Umur dah 30 tahun, tak kawin-kawin jadi mereka sepakat nak kami berkahwin.”


Walaupun Zakuan sanggup menerimaku dan anak-anak, namun tak semestinya emaknya akan menerima ku. Tidak mungkin emak Zakuan dapat menerima seorang wanita beranak tiga dan curang pada suami untuk berkahwin dengana anaknya.

“Bukankah dulu Emak Zack menghalang Zack berkahwin dengan Arbaayah?”

“Ya… Dan sekarang Zack tidak dapat mencari helah untuk menolak sekiranya Sarah sendiri tidak pasti!”

“Emak Zack tak mungkin akan menerima wanita macam Sarah menjadi menantunya. Biarlah Emak Zack bahagia melihat Zack dan pilihannya berkahwin.”

“Sarah, kita patut mencuba.”

“Nak cuba apa? Nak cuba mengecewakan hati emak Zack?” Aku menentang mata Zakuan.

“Apa yang Zack tahu, Zack terlalu sayangkan Sarah!”

“Tapi Sarah sudah tidak pasti lagi samada Zack atau Hadi yang Sarah mahu.”

“Begitu cepatkah cinta Sarah pada Zack berlalu?” Zakuan hanya memandangku dengan kecewa. Aku tidak dapat bertentang mata dengannya

“Hadi masih sayangkan Sarah…”

“Sampai hati Sarah! Tidakkah Sarah tahu Zack masih sayang dan bertambah sayang pada Sarah?”

“Jangan sampai derhaka pada emak Zack. Dulu Zack dah hancurkan sekali sekarang Zack nak hancurkan sekali lagi. Sekarang ini Sarah bertambah yakin antara kita memang tidak ada jodoh.”

“Kalau pun kita berkahwin tak semestinya kita bahagia. Anak-anak Sarah dah besar. Takkan mereka dapat terima orang lain menggantikan Hadi. Hadi pada mereka terlalu baik… dan Sarah sendiri takut untuk menerima anak-anak Zack. Sarah takut jika tidak berlaku adil!”

“Kita belum mencuba pun. Sarah sudah mengalah!” Zakuan merenung mataku dengan pandangan yang begitu tajam. Memandang mukanya yang marah kecewa membuat aku tidak sampai hati untuk memandang lebih lama.

“Dulu Sarah putuskan pertunangan dengan Zack tanpa merujuk kepada orang tua kita. Ayah Zack kemudian menelefon rumah Sarah di kampung dan marah-marah kerana kita buat keputusan tanpa bertanya dan meminta nasihat mereka. Kini kalau Zack beritahu emak Zack, yang Zack mahu berkahwin dengan Sarah setelah Sarah sudah beranak tiga, dan Sarah juga belum pun bercerai, Apakah pandangan ibu Zack?” Zakuan hanya berdiam diri.

“Tidakkah Zack tahu perbuatan kita melanggar adat dan hukum agama?”

“Dan tidakkah Zack tahu Sarah isteri yang derhaka kepada Hadi. Sarah adalah isteri yang hina kerana menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.” Aku menambah setelah melihat Zakuan tidak mampu membalas kata-kataku.

“Tapi Hadi yang mulakan dulu semua ini.” Suara Zakuan kedengaran kedengaran begitu kasar.

“Betul, tapi itu bukan alasan untuk Sarah nusyuz. Lagi pun Sarah tidak pasti kita akan bahagia setelah berkahwin.” Zakuan tiada daya untuk membalas kata-kata ku.


Aku pulang dan membiarkan Zakuan termenung di dapur. Aku pasti itulah kali terakhir pertemuan ku dan Zakuan. Aku sedar aku lebih selamat bersama Hadi daripada Zakuan. Kisah ku bersama Zakuan telah lama berlalu. Ia tidak patut berulang dan bersambung semula. Takdirku bukan untuk Zakuan. Aku masih ingin menjadi seorang ibu yang terbaik untuk anak-anakku walaupun imej itu sudah pun tercalar oleh keterlanjuranku.


Di ruang tamu Hadi menemankan anak-anak menonton siri drama Tremors di TV3. Aku dan Mak Yah pula sedang berkemas di dapur. Membasuh dan mengelap pinggan mangkuk selepas makan malam.

“Amy Nadia sihat ke?” Aku bertanya dan duduk di sisi Hadi. Mak Yah pula melangkah ke bilik tidur untuk melipat dan mensterika pakaian anak-anak. Pakaian ku dan Hadi aku tak benarkan Mak Yah sentuh. Dari membasuh sehinggalah peringkat melipat baju ku buat sendiri bagi meringankan beban Mak Yah.

“Hmm, macam biasa je. Kenapa?”

“Tak ada apa. Saja.” Hadi memandang ku sedikit hairan.

Hadi merapatkan tubuhnya dan memelukku.

“Dia kirim salam kat Sarah.”

“Waalaikum salam.” jawabku sepatah.

Hadi tersenyum. Bahagiakah Hadi jika aku telah mula bertanyakan khabar Amy Nadia? Telah berkurangankah kebencian ku pada Amy Nadia? Aku hanya ingin melihat wajah ceria Hadi semasa dia berada di rumah ini. Ku tak ingin lagi Hadi pulang ke rumah Nadia dengan muka suram kerana perbuatanku.


Bunyi jam menandakan pukul sepuluh dan aku terus menyuruh anak-anak masuk tidur. Aku menemankan mereka sehingga ketiga-tiganya terlena. Aku kemudian kembali ke bilik tidurku dan Hadi. Hadi terbaring di katil. Melihatku datang, Hadi mendepakan kedua-dua tangannya sambil tersenyum. Aku mengelak. Ku duduk di sisi katil.


Fikiranku sebenarnya bercelaru pada saat itu. Aku tidak dapat terus menerus menipu Hadi mengenai hubunganku dengan Zakuan. Aku merasa diri ini terlalu hina. Semenjak aku pulang dari rumah Zakuan hanya persoalan itu yang terus mengganggu dan menghantuiku. Aku nekad untuk memberitahu Hadi walau pun ku tahu ia mengundang padah. Jika Hadi tidak menerimaku lagi, aku terpaksa telan jua hakikat itu.

“Kalau kita berpisah macamana bang?” Aku memberanikan diri bertanya, tetapi pandanganku bukan pada Hadi tetapi bantal peluk yang berada di ribaku.

Hadi terkejut tetapi tidak terus bertanya. Dia memandangku seperti tidak percaya. Akhirnya dia bersuara.

“Sarah dah ada lelaki lain ke?”

Hadi memandang dengan muka pucat. Aku cuba berlagak tenang walaupun gemuruh menyerang urat saraf ku.

“Sarah ada berjumpa Zakuan.”

Hadi menolak tubuhku. Aku terasakan seperti mahu menangis dan ingin memohon ampun daripada Hadi saat itu juga. Namun ku gagahi jua walaupun sebenarnya aku terasa seperti mahu pitam.

“Sarah cuma nak berterus terang. Sarah tak nak sembunyikan perkara ni lagi.”

“Sarah dah terlanjur?” pertanyaan yang sama kutujukan pada Hadi setahun dulu.

“Tidak.”

“Betul? Sarah tak tipu?”

“Sarah bukan macam abang!” Suara ku mula meninggi.

Kami masing-masing diam.

“Sarah tak nak abang lagi?”

“Sarah tak tahu. Sarah keliru. Sarah tak tahu apa yang Sarah nak!”

“Habis tu kenapa minta cerai?” Hadi bertanya seperti tidak memahami.

“Sarah tak nak berahsia dengan abang. Bukankah selama ini Sarah tidak pernah ada rahsia dengan abang?”

“Dia pernah cium Sarah?” Hadi memandang muka ku tepat.

Aku mengangguk. Hadi berdiri. Mundar mandir di dalam bilik dan menekup muka.

“Bila?”

Satu tumbukan terkena pada wardrobe. Ada kesan lekuk kerana pintu itu hanya dibuat dari papan lapis. Aku seperti mahu menangis. Namun sedapat mungkin cuba mengawal keadaan.

“Masa tu Sarah tak sengaja. Dia datang pejabat Sarah. Masa tu Sarah tengah sakit hati. Abang baru nikah dengan Amy Nadia. ”

Aku memcari alasan dan cuba menyalahkan keadaan. Malunya hendak mengakui kelemahan diri sendiri. Mengakui iman yang ku junjung di kepalaku seringan tudung yang ku pakai.

“Kenapa Sarah cakap pada abang semua ni? Apa yang Sarah nak abang buat?”

Aku cuma diam. Aku tidak berani mengangkat muka memandang Hadi.

“Sarah sayang abang tak?”

“Sayang.”

“Habis tu kenapa cakap perkara ini pada abang?”

“Sarah rasa bersalah. Zakuan ajak kawin. Sarah dah tolak. Tapi, Sarah tak sampai hati nak rahsiakan dari abang kesalahan yang telah Sarah buat.”

“Sarah sayang dia tak?

“Sarah lebih sayangkan abang. Tapi abang tak mungkin sayangkan Sarah lagi lepas ini!”

“Kenapa Sarah buat macam ni?”

“Kenapa abang salahkan Sarah pula. Perkara ini berlaku sebab abang curang!” Aku nekad untuk bertegang urat dengan Hadi. Kesalahanku berhubungan dengan Zakuan diletakkan ke atas bahu ku seorang.

“Abang takkan ceraikan Sarah.”

“Okey, Sarah pun takkan minta cerai lagi dengan abang.”


Hadi berhenti bergerak dan memandangku seperti tidak percaya. Aku bangun lantas menekupkan muka ku di dada Hadi. Hadi memelukku erat.

“Jangan buat macam ni lagi sayang. Abang tak dapat nak kehilangan Sarah. Abang sayangkan Sarah.”

“Walaupun Sarah pernah keluar dengan Zakuan?”

“Ya, walaupun sekiranya Sarah pernah tidur dengan dia.”

“Tapi Sarah tak tidurpun dengan dia!”

“Abang tau. Cukuplah abang seorang yang tersilap langkah. Sarah tak perlu ikut langkah abang. Sarah terlalu baik untuk menjadi sehina abang.”

Aku menangis. “Boleh putuskan hubungan dengan Zakuan?” Hadi bertanya lembut.

Aku mengangguk.

“Sarah takut.”

“Takut apa?”

“Takut abang tak sayang Sarah lagi. Takut abang ceraikan Sarah bila abang tahu cerita ni.”

“Tak mungkin. Sudah sepuluh tahun kita kawin sayang. Sebelum kita kawin pun Sarah dah bagitau abang, Sarah dah pernah bercium dengan Zakuan. Masa tu abang boleh terima Sarah. Kasih abang tak pernah luntur walaupun abang curang. Walaupun Sarah juga curang. Cuma jangan ulangi sekali lagi. Jangan kecewakan abang. Anak-anak tak sepatutnya mendapat ibu dan bapa yang macam kita. Sarah fahamkan?”

“Janji dengan abang, Sarah jangan ulang lagi. Jika ia berlaku lagi abang tak pasti apa tindakan abang. Mungkin Abang akan bunuh jantan tu! Macam tak ada perempuan lain!”

“Sarah minta maaf.”

“Abang maafkan Sarah.” Hadi mencium pipiku.

“Mana nombor telefon Zakuan?”

“Abang nak buat apa?” Aku gusar sekiranya Hadi mencari Zakuan. Macam-macam hal boleh berlaku sekiranya Hadi berjumpa empat mata dengan Zakuan. Namun ku patuh pada Hadi, walau hatiku berat sekali untuk membiarkan Hadi berbicara dengan Zakuan.

Ku ambil telefonku dari atas meja, mencari nombor Zakuan dan memberi telefon pada Hadi. Hadi membuat panggilan pada Zakuan.

Aku serba salah.

“Hadi sini. Awak mesti kenal sayakan? Sarah dah ceritakan semuanya pada saya. Jangan awak ganggu rumahtangga saya lagi. Jangan ambil kesempatan dari masalah rumahtangga saya. Saya takkan ceraikan dia.”

“Punyalah ramai perempuan tak berkahwin lagi di dunia ini, mengapa isteri orang pulak yang awak hendak? Awak tak ada otak ke?”

Senyap. Hadi menutup telefon dan memelukku.


“Abang pasti dapat buatkan Sarah lupakan Zakuan. Abang yakin Sarah tetap cinta dan sayangkan abang…. Kerana… sedalam mana cinta Zakuan tidak mungkin dapat menandingi cinta abang pada Sarah. Sarah hanya milik abang.”

“Zakuan bukanlah lelaki yang baik. Seorang lelaki yang baik tidak akan mencari wanita yang sudah berkahwin…”

“Dan cubalah berbaik dengan Amy Nadia. Kasihanilah dia. Dia selalu murung kerana dia tahu dia tak dapat membuatkan abang lupakan Sarah. Dia ingin berbaik dengan Sarah tapi Sarah tidak menerimanya. Tunjukkan rasa belas pada Amy Nadia sebagaimana Sarah tunjukkan simpati dan lemah lembut pada semua orang.”

Aku menggangguk.

“Sayang abang pada Amy Nadia tidak mungkin akan melebihi sayang abang pada Sarah. Amy Nadia juga sengsara kerana abang terlalu mencintai Sarah. Abang turut merasa kesengsaraan sekiranya Sarah tidak mempedulikan Amy Nadia atau abang. Bukan Sarah sahaja yang menderita. Anak-anak, abang dan Amy Nadia turut menerima kesan penderitaan Sarah.”

“Abang janji akan sayangkan Sarah sampai bila-bila?”

“Mestilah. Abang bukan malaikat. Abang tentu akan buat salah. Namun setiap waktu, abang akan kembali ke sisi Sarah. Abang akui abang bersalah kerana tergoda dengan kecantikan Amy Nadia. Tapi dia juga seorang yang baik. Abang tak boleh lari dari tanggungjawab. Sarah fahamkan?”

“Sarah juga tidak akan maafkan abang sekiranya abang lepas tangan. Betul tak?” Dia menambah.

“Tapi sakit hati ini semasa Sarah tahu Sarah terpaksa berkongsi abang dengan dia… Sarah mencari di mana salah Sarah sehingga abang tergamak menduakan Sarah…” Aku menangis lagi.


Hadi cuma mengangguk. Aku layu di dalam pelukan Hadi. Ku biarkan Hadi mengucup setiap inci tubuhku. Aku terkulai di dalam dakapan Hadi sehingga ke pagi. Kebahagiaan mula menyinari banglo setingkat milikku. Aku sudah mula melupakan Zakuan. Sedikit tapi tetap, sayang ku pada Zakuan tidak lagi seperti dulu. Memang payah untuk menerima hakikat bahawa madu yang ku terima tetap pahit walau ku cuba menafikannya. Namun redha pada kelemahan Hadi sebagai manusia, redha pada kelemahan diri dan redha dengan situasi Amy Nadia sedikit sebanyak menyebabkan aku semakin kerap tersenyum dan ketawa bersama anak-anak. Hadi juga lebih dari sebelum itu, sentiasa mengambil berat dan mempamerkan cinta. Hanya doa pada Allh swt tidak lupa ku panjatkan agar aku sentiasa bersyukur dengan apa yang ku terima dan harapan ku gantungkan padaNya agar kami tidak lagi diuji dengan dugaan sebegini.


Telefon bimbit berdering di awal pagi. Ku lihat jam baru pukul 6 pagi. Hari Ahad sebegitu aku ingin sekali meneruskan tidurku, walau pun sedikit masa lagi azan Subuh pasti kedengaran dari surau berhampiran. Melihat nombor telefon aku agak hairan kerana pemanggilnya adalah Amy Nadia.

“Ya, akak ni.”

Esakan Amy Nadia menambahkan kehairananku.

“Ada apa?”

“Abang Hadi kak!”

“Kenapa?” Aku tidak sabar mengetahui. Hadi dan Nadia bergaduhkah?

“Dia dah tak ada.”

“Pergi mana?” Aku bertanya sekadar menunjukkan minat tetapi sebenarnya aku tidak pedulikan keadaannya. Rasa mengantuk dan keletihan seharian menulis kertas kerja untuk satu persidangan yang dianjurkan oleh fakultiku membuat aku seperti tidak berperasaan.

“Akak…. abang Hadi dah meninggal.”

Terdapat ruang waktu. Aku seperti bermimpi. Bermimpi Nadia menelefon dan memperolokkanku bahawa suamiku pergi mengadap Ilhahi. Padahal Nadia cuma cuba menyembunyikan Hadi daripadaku.

“Akak! Akak!”

Seperti baru dikejutkan dari tidur.

“Ya Allah! Ya Tuhanku!”

Aku rebah di lantai.


Sudah sebulan semenjak ku kehilangan Hadi. Firdaus tidak pernah bertanyakan atau membuka mulut bercakap mengenai papanya. Tetapi Farabi masih tidak putus-putus bertanya. Setiap kali Farabi bertanya, aku cuma dapat menjawab papanya tidak akan pulang. Papa ada kerja. Namun bertubi-tubi pula soalan yang keluar dari mulut Farabi. Firdaus hanya memandang mendengar celoteh adiknya, namun sesekali mengesat air mata senyap-senyap. Saat itu ku rasakan begitu pedih. Pedih kerana terlalu memahami perasaan Firdaus. Sejak dulu Firdaus agak pendiam berbanding Farabi. Kadang-kadang dia begitu sensitif merasakan dirinya tidak disayangi. Firdaus nampak senyap tetapi sebagai kanak-kanak dia tetap memerhati keadaan dan suasana sekeliling. Pernah ku lihat air mukanya berubah bila Hadi mencium Farabi dan Farah. Ku cuit paha Hadi dan memberi isyarat mulut supaya melihat Firdaus. Hadi terus menggeletek Firdaus. Firdaus yang tidak tahan terus terguling-guling di lantai. Lantas Hadi cium dahi Firdaus. Ku lihat kegembiraan kembali semula di wajah Firdaus.


Tidak sanggup tinggal di rumah yang menjadi tempat terakhir Hadi, Amy Nadia berpindah. Tidak ku ketahui ke mana Amy Nadia pergi. Kali terakhir berjumpa adalah semasa aku dan Amy Nadia balik ke kampung Hadi untuk kenduri arwah Hadi. Ku masih ingat lagi kata-kata Amy Nadia.

“Akak masih bertuah kerana mempunyai kenangan Hadi. Akak ada anak-anak. Tapi saya tidak sempat mendapat zuriat Hadi. Sekurang-kurangnya jika ada anak, rindu saya pada Hadi akan terubat sedikit.”

“Nadia, Nadia juga bertuah kerana tidak sempat mendapat zuriat. Jika tidak, bagaimana hendak lalui kehidupan tanpa suami di sisi? Dan bagaimana ingin menjawab jika ditanya mengapa ayahnya tidak pulang. Mengapa orang lain ada ayah dan dia tiada ayah? Percayalah, akak lebih menderita dari Amy Nadia. Akak hidup bersama arwah lebih dari sepuluh tahun.”

Amy Nadia nampak tidak berpuas hati. Aku terasa sedikit kejam namun ku biarkan sahaja. Amy Nadia perlu melupakan Hadi. Dia perlu membina hidup baru bersama lelaki yang layak untuk dirinya. Aku pula harus membina keyakinan. Bahawa aku dapat memberi kebahagiaan kepada anak-anak walaupun tanpa seorang suami.


Namun entah bagaimana pula Zakuan tiba-tiba terpacul di depan rumahku pada suatu pagi setelah dua bulan Hadi menjadi arwah. Aku begitu terkejut kerana tidak menyangka Zakuan akan datang sehingga ke rumah.

“Kenapa datang ni?”

Entah kenapa soalan bodoh itu terpacul dari bibirku.

“hmm… Zack hanya datang untuk mengucapkan simpati.”

“Terima kasih saja. Tapi Zack tak boleh datang ke sini!”

Ku lihat Zakuan terkesima.

“Tak elok! Nanti jiran kata apa. Anak-anak kata apa pula.” Aku memberi alasan.

Zakuan serba salah. Mukanya berubah menjadi merah padam. Zakuan melangkah pergi. Aku hanya memerhati pemergian Zakuan dengan perasaan lega, bercampur kasihan. Apakah yang menyebabkan Zakuan datang ke rumahku? Ia menjadi tanda tanya. Walau pun aku telah cuba untuk melupakan Zakuan namun sekali sekala ia tetap datang menerjah fikiranku. Sudah kawinkah Zakuan? Bahagiakah dia? Anehnya aku mengharapkan dia tidak melupakan diriku. Sungguh aku tidak mengerti. Walau apa pun ku pasti, aku dan Zakuan tidak mungkin bersatu lagi.


Rumah ini mengandungi terlalu banyak kenangan Hadi. Aku kadang-kadang merasakan seperti roh Hadi berada di mana-mana di rumah ini. Ini dikuatkan lagi dengan kejadian yang menimpa Farabi. Suatu malam sedang aku membaca Al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah emak, abah dan Hadi, Farabi yang ku percayai sedang tidur bangun menuju ke pintu sambil tersenyum.

“Bye Bye papa. Nanti papa balik lagi ya!”

Aku pada mulanya mengesyakki Farabi bermimpi, atau berjalan dalam tidur, namun bila ku perhatikan, matanya terbuka luas.

“Mami, papa dah balik! Nanti dia nak balik lagi main dengan Farabi, dengan Farah!”


Aku hanya mampu menangis. Alangkah bagusnya jika aku mimpikan Hadi. Aku terlalu rindu akan kata-kata sayang Hadi. Terlalu rindu akan pelukan dan sentuhan Hadi. Namun apa dayaku. Aku yakin. Teramat yakin. Sekiranya ku temui Hadi walaupun sekali di dalam mimpi sudah cukup untuk mengubat hati ini. Sudah cukup untuk membuat ku percaya Hadi bahagia dengan ku sehingga akhir hayatnya. Sudah cukup untukku lalaui kehidupan ini dengan hati yang lapang. Sudah cukup untuk ku merelakan pemergiannya ke alam abadi. Sudah cukup untuk membahagiakan ku sehingga akhir hayatku. Hanya kepada Allah ku mohon dan panjatkan permintaan agar menemukan diriku dan Hadi.


Sejak Farabi mengaku bertemu Hadi, Farabi sudah jarang bertanyakan papanya. Keletahnya Farabi memberitahu Firdaus dan Farah bahawa papanya sudah pulang dan bercakap dengannya. Firdaus menuduh adiknya berbohong. Farabi menangis dan mengadu padaku.

“Mami, abang kata Farabi bohong. Farabi tak bohongkan? Kan Mami?”

Aku tidak terus menjawab. Aku mengalih perhatian pada Firdaus yang turut memandangku seperti meminta penjelasan.

“Mami cakaplah! Farabi tak tipu kan? Farabi jumpa papakan?”

Aku memeluk Farabi yang meronta-ronta.

“Ya, Farabi tak tipu! Mami tahu Farabi tak tipu!”

“Betul ke Mami?” Firdaus pula bertanya.

“Kadang-kadang budak kecik nampak apa yang kita tidak nampak. Mungkin juga betul papa balik. Nak tengok mami, Firdaus, Farabi, Farah. Kalau kita mengaji Quran lagi roh papa suka…Walaupun kita tak nampak…tapi dia nampak kita…”

“Roh tu apa Mami?” Firdaus bertanya membuat aku terdiam mencari idea.

“Roh tu… roh… macam ni! Kalau kita dah mati, badan kita dan hancur, cuma ada roh saja…roh tu kita tak boleh nampak…”

“Tak faham laa mami ni…” Firdaus berkerut.

“Yang Farabi nampak tu roh papalah… Bukan papa betul…”

“Yess!! Farabi nampak papa…yeah! yeah! Papa balik! Yeah! Yeah! Papa balik!” Farabi melompat-lompat kegembiraan.

“Yeah! Yeah! Apa alik.. Apa alik..” Farah pula mengikut rentak Farabi melompat dan bertepuk tangan. Firdaus cuma tersengih memandang. Aku tersenyum gelihati, melihat dua beradik yang seperti kembar itu.

“Lucu mami…. Tengok Farah tu…” Firdaus ketawa sambil memandang ku.


Arwah emak semasa muda selalu menampar dan memukul kami adik beradik. Tangan emak terlalu cepat hinggap di pipi kami. Aku masih ingat bagaimana berbekas merah lima jari emak di pipiku, gara-gara membalas kemarahan emak. Leteran emak selalu menjadi halwa telinga. Berlawanan pula dengan arwah abah. Kalau abah marah, abah cuma akan mendiamkan diri. Apabila emak berleter pada abah, abah hanya pekakkan telinga. Abah kawal kemarahan abah. Namun jika emak masih berleter juga sampai meleret-leret, abah akan membalas. Kali ini emak pula terdiam. Ketakutan. Aku dan Su mungkin lebih menyayangi abah berbanding emak, kerana melihat emak berleterkan abah. Kadang-kadang kesian dan simpati pada abah. Darahku akan membuak-buak jika emak memarahi abah. Lebih membuak jika abah tidak membalas. Jika abah membalas aku akan puas. Baru ku rasakan nasib abah terbela.


Namun seburuk-buruk layanan emak pada abah, kerana emaklah abah hidup selesa. Kerana emak pandai berjimat cermat, kerana emak tetap mengerjakan sawah membantu bebanan abah, maka abah selesa. Abah ku seorang yang boros dan kuat merokok. Jika emak tidak pandai menyimpan duit, aku pasti kami adik beradik tidak akan seperti sekarang. Walaupun sekarang kami tidak kaya, tetapi hidup agak selesa dengan cara masing-masing. Dan bukankah kerana emak juga, Abang Man, anak lelaki tunggal keluargaku yang ketagihan heroin sekarang sudah tidak menyentuh benda haram itu. Malahan Abang Man juga tidak lagi merokok. Sudah berkahwin, mempunyai anak dan bekerja sendiri menyara hidup anak dan isteri. Walaupun cuma menjual ikan dengan motosikal tetapi dengan hasil jualan itulah Abang Man membeli kereta kancil. Dan siapa sangka Abang Man bekas penagih, yang lamarannya sebelum berkahwin selalu ditolak, kini mampu hidup selesa. Dan bukankah emak juga berperanan besar memberikan Abang Man seorang isteri? Emak bukan sahaja menyediakan wang perbelanjaan kahwin Abang Man tetapi juga telah membina rumah batu untuk Abang Man sebagai hadiah selepas Abang Man berhenti menagih. Walaupun rumah itu cuma sebilik tetapi dengan ruang tamu dan dapur yang besar, rumah itu amat selesa. Pernah abang kata rumah itu terlalu kecil. Namun kata emak,

“Kalau nak rumah sendiri cari duit sendiri dan buat sendiri. Dulu menghisap dadah tidak belajar rajin-rajin.”

Dan sudah pasti Abang Man akan senyum seperti kerang busuk. Emak terkilan sungguh pada Abang Man. Sebab Abang Man bukan bodoh. Belajar dalam Tingkatan Empat dan Lima aliran sains. Tetapi masa tu sudah menagih. Selepas tamat belajar masih sempat berkursus di Institut Kemahiran Mara. Dan dengan kelulusan itu dia pernah mendapat gaji hampir dua ribu ringgit. Namun samada gaji kecil atau gaji besar tetap sama bagi Abang Man. Semua habis untuk dadah. Jika abang Man berikan sedikit gaji pada emak, Abang Man akan minta balik daripada emak. Emak walaupun berleter tetap memberi. Takkan mahu anak mencuri harta orang. Lagipun emak tahu benar bagaimana sikap Abang Man kalau ketagihannya tidak dirawat dengan dadah. Dan jika tidak mendapat habuan dadah, emak tahu penagih akan jadi mereng. Emak tidak mahu anak kesayangan itu menjadi gila. Siapa akan jaga? Bukankah emak juga yang akan menjaga?


Anak cikgu Daud yang duduk dua kilometer dari rumah ku jadi gila kerana Cikgu Daud mengurung anak gadisnya di dalam bilik supaya anak itu tidak merayau mencari dadah dan jantan. Tetapi selepas itu, menjadi gila pula. Sayang sungguh! Anak gadis itu sungguh cantik. Belum sempat menganbil SPM sudah jadi gila pula. Itulah bualan orang kampung di tangga-tangga segenap rumah dan di ceruk kedai kopi. Dadah di kampungku bermaharaja lela sejak dulu lagi. Ketika aku masih bersekolah menengah aku sudah tahu khabar-khabar angin anak siapa yang hisap dadah. Jika di setiap rumah mempunyai televisyen, begitu juga dengan dadah. Kini setelah berusia lebih tiga puluh tahun, dadah dan ‘yang sewaktu dengannya’ masih dan akan kekal menular di kalangan anak-anak sekolah dan penganggur. Di setiap rumah pasti ada anak yang penagih dadah, bohsia, bohjan, mat rempit dan segala jenis makhluk lain. Paling tidak pun, berjudi atau minum arak.


Sepupuku yang khatam mengaji masa darjah tiga sudah jadi mat rempit juga. Motosikal yang kakaknya beli untuk pergi ke sekolah dijadikannya motor untuk berlumba haram di bandar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa. Kesian kakaknya itu, bekerja mengangkat papan lapis di kilang Cina, berjimat cermat beberapa tahun, dibelikannya motosikal untuk adik bawa ke sekolah. Hasrat murni kakak tidak kesampaian. Sudahlah beribu habis kerana membali motor baru, duit simpanan juga diambil oleh adiknya.


Siapa yang tidak tahu cerita Mat Rotan, badannya seperti papan lapis itu sanggup menjual anak yang baru lahir hanya kerana nakkan dadah. Kesian isterinya. Sehingga kini masih seperti dulu cantik dan putih bersih. Dulu berkahwin dengan Mat Rotan kerana kerjanya askar. Bukan main glamour lagi masa itu kerana berkahwin dengan askar memang impian setiap anak dara zamannya. Itulah yang dikata perkahwinan itu satu perjudian. Bergantung kepada nasib masing-masing. Siapa sangka kawin dengan askar yang pada waktu itu sungguh glamour, sekarang askar itu cuma seorang penagih dadah. Sanggup menjual anak, menjuak kain batik isteri dan emak tua untuk mendapatkan beberapa ringgit.


Hidup memang mengajarku untuk lebih tabah menghadapi dugaan selepas pemergian Hadi. Dengan gaji sebagai pensyarah aku memang tidak kesempitan wang walaupun Hadi telah meninggalkan ku. Aku masih ada tempat tinggal yang selesa. Aku mempunyai kereta sendiri. Setidak-tidaknya aku boleh bergerak ke sana dan ke mari bagi menguruskan keperluanku dan anak-anak. Namun aku telah terbiasa dimanjai Hadi. Semenjak membeli kereta aku tidak pernah mencuci kereta sendiri. Rumput dan lalang dipotong Hadi. Sedikit pokok buah-buahan di sekeliling banglo dibajai Hadi. Aku cuma meneman Hadi bekerja namun tidak pula ku sentuh. Hanya kadang-kadang aku menyibukkan diri mencabut beberapa helai rumput di dalam pasu bunga. Kehilangan Hadi begitu terasa sekali. Kasih sayang Hadi bukan setakat membelai dan memeluk tubuhku. Kasih sayang Hadi disertai tindakannya. Tidak pernah di dalam satu hari Hadi tidak menelefonku. Cuma kadang-kadang aku malas nak melayan kerana tiada topik perbualan. Hadi akan amat berterima kasih sekiranya sekali sekala aku memasak untuknya. Dia tidak lupa untuk memuji setiap masakan yang kubuat untuknya. Namun kini, terasa begitu penat melayan kerenah anak-anak di meja makan. Jika dulu Hadi akan memasak dan aku membantu serba sedikit, kini aku terpaksa melakukan kesemuanya. Mak Yah juga sudah berhenti. Tidak diberitahu alasannya yang sebenar. Cuma katanya dia sudah tua. Mahu duduk di kampung bersama anak perempuannya. Jika tidak betah di rumah anak, katanya mahu tinggal di pondok ugama. Mahu habiskan hayatnya mendalami ilmu agama. Aku tidak menghalang pemergian Mak Yah. Jika niat dia baik, masakan aku dapat menghalang. Namun hatiku syak, badannya tidak mampu untuk menguruskan rumah dan memasak. Bebannya telah bertambah sejak ketiadaan Hadi. Aku terpaksa berkejar-kejar menghantar Farah ke rumah kenalanku di Mantin, Firdaus ke Kajang dan Farabi ke tabika Serdang setiap kali pergi kerja. Pulang dari kerja terpaksa pula mengambil Farabi, Firdaus dan kemudian Farah. Penatnya menghantar dan mengambil anak-anak yang bertaburan di dua negeri itu menyebabkan kadang-kadang aku menangis. Kerja yang bertimbun di pejabat, rumah yang tidak berkemas dan anak-anak yang meminta itu ini membuatkan aku sering hilang sabar. Dan kadang-kadang ku marahi anak-anak yang tidak berdosa itu. Dan seringkali pula aku turut menangis bersama mereka.


Susahnya hidupku setelah ketiadaan Hadi membuatkan aku mengingat kesusahanku semasa kecil. Aku kerap bergaduh dengan Abang Man. Entah kenapa aku tidak ‘sebulu’ dengan Abang Man semasa kecil. Sikap panas barannya atau mungkin juga aku cemburukan kasih sayang emak pada Abang Man. Jika kami bergaduh aku sentiasa yang dipersalahkan. Jika Abang Man yang bersalah pun, aku tetap dipersalahkan kerana menurut emak, aku tidak padan dengan perempuan, bercakap dan berkelakuan macam lelaki. Mungkinkah juga kasih sayang emak yang menyebabkan Abang Man rosak? Aku tidak mahu menuduh emak. Kerana setelah aku mempunyai anak, terutama apabila Firdaus sudah bersekolah, aku mula menyedari betapa kuatnya pengaruh persekitaran dan kawan-kawan terhadap pergaulan dan kelakuan anak-anak.


Emak bagiku seorang berprinsip dan tidak gentar dengan kesusahan hidup. Emak seorang yang taat agamanya. Aku ingin menjadi seperti emak, yang walaupun hanya bersekolah sehingga Darjah Dua, tetapi cerdik dan tabah menghadapi umpatan, hinaan dan tidak pernah menggadaikan prinsipnya semata-mata untuk hidup senang. Aku juga mahu seperti abahku, tidak berdendam, pemaaf dan pemurah. Kata emak abah seorang yang ‘lurus bendul’. Aku juga ingin bersikap ‘lurus bendul’ seperti abah. Sekurang-kurangnya aku ingin jujur pada diri sendiri.


Suatu petang, Amy Nadia datang bersama seorang lelaki bertandang ke rumah. Kedatangan Nadia seperti ada sesuatu yang tidak kena. Kami berbual sebentar dan taulah aku lelaki tersebut adalah abangnya. Aku kemudian ke dapur lantas mengambil beberapa cawan dan sekotak jus epal.


“Silalah minum. Air bujang je.” Kata ku berbahasa walaupun sebenarnya hati meneka-neka melihat riak Amy Nadia yang tidak selesa.

Amy Nadia memandang abangnya.

“Begini kak. Saya datang nak berbincang tentang harta arwah abang Hadi.”

“Apa maksud Nadia?”

“Takkan Hadi tidak ada sedikit pun harta pusaka?” Abang Amy Nadia menyampuk dengan nada yang agak tegang. Aku terkejut dan terdiam seketika.

“Sebenarnya apa yang Nadia tahu mengenai harta Arwah?” Aku menyoal.

“Rumah ni, kereta, simpanan dalam bank.” Amy Nadia tidak menjawab, hanya menunduk muka. Abangnya pula yang meninggikan suara dan bertentang mata dengan ku. Mungkinkah dia mengagak aku tidak berniat untuk memberi adiknya harta Hadi?

Aku cuma tersenyum.

“Kalau Nadia nak tahu, rumah ini dibeli menggunakan nama akak. Kakak yang keluarkan duit lebih seratus ribu ringgit membayar pendahuluan rumah ini. Masa itu akak bekerja di Jepun selama dua tahun. Dalam tempoh dua tahun itu akak dapat gaji 13, 000 sebulan. Campur dengan gaji kat Universiti lagi. Duit simpanan gaji di sana akak bayar rumah ini. Akak langsaikan hutang kereta, arwah berhenti kerja mengikut akak ke Jepun. Dia cuma bekerja sambilan di sana sekali sekala saja. Mana ada duit?” Amy Nadia mati kutu.

“Saya tidak tahu Puan berbohong atau tidak. Tapi Amy adalah isteri Hadi juga. Dia berhak mendapat apa yang menjadi kepunyaan Hadi.”


“Saya boleh tunjukkan buku akaun saya semasa saya di sana. Saya masih menyimpan buku tersebut sehingga kini. Saya boleh juga tunjukkan buku akaun Hadi kalau awak tak percaya!” Aku juga mula meninggikan suara.

“Hadi setelah pulang ke Jepun berkongsi membuka syarikat sendiri. Sudah tiga tahun. Amy Nadia pun tahu. Mana syarikatnya ada keuntungan lagi. Masih merangkak. Gajinya cuma seribu ringgit sebulan. Seribu ringgit sebulan tu saya tak usik pun. Gaji saya dah lebih dari cukup. Kalau Hadi tak bergaji sekali pun, saya dan anak-anak masih boleh makan.”

“Tapi Amy Nadia berhak dapat harta sepencarian jugak. Walaupun sedikit!”

“Apa yang encik cakap ni? Mana ada Hadi beli apa-apa semasa dia berkahwin dengan Amy Nadia. Takkan Amy Nadia tidak tahu Hadi tidak berduit. Amy Nadia bekerja di bawah Hadi. Tanyalah dengan rakan kongsi Hadi. Berapa banyak harta Hadi?”

“Saya akan jumpa peguam, bincangkan hal ini.” Aku terkejut. Lelaki itu bingkas bangun.

“Maafkan kami akak. Saya sebenarnya tidak mahu buat macam ni. Saya tahu abang Hadi tidak ada duit dan harta. Hadi ada bagi tau saya dia cuma menumpang rezeki akak. Saya dah bagitau abang tapi dia berkeras. Dia ingat Kak Sarah tinggal di rumah besar dan hidup mewah kerana Hadi ada meninggalkan harta.”

“Nadia, Akak memang tinggal di rumah yang selesa. Tapi tak bermakna akak hidup mewah. Akak cuma bernasib baik sebab akak berjimat cermat semasa di Jepun dan dengan duit tu Akak dapat beli rumah ni. Abang Hadi memang selalu menyebut dia cuma menumpang akak. Maklumlah syarikatnya masih lagi tidak mendapat keuntungan. Tapi akak sedar kalau Hadi tidak berhenti bekerja dan tidak izinkan akak ke Jepun, kami tidak dapat memiliki rumah ini pun.”

“Akak pun tidak pernah mengungkit kisah rumah ini. Takut Hadi berkecil hati. Akak masukkan nama Hadi sebagai pemilik rumah ini bersama nama akak sebagai menghargai pengorbanan Hadi berhenti bekerja dan temankan akak ke Jepun.” Aku menambah.

“Saya faham akak. Saya akan pujuk abang saya.”

“Yalah.” Aku masih terasa sakit hati.

“Maafkan saya kak. Saya balik dulu.”

Amy Nadia menuju ke pintu dan aku cuma menghantar dengan pandangan mata. Baru beberapa langkah Amy Nadia berpaling dan berjalan ke arah ku semula.

“Saya terlupa pula. Dua bulan lagi saya akan berkahwin dengan Amer…kawan Hadi”.

Aku terkejut. Begitu cepatkah cinta Amy Nadia luntur?

“Entahlah akak. Pada mulanya saya ingin bekerja di tempat lain. Tapi Abang Amer tidak benarkan. Dia kata dia nak usahakan kilang tu bersama-sama saya. Sebenarnya, saya tidak berniat untuk berkawin dalam masa terdekat ini. Tetapi abang Amer ikhlas. Dia kata cinta boleh dipupuk lepas kawin. Dia bersimpati dengan saya. Saya pun tidak ingin bersendirian. Jiran-jiran asyik megumpat kata saya perampas suami orang. Kawan-kawan sepejabat pun dah mula menjauhkan diri takut saya rampas suami dia orang.”

“Terpulanglah Nadia. Nadia berhak tentukan apa saja kehendak Nadia. Lagi pun Amer tu kan solo. Akak kenal dia tapi tak baik sangat. Semoga Nadia bahagia. Tapi Nadia pun kena banyak bersabar. Syarikat tu masih baru. Promosi tak cukup baik. Pelanggan pun baru beberapa orang. Walaupun Abang Hadi ada syer kat situ, akak tak berminat nak ambil tahu… Dan akak percaya Amer pun tidak berduit seperti abang Hadi. Maklumlah syarikat sendiri. Yang penting sewa kilang dan pejabat didahulukan. Kemudian gaji pekerja. Gaji sendiri kemudian kira. Kadang-kadang tak bergaji pun.”

“Saya faham kak. kalau teruk sangat, saya cari kerja lain. Biar abang Amer yang uruskan syarikat tu… Saya nak tengok syarikat tu berjaya. Biarlah kami usahakan sedaya upaya kami. Kalau kami gagal saya redha kak.”

“Itulah yang terbaik Nadia. Kalau Abang Hadi ada, dia tentu gembira sebab Nadia ambil berat pasal syarikat tu. Tak macam akak. Akak memang tak minat. Akak sudah selesa kerja di U. Dah malas nak ambil tahu urusan lain.”

“Saya balik dulu kak…” Amy Nadia mencium kedua-dua belah pipiku. Aku jadi terharu. Ku rangkul Nadia dan beberapa ketika aku berasa sebak. Sebak kerana hubunganku dengan bekas madu ku menjadi lebih erat selepas pemergian Hadi. Aku cuma mampu berharap agar Amer tidak mensia-siakan Amy Nadia.


Selepas berkahwin dan mendapat anak, aku mendapat tawaran sebagai pensyarah universiti Chuo yang terletak di Hachioji. Aku menerima tawaran tersebut bukan sahaja kerana faktor kewangan tetapi juga kerana ingin mengumpul data bagi penulisan tesis ku. Profesor Dr Miyamoto Masaru datang menemui kenalannya di Universiti Malaya, yang juga merupakan kenalan ku. Aku diperkenalkan oleh Dr Nash kepada Prof Miyamoto dan setelah berbicara di dalam bahasa Jepun, dia terus bersungguh-sungguh mengajakku supaya mengajar di sana selama dua tahun. Bila ku beritahu Hadi, Hadi juga bersungguh-sungguh mahukan aku pergi, kerana dia juga rindukan negara itu setelah lima tahun tidak menjejak kaki ke sana. Peluang ini bagaikan bulan jatuh ke riba. Aku bukan sahaja berfikir tentang tesis ku, tetapi gaji bulanannya yang diberikan sebanyak 420,000 yen atau lebih kurang RM13,000. Aku juga mula berfikir untuk melangsaikan hutang kereta dan membeli rumah yang lebih selesa.


Tiga bulan pertama aku hanya pergi seorang diri. Hadi dan Firdaus yang semasa itu berumur empat tahun menyusul tiga bulan kemudian. Semasa aku ke Universiti, Hadi menjaga Firdaus dan menyediakan hidangan makan malam. Jarang sekali kami makan di luar. Bukan sahaja kerana harga yang mahal tetapi juga keraguan tentang halal atau haram makanan tersebut. Lagi pun menaiki basikal lima minit, kami akan sampai ke kedai milik warganegara Pakistan yang menjual makanan mentah halal. Berbagai bahan dijual termasuklah telur masin dari Thailand, ayam atau daging halal dari Brazil serta perlbagai jenis sos dari Malaysia dan Indonesia. Kami boleh menyediakan berbagai masakan Melayu yang enak. Kami juga boleh memasak tempura dan nabe jika ingin bertukar selera. Malam pula Hadi keluar membuat kerja sambilan.


Aku masih ingat bila aku terbeli onigiri Natto, iaitu sejenis nasi kepal yang dibungkus dengan nori. Di dalam onigiri tersebut terdapat nattou, sejenis kacang soya yang telah diperap. Baunya agak meloyakan dan agak melekit. Aku dan Hadi tidak lalu menelan. Peliknya Firdaus bersungguh-sungguh makan. Kami ketawa sambil mengeleng kepala, kerana terlalu jarang orang asing yang sukakan nattou. Agaknya kalau orang Jepun disuruh makan taucu mentah, mampukah mereka mengunyahnya?


Hadi bekerja sambilan pada waktu malam sebagai operator kilang. Kebanyakan gajinya disimpan. Dia cuma menggunakan wangnya untuk membeli hadiah harijadiku. Dia membeli satu set minyak wangi dan jam tangan jenama Renoma. Hadiah itu ku simpan sehingga kini. Terasa sayang aku mahu menggunakan minyak wangi itu kerana ku tahu susahnya Hadi bekerja selama lapan jam setiap malam tanpa duduk. Balik pagi, dia akan mengeluh kerana sakit pinggang. Masa itu pula musim sejuk, bila dia masuk ke dalam selimut, tempat aku dan Firdaus tidur, dapat ku rasakan betapa sejuknya badan Hadi. Dia akan memelukku kerana mahu menghangatkan badan yang kedinginan. Aku pula menolak tubuhnya kerana tidak ingin haba tubuhnya itu bersentuh dengan badan ku yang telah pun hangat.


Ketika berada di Jepunlah aku mengandungkan Farabi. Bertugas sebagai pensyarah bahasa Melayu tidak membebankan aku. Malah aku gembira melihat pelajar-pelajar comel yang sentiasa ceria di dalam kelas. Sewaktu mereka mengetahui aku mengandung, mereka selalu menepuk-nepuk perutku. Kerap juga mereka bertandang ke rumah kerana ingin makan masakan Malaysia. Kebanyakan pelajar-pelajar itu pernah datang ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali. Ada yang telah datang tiga empat kali. Malah ada beberapa orang selepas itu datang ke kampungku dan tinggal selama seminggu.


Masih teringat betapa peritnya aku menulis draf tesisku. Memabaca jurnal-jurnal bahasa Jepun dan Inggeris lalu menulis sorotan kajian serta kritikannya dalam bahasa Melayu. Semakin sarat aku mengandung, pinggangku terasa semakin sakit. Ketika aku duduk di kerusi mengadap komputer aku seperti tidak dapat pun untuk bangkit kerana sakit punggung yang amat. Dan selepas aku pulang ke Malaysia untuk selamanya, aku mengandungkan Farah. Ketika itu Farabi baru berumur setahun lapan bulan. Pengajianku ketika itu pada peringkat akhir. Anak-anak yang kecil walau banyak mengambil waktu ku, menjadi pendorong yang amat kuat kerana keazamanku yang tinggi. Azam untuk berjuang dan menerima segulung ijazah tanda hadiah kepada anak-anakku. Dan syukurlah dalam segala keperitan itu, setelah tiga tahun setengah, aku berjaya juga mengambil ijazah Ph. d. di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya.


Seawal Suboh telefon bimbit berdering. Ku lihat paparan nama Norazura. Azura merupakan rakan baikku semenjak kami berada di Ambang Asuhan Jepun lagi.

“Hello Zura. Pagi-pagi buta ni apahal?”

“Sarah, tadi isteri abang Rafli telefon.”

“Abang Rafli?” Aku kehairanan. Sudah bertahun tidak mendengar nama abang Rafli tiba-tiba pagi itu namanya menjadi topik perbualan kami.

“Sarah, Abang Rafli meninggal.”

“Bila?”

“Minggu lepas kat Hotel di KL. Sakit jantung.”

“Innalillah.”

“Macamana isteri dia boleh tau Zura?”

“Abang Rafli sebelum meninggal dah bagitau dia, suruh cari kita dan berkawan dengan kita. So isteri dia telefon rumah Zura. Kakak Zura bagi nombor telefon Zura kat dia.”

Kami diam seketika.

“Maknanya, Abang Rafli dah maafkan kita la. Sebab tu dia suruh isteri dia cari kita.” Aku menyakinkan diri sendiri.

“Zura pun harap begitulah…”

Aku kembali diam.

“Ok la Zura. Nanti Sarah telefon ya! Sarah terkejut lagi ni.”


Aku terduduk di kerusi dan mula menitiskan air mata. Hubungan cinta tiga segi antara aku, Zura dan Abang Rafli tak mungkin dapat ku lupakan sampai bila-bila. Pembohongan yang ku katakan pada Abang Rafli, tanpa sebarang niat buruk, namun hati ini masih lagi kesal kerana memberi janji kosong. Renungan redup mata Abang Rafli dan bibir Abang Rafli yang kemerahan masih segar dalam ingatan ku. Sudah hampir 15 tahun namun aku masih ingat setiap kenangan bersama Abang Rafli.

Aku menghadiahkan Surah Yasin pada Abang Rafli. Semoga rohnya tenang. Itulah lelaki yang pertama dan terakhir ku bohongi. Aku berasa amat lega sekurang-kurangnya Abang Rafli tidak membenci dan berdendam denganku. Kalau tidak, tak mungkin dia menyebut nama ku dan Zura dan meminta isterinya meghubungi kami. Sungguh tak ku duga begitu ikhlas hati Abang Rafli. Aku mula terbayangkan saat aku mencari Rafli di Nagoya .


Persetankan dengan Zakuan. Sakit hati, sedih dan terhina mengenangkan perubahan sikap Zakuan. Berpucuk surat yang ku hantar tidak dibalas. Dulu aku pernah dimarahnya kerana surat yang ku hantar padanya lambat sampai. Kini dia pula cuba memencilkan diriku. Sebelum bertunang bukan main dia mencurahkan kasih, kini setelah bertunang, aku mula terasa bimbang akan kesetiaan Zakuan. Memang cinta jarak jauh penuh dugaan. Namun tidak sekali pun aku curang pada Zakuan. Kini aku mula ragu-ragu akan kesetiaan Zakuan. Dulu semasa masih bergelar pelajar universiti Zakuan tidak berduit dan hanya memandang diri ku seorang. Setelah bertunang, Zakuan sudah bekerja di sebuah sekolah menengah sebagai guru sementara. Mungkin cintanya pula pudar setelah melihat ramai lagi wanita cantik di luar sana. Lagi pun siapalah aku. Aku masih bergelar seorang siswi.


Dengan tiket juuhachikippu, aku boleh ke Shizuoka dari Hiroshima menaiki mana-mana keretapi kecuali Shinkansen. Bukan aku tidak mampu membeli tiket Shinkansen. Aku lebih dari mampu sebab aku menerima biasiswa Monbusho. Biasiswa ku walaupun setelah ditolak sewa rumah dan bil-bil air, baikinya masih lebih banyak dari gaji Zakuan sebagai seorang guru. Aku sayangkan duit! Aku berjimat cermat untuk menghantar wang ke kampung. Sebahagian ku berikan kepada emak dan abah sebahagian lagi ku simpan dalam Tabung Haji. Seawal pukul lima pagi aku bertolak dari Hiroshima. Berbekalkan buku jikokuhyou yang ku beli, aku menaiki keretapi seorang diri. Di dalam keretapi aku takut untuk tertidur, kerana aku perlu bertukar hampir sepuluh keretapi sebelum sampai ke Shizuoka. Ku semak waktu dan nombor platform berulang kali, takut terlepas keretapi atau kalau-kalau aku ternaik keretapi yang salah. Aku rasa akulah saja seorang pelajar Malaysia yang berani menaiki keretapi seorang diri menggunakan tiket juuhachikippu. Aku bercadang ke Tokyo terus. Tapi akhirnya membatalkan niatku. Aku teringatkan Maisarah yang tinggal di Shizuoka. Rasanya aku patut singgah di rumah kawan baikku beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan ke Tokyo.


Aku sampai di Shizuoka ketika hampir senja. Di Stesen Shizuoka Maisarah tersenyum menunggu. Aku memeluk Maisarah sambil ketawa kegembiraan. Di rumah, Maisarah memasak kari ikan dan tempura. Pelik sungguh ku rasakan. Tidak kena langsung tempura dengan kari ikan. Namun ku telan juga dengan lahap. Dah satu hari aku memakan bento dalam keretapi. Sudah muak! Aku makan begitu berselera. Maisarah pula tersenyum-senyum melihat aku. Maklumlah dah hampir tiga tahun tidak berjumpa.


Selesai makan, kami berehat sambil menonton filem Inggeris, sudah tentulah yang sudah dialihsuara ke bahasa Jepun. Di Jepun memang susah jika ingin menonton cerita luar negara dalam bahasa ibundanya. Semua bercakap Jepun. Apabila dialih suara kadang-kadang terasa gelihati pula bila interpretasinya ada yang tidak sesuai.


“Dalam surat bukan main lagi dok bercerita pasal Zack!” Maisarah memulakan kata, selepas mengemas di ruang dapurnya yang kecil itu.

Aku memandang Maisarah.

“Entahlah Maisarah, aku pun tak tau nak buat apa. Watashino koto wasuretanjanaino!”

“Mungkin kot. Dia dah kerja. Awak tu budak-budak lagi.”

“Aku ajak dia kawin selepas aku tamat belajar, dia tak pernah nak jawab.”

“doushite hayaku kekkonshitaino?” Maisarah ketawa.

“Sukidakara yo. Hayaku isshoini itai deshou!” Aku menempelak.

“Dia tak nak kawin cepat kot. Dia baru nak rasa duit, hang dah ajak kawin.” Aku diam.

“Heh! Hari tu aku jumpa Abang Rafli! Masih comel macam dulu jugak!” Mendengar nama Abang Rafli aku mula berdebar.

“Hang tak pernah jumpa dia masa kat Nihon ni?”

Aku mengeleng kepala.

“Ada nombor telefon?” Aku bertanya.

“Ada… Nanti aku bagi. Hang nak buat apa?”

“Dia kan abang angkat aku? Aku nak contact dia…saja-saja… dengar khabar… dame?”

Maisarah senyum penuh makna.

“Jomlah gi Tokyo dengan aku! Malas lah pulak aku gi sorang-sorang.”

“Boleh jugak. Aku pun tak dok keje ni…”


Ke Tokyo bersama Maisarah tidaklah aku terasa sunyi. Asyik bercakap sahaja dalam keretapi. Kadang-kadang bercakap dalam bahasa Jepun. Oleh kerana penampilan kami yang pelik, memakai seluar jeans dan bertudung, selalu menjadi perhatian orang Jepun terutama obasantachi. Namun tidak kami hiraukan. Kami bercakap dalam bahasa Melayu ketika mereka memperkatakan tentang kami. Apabila mereka diam, kami bercakap bahasa Jepun pula. Ternganga mereka. Ada yang meminta maaf selepas itu tetapi kami cuma ketawa dan selepas itu kami berbual dengan obasantachi dengan girang.


Kami di sana selama dua hari saja. Hari pertama aku pergi melawat Tokyo Dome dan Tokyo Tower. Hari kedua kami habiskan satu hari di Tokyo Disneyland yang terletak di Chiba. Hari ketiga awal pagi kami bertolak pulang. Maisarah balik ke Shizuoka dan aku meneruskan perjalanan pulang ke Hiroshima. Namun selepas berpisah dengan Maisarah, aku nekad untuk ke Nagoya, tempat Abang Rafli. Sepanjang perjalanan ke Nagoya kenangan bersama Zakuan dan Abang Rafli silih berganti. Abang Rafli adalah idolaku sejak aku pertama kali ditegurnya. Dia berasal dari Pengkalan Chepa. Semasa minggu orientasi, aku yang juga berasal dari Kelantan diekori oleh Abang Rafli dan konco-konconya yang juga pelajar senior dari kelantan. Abang Rafli tidaklah tinggi lampai. Dia agak rendah tapi mempunyai rambut yang amat hitam, kening yang tebal dan bibir yang merah. Bila dia ketawa, dia akan ketawa mengekek-ekek. Kadang-kadang aku sangat lucu melihatnya. Suaranya begitu sedap didengar dan dia bertutur dengan lemah lembut. Namun sayang cuma seminggu aku dapat berbual dengannya. Dia menjagaku selama seminggu itu sahaja kerana takut aku diganggu oleh pelajar senior lain. Aku masih ingat Abang Rafli juga memperkenalkan aku pada seorang pelajar asasi sains, juga dari Kelantan yang bakal mengambil jurusan perubatan. Aku cuma memandang pelajar tersebut tanpa sebarang kata. Pelajar itu juga cuma tersenyum-senyum pada ku dan selebihnya dia banyak diusik oleh sempai-sempai Kelantanku sehingga banyak tersipu-sipu. Hanya seminggu aku sempat menjalinkan hubungan angkat dengan Abang Rafli. Selepas itu sempai dari Perak pula ingin berkawan dan mengambil ku sebagai teman wanitanya. Aku cuma mengangguk tanpa mengetahui budi pekerti Ridwan. Dan selepas itulah Abang Rafli mula menjauhkan diri. Kadang-kadang terserempak di Pusat Persediaan Khas Jepun, Abang Rafli berlagak seperti tidak memandang. Tentulah dia marah kerana aku menjadi teman wanita orang lain. Agaknya mungkin juga aku terpikat dengan Abang Ridwan yang agak kacak itu walaupun badannya kurus kering. Namun sesekali, mata ku dan mata Abang Rafli akan bertembung juga. Dan dengan cepat pula Abang Rafli akan memalingkan muka ke arah lain. Sebenarnya aku begitu sedih kerana menghiris hati Abang Rafli. Aku dan Ridwan hanyalah cinta monyet. Aku bercinta tanpa mengetahui apakah cinta itu yang sebenarnya.


Setelah Abang Rafli berjaya ke Jepun dengan biasiswa Monbusho aku bertekad untuk mendapatkan biasiswa tersebut. Biasiswa tersebut hanya diberikan kepada 10 orang pelajar terbaik. Yang selebihnya iaitu 90 orang akan mendapat biasiswa JPA yang lebih sedikit jumlah wangnya. Setelah Rafli dan Ridwan ke Jepun, barulah ku tahu, senior senior Kelantan ku pernah memberi amaran pada Ridwan agar tidak mempermainkan aku. Rafli dan Ridwan hampir bergaduh kerana ku. Barulah ku tahu juga Ridwan sebenarnya sebelum ini bercinta dengan salah seorang kakak sejurusan dengannya. Agaknya itulah yang mengecewakan Abang Rafli. Aku tersilap pilih. Selepas Ridwan ke Jepun dia cuma menulis surat pada ku hanya sekali sahaja. Selepas itu dia mendiamkan diri. Aku pula tidak berapa endah, kerana bertungkus lumus menghambat pelajaran yang diajar di dalam bahasa Jepun. Kadang-kadang tidak ku faham sepatah pun apa yang guru berbangsa Jepun ‘mengomel’ di dalam kelas. Masakan tidak. Aku cuma belajar bahasa Jepun selama setahun, kini terpaksa pula belajar semua mata pelajaran dalam bahasa Jepun. Tambah lagi, Sakaguchi Sensei menggunakan loghat Osaka yang begitu asing pada ku. Hubungan ku dengan Ridwan akhirnya tamat dengan sendirinya.


Semasa aku mula sampai di Tokyo ada beberapa orang sempai menunggu kedatangan kami. Aku dan rakan-rakan menjalani orientasi selama seminggu bersama pegawai JPA dan senior-senior. Aku dapat menangkap kelibat Abang Rafli. Tapi dia tidak pula mencariku. Walaupun hampa aku tidak endahkan juga, kerana saat itu aku telah berjanji untuk setia bersama Zakuan. Memang aku sedari dari awal Zakuan adalah cinta pertamaku. Yang ku cintai sepenuh hatiku. Kenangan manis bersama Zakuan menghilangkan ingatan ku pada Ridwan dan Rafli. Ketika itu, aku menuju ke Nagoya untuk abang Rafli. Untuk apa? Untuk simpati? Atau untuk menghiris perasaan abang Rafli buat kali kedua?


Tiba di Nagoya aku terkejut melihat stesennya yang besar. Kelam kabut mencari jalan keluar, aku melilau juga mencari pondok telefon. Ku ambil diari kecilku dan mencari nombor telefon Rafli. Berdebar-debar kerana itulah pertama kali sejak empat tahun aku menghubunginya. Tentulah dia terkejut. Sanggupkah dia berjumpa denganku?


“Moshi-moshi Rafli san desuka?”

“Hai, soudesuga…?”

“Siti Sarah desu. Hiroshima no…”

Tiada jawapan... Tiada nada gembira… Aku kaget. Malunya sekiranya Abang Rafli tidak melayanku. Senyap seketika. Membuat aku menyesal kerana telah menelefonnya. Untuk berpatah balik sudah tentu boleh. Aku cuma perlu menukar tiket shinkansen di kaunter. Tapi alang-alang sudah menelefon, takkan aku mahu meletakkan telefon saja?

“Ima, Nagoya eki ni irukedo…” Aku menyambung ayat dengan harapan agar Abang Rafli mengetahui tujuan ku memanggilnya.

“Haihai. Chotto matte. Ima sugu iku yo. Sarah keluar ikut deguchi mana?”

“Belum keluar lagi. “

“Ok, cari nishiguchi. Keluar ikut situ. Tunggu kat situ. Jangan pergi mana-mana. Abang sampai 10 minit lagi.”


Aku menurut saja arahan Abang Rafli. Aku terharu kerana Abang Rafli sanggup menemuiku yang derhaka ini. Muka yang bagaimana harus ku tunjukkan padanya? Aku mula menyesali tindakanku. Aku merasakan aku telah memulakan langkah yang salah. Namun tak dapat aku berpatah lagi. Menunggu Abang Rafli amat menyiksakan jiwa. Mata melilau mencari Abang Rafli. Akhirnya aku dapat melihat kelibat Abang Rafli di celah-celah ratusan manusia yang berlegar-legar di foyer stesen. Abang Rafli tersenyum memandang. Aku tidak berani memandang lagi. Jantung berdebar-debar. Tentu dia perasankan wajahku yang kemerahan menahan malu.


“Kichatta…” Kataku sambil tersenyum dan memandang wajahnya. Ada wajah gembira memandang ku. Dia tersenyum manis dan aku dapat melihat kegugupannya juga. Mimpi apa aku datang ke Nagoya?

“Sarah tidur kat rumah abang malam ni. Abang tidur rumah kawan. Esok baru balik ya!”

Aku cuma mengangguk.

“Beraninya datang sorang-sorang. Dari mana?”

“Dari Tokyo. Saja singgah. Lama tak tengok Abang Rafli.”

Abang Rafli memandangku penuh mesra.

“Tak sangka Sarah telefon. Macam mimpi je. Ribut tak hujan pun tak… tiba-tiba Sarah call abang..”

“Maaflah kalau mengganggu. Sarah cuma nak jumpa Abang Rafli. Sarah nak ucapkan terima kasih kerana Abang, Sarah berjaya datang Jepun dan dapat Monbusho!”

Abang Rafli nampak gembira mendengar penjelasanku. Namun sekejap sahaja, air mukanya berubah.

“Kini abang pula terbalik. Abang terpaksa ryuunen setahun lagi. Monbusho tak nak sponsor lagi!” Aku terdiam. Rasa gugup dan berdebar-debar menemaniku sepanjang perjalannanku berjalan kaki ke asramanya. Rupa-rupanya Nagoya lebih besar dari Hiroshima. Mungkin ia bandar ketiga terbesar di Jepun. Ia bandar perindustrian dan sibuk sepanjang masa.


Tiba di bilik Abang Rafli aku terasa begitu kekok. Selama ini tak pernah aku berada di dalam bilik lelaki. Ada ketukan di pintu bilik Abang Rafli. Ku kenal tetamunya. Kawannya yang merupakan sempaiku dan berasal dari Kelantan. Dia yang telah ku lupa namanya cuma tersengih-sengih memandangku. Sekali sekala tersengih pula pada Abang Rafli seolah-olah mengusik Abang Rafli. Abang Rafli berlagak selamba. Abang Rafli memasak nasi goreng berlaukkan ikan tuna di dalam tin. Aku tidak pernah memasak sedemikin merasa agak lucu.


Kami makan bersama-sama. Muaknya! Terasa seolah kepingan isi ikan terlekat di kerongkong ku. Setelah itu kawannya menepuk bahu Abang Rafli dan beredar. Tinggal kami berdua. Perasaan tidak senang hati mula menguasai diri. Menyesal pun sudah tidak berguna. Aku cuma memandang Abang Rafli. Aku duduk di kerusi tempat Abang Rafli menelaah buku, dan Abang Rafli duduk di birai katil. Di rumah Abang Rafli, ruang tamu bukan sahaja tenpat belajar, tetapi tempat memasak dan tidur. Aku tidak tahu ke mana patut ku halakan pandangan mata ku. Aku cuma memandang dinding dan lantai rumah. Sesekali mencuri pandang akan matanya yang redup dan keningnya yang tebal itu. Manisnya wajah!

“Abang dah cakap tadikan? Abang kena mengulang semula pengajian. Tesis abang tak sempat siap…Mana lagi nak cari duit untuk bayar daigaku… Nak minta dengan abah takut orang tua tu runsing pulak..”

“Dan confirm ke kena ryunen?’

“Dah! Abang pun tak tahu nak buat macamana.”

Aku cuma diam.

“Sarah camana?”

“Sarah okey, tahun depan sotsugyoulah.”

“Sarah sotsugyou dulu dari abang ya…” Abang Rafli ketawa sinis.

“Tak apalah. Jangan cepat putus asa. Bukan abang sorang yang kena ryunen. Orang lain pun ada juga. Fakulti Sains memang susah kat Jepun ni. Sarah Fakulti Ekonomi jadi tak lah teruk. Kalau Sarah kena ryunen semua orang pelik. Tapi kalau gakusei engineering ryunen, orang anggap biasa je bang” Aku cuba memujuk abang Rafli.


Abang Rafli keluar meninggalkan aku. Aku mati kutu. Tidak tahu nak buat apa. Ku belek beberapa buah buku Abang Rafli, tapi tidak memahami suatu apa pun. Kanji-kanji yang jarang ku jumpa bertaburan di helaian kertas. Kanji-kanjinya memang lain dari apa yang terdapat di dalam buku ekonomiku. Kanji yang berlainan, sebutan yang berlainan, istilah dan makna yang berlainan. Aku beralih dan duduk di sisi katil. Setengah jam aku terkebil-kebil di atas katil tidak berani untuk tidur di katil seorang lelaki. Anehnya perasaan itu! Kedengaran pintu dibuka dari luar dan Abang Rafli menjengah masuk. Aku dengan segera bingkas dan duduk di tepi katil.


Abang Rafli duduk di lantai dan bersandar pada katil. Aku mula tidak tentu arah. Ku pandang rambut abang Rafli yang telah mula memutih. Pelik! lelaki semuda Abang Rafli telah beruban.

“Abang ni dah banyak berubanlah.”

“Dah tua la tu. Banyak benda nak fikir! Try Sarah tengok banyak sangat ke?”

Aku membelek rambut Abang Rafli dengan cermat. Namun cuma seketika. Aku sedar aku tidak boleh berkelakuan seperti itu. Aku harus menjaga kelakuan ku. Abang Rafli mendongak dan memandangku. Bibirnya yang kemerahan seakan menggoda keimananku.

“Sarah, camana sekarang. Ada pak we?”

“Ada tunang! Kat Malaysia.” Aku menjawab jujur.

“Ya ke ?” Tiada nada terkejut pada jawapannya. Mungkin dia mengetahui aku telah lama putus hubungan dengan rakan sekursusnya dan aku telah pun mempunyai buah hati yang lain.

“Bila bertunang?

“Hujung tahun lepas…”

“Dengan siapa?”

“Yang Sarah kenal masa kat first College… sekarang jadi cikgu sementara, sebelum minta maktab.”

“Bila nak kawin?” Lama sebelum aku dapat menjawab soalan Abang Rafli yang itu.

“Entah! Tak tau jadi ke tidak…” Aku tunduk dan suaraku mula bergetar.

“Kenapa pulak?” Aku memandang ke arah lain. Beberapa minit berlalu sebelum Abang Rafli berkata,

“Tak apalah kalau tak nak cakap…”


Rasa bersyukur yang amat sangat kerana abang Rafli seperti memahami perasaanku yang pedih ketika itu. Saat itu air mata telah bergenang. Namun untuk menceritakan penderitaan yang ku tanggung kepada Abang Rafli seolah diriku memohon simpati dan ehsan. Mujurlah dia mengerti.


Kami kemudian bercerita tentang kisah Universiti Malaya, Universiti Hiroshima dan Universiti Nagoya serta sempai-kohai masing-masing. Sesekali dia mengilai mendengar kisah lucuku. Ku beritahu dia macamana kekoknya aku dua tiga bulan pertama aku cuba bercakap bahasa Melayu. Ku ceritakan bagaimana rakan sebilikku Asmah yang berasal dari Cheras, terkebil-kebil bila ku katakan aku ‘akan pukul gambar’ dan ‘simpan katil’. Ku beritahu kisah Roaini yang berkata pada sempainya ‘dia tidak berahi makan masakan Jepun”. Berair mata Abang Rafli mendengar kisah lucuku. Ku ceritakan juga padanya kisahku terminum air arak di Hiroshima. Arak dalam tin ku percayai jus epal. Aku yang terlewat ke kelas, menaiki basikal dari rumah dan singgah di kedai untuk membeli air dalam tin. Terkocoh-terkocoh aku mencari air tidak sempat pun melihat label di luar tin. Yang ku sempat ku kerling adalah gambar buah epal. Sampai di kelas, pensyarah belum sampai walaupun masanya telah tiba. Aku minum air tersebut tanpa menoleh kiri dan kanan. Sebaik sampai di tekak, dapat ku rasakan darah mengalir dari bawah ke atas dan terus ke mukaku. Darah hangat terasa di seluruh tubuhku sehingga ke kulit mukaku. Dapat ku agak mukaku kemerahan. Tanpa berfikir aku terus ke tandas. Dalam kegawatan itu aku termasuk ke dalam tandas lelaki. Namun tidak ku sangka ia tandas lelaki walaupun ada seorang lelaki, kerani fakulti ku sedang tersenyum memandangku. Aku juga tersenyum. Sangkaku dia yang tersilap masuk tandas perempuan. Aku muntah di situ juga. Perit terasa tekakku dan perutku terasa mual. Abang Rafli banyak tersenyum dan ketawa dari bercakap. Aku pula seperti hilang akal bercakap dan ketawa tidak berhenti. Semua ku lakukan kerana ingin mengubat hati dan melupakan Zakuan.


Jam dua pagi, Abang Rafli kembali ke rumah kawannya. Aku tidak tidur lena pada malam itu. Pertama kali aku tidur di bilik seorang lelaki tentulah tidak dapat ku bayangkan perasaanku pada ketika itu. Dan walau baru sahaja bergelak ketawa dengan Abang Rafli, aku masih juga lagi teringatkan Zakuan. Dari Hiroshima melarikan diri ke Tokyo dan sekarang di Nagoya, bila bersendirian ingatan terhadap Zakuan juga datang menerpa. Air mata tergenang mengenang pelarianku. Jasadku jauh dari Hiroshima, jauh dari Zakuan.. namun kenapa hati ini masih terasa begitu dekat dan merinduinya? Nyatalah pelarian ku untuk melupakan Zakuan telah gagal sepenuhnya. Aku langsung tidak dapat melupakannya. Akhirnya hati ini membuat keputusan untuk berpisah secara terhormat. Jika dia tidak sampai hati megucapkan kata perpisahan, biar aku yang mengatakannya. Biar aku yang memberi noktah, biar aku yang menyimpul mati segala kekusutan ini. Balik dari Hiroshiama nanti, samada aku gila kerana merindukannya atau aku gila kerana memberi noktah pada hubungan ini. Kedua-duanya akan membuatkan aku gila… dan memusnahkan diri… kerana terlalu menyintai seorang lelaki.




Pagi itu Abang Rafli pulang semula. Aku telah bersiap-siap dengan beg pakaianku.

“Abang nak bawa Sarah jalan-jalan kat Nagoya pun, buat penat Sarah je. Kat Nagoya ni tak ada apa. Cuma bandarnya yang besar dan tamannya yang besar. Sarah dah pergi merata dah kat Jepun ni, Jadi abang rasa tak yahlah abang bawa Sarah ke mana-mana. Kita jalan kaki je ke eki. Abang bawa beg Sarah.”


Abang Rafli mengambil begku dan aku menurut langkah Abang Rafli keluar dari rumah. Abang Rafli membawaku melalui taman sebelum ke stesen keretapi. Saliran air yang sempit mengalir dan air yang amat jernih. Jepun, sebuah negara maju dan Nagoya sebuah bandar perindustrian tetap menjaga kebersihan sungai mahupun longkang. Perbezaan yang seperti langit dan bumi antara Malaysia dan Jepun. Dengan jelas kelihatan etak-etak yang kekuningan bertompok-tompok di atas lumpur. Pemandangan yang ku rasa begitu aneh. Sekali-sekala memang ku beli etak di pasaraya untuk ku masukkan ke dalam miso-shiru sejenis sup bersama tauhu. Namun kini aku melihatnya berada di sepanjang saliran air. Kalau tidak kerana malu, aku akan berhenti dan menjamah etak-etak itu, atau aku bawa balik secekak buat kenangan atau makananku!

“Nanka nomu?”

Aku mengeleng kepala. Abang Rafli membeli sebotol air minuman dalam tin dari mesin. Dia meninjau mencari tong sampah yang berdekatan. Namun tiada yang berdekatan kami. Dibuka penutupnya dan dimasukkan semula dalam tin minuman. Abang Rafli meneguk beberapa teguk dan memberikannya pada ku. Aku tergamam seketika sebelum mengambil tin minuma itu daripadanya. Ku teguk seteguk dan kuberikan semula pada Abang Rafli. Abang Rafli tersenyum penuh makna. Dia menyuakan tin yang berbekas bibirku itu ke bibirnya. Aku memandang dengan getar. Dan aku selepas itu begitu gugup untuk berkata-kata lagi. Tidak sedar aku telah sampai di stesen. Ku beli tiket dan kembali semula pada abang Rafli.


“Sarah doakan abang berjaya ya. Abang ingin berjaya seperti orang lain. Inilah pertama kali abang hadapi kegagalan dalam hidup abang. Abang ingin tebus kegagalan abang.”

“InsyaAllah bang. Abang jangan putus asa.”

“Uchini tsuitara denwashitene, shinpai suru kara.”

“Hai, wakatta.”


Abang Rafli menekan kepala ku dengan tapak tangannya sambil tersenyum memandang ku. Ada sinar harapan pada matanya. Dia nampak begitu gembira dan bahagia. Aku tersengih tanpa berkata apa-apa. Namun Abang Rafli mungkin tidak dapat meneka gelora di hatiku. Berbaur-baur dengan berbagai perasaan duka dan harapan. Perasaan sedih dan harapan menggunung pada Zakuan. Perasaaan sayang, rindu dan benci akan Zakuan. Perasaan sedih, pedih, terluka dan terhina akibat perbuatan Zakuan. Perasaan sayang dan bahagia selama sehari bersama Abang Rafli, tidak mengurangkan rasa rindu pada Zakuan.


“Terima kasih kerana sudi jenguk abang. Abang pun sebenarnya rindukan Sarah.” Aku tersipu-sipu.

“Sarah masuk dulu. Nanti terlepas Shinkansen pulak..”

Aku sebenarnya ingin melarikan segera dari Abang Rafli. Aku ingin kembali ke Hiroshima untuk mendapatkan surat-surat Zakuan. Aku mengharapkan surat-surat Zakuan menantiku di rumah. Aku juga tidak sanggup menatap lebih lama wajah Abang Rafli yang begitu naif dan mengharapkanku. Aku tidak mampu untuk memberi sebarang harapan pada Abang Rafli. Walaupun tidak dikatakan, aku ketika itu dapat meneka ada sinar cinta di hati Abang Rafli untukku, adik angkatnya yang kembali ke sisinya untuk melupakan seorang lelaki bernama Zakuan. Namun sayangnya, setelah berada di Stesen Nagoya ketika itu, aku sedar aku tidak dapat membina harapan untuk bersama Abang Rafli. Yang nyata, tidak mungkin aku berada di sisi Abang Rafli sementara hati ini menggelodak merindui lelaki itu.


Aku naik tangga turun ke platform kedua tanpa menoleh. Sebaik sampai ke flatform, Shinkansen ke Hiroshima juga tiba. Aku menoleh ke arah Abang Rafli. Abang Rafli melambaikan tangan. Aku membalas. Di dalam shinkansen ku lihat Abang Rafli masih tercegat memandang ku. Aku melambai dan tersenyum pada Abang Rafli sehinggalah tubuh Abang Rafli hilang dari pandangan. Shinkansen jauh meninggalkan Nagoya dan aku mula menangis teringatkan Zakuan. Seminggu ku menghilangkan diri dari Hiroshima semata-mata untuk melupakan Zakuan. Namun, usahaku sia-sia. Zakuan masih di ingatan ku. Aku membiarkan sahaja airmata keluar mengiringi perjalanan ku pulang. Mujurlah tiada penumpang lain di sebelah ku. Jika tidak di mana aku nak letak muka ini?


Daripada Stesen Hiroshima aku menaiki teksi. Dengan membayr 1,200 yen aku sampai di rumah dalam masa dua puluh minit. Aku berdebar-debar mengharapkan ada surat dari Zakuan dalam kotak surat ku. Tidak sabar ku buka kotak surat. Hampa. Airmata kembali menitis mengenangkan perbuatan Zakuan. Genap sebulan surat Zakuan tidak mengunjungiku. Aku merebahkan diriku di katil dan meraung sekuat hati.

Setelah sedikit reda, aku menelefon abang Rafli.

“Moshimoshi. Sarah desu. uchi ni tsuita yo!”

“Haa yokatta! Risau betul abang tadi.”

“Nak risau apa. Sarah dah besar…”

“Sebab dah besar la Abang risau… Kenapa suara semacam nih?”

“un un. Nandemo nai yo!”

“Sarah, kalau tunang Sarah dah tak nak kat Sarah, lupakanlah dia. Abang pun mengharapkan Sarah. Abang sejak dulu mencintai Sarah.”

“Tak taulah bang macamana dengan Sarah…”

“Kalau dia dah berubah Sarah janji akan datang pada Abang?”


Oh Tuhan! Terlalu cepat ia berlaku. Permintaan Abang Rafli ku rasakan terlalu mendadak. Aku belum bersedia untuk memikirkan cinta yang baru. Dan yang paling jelas, aku tidak ingin mempunyai hubungan cinta dengan Abang Rafli sedangkan aku sendiri belum yakin sepenuhnya dengan perasaanku. Namun aku tidak mampu menolak secara terus terang. Malam itu Abang Rafli membuat aku berjanji aku akan menerimanya seandainya hubungan aku dan Zakuan terlerai. Satu janji yang dipaksakan dan satu janji yang lahir dari pembohonganku. Aku merintih. Mengenang kecewaku pada Zakuan dan mengenang harapan Abang Rafli yang mungkin tidak kesampaian.


Selepas meletak telefon. Aku kembali menangis lagi. Aku meraung di atas katil sambil menekupkan muka pada bantal agar suara tangisan dan jeritanku tidak didengari jiran. Sungguh! Aku menahan siksa. Aku terlalu cintakan Zakuan. Walaupun aku cuma berjumpanya setahun sekali, kenangan dikucup Zakuan, timbunan surat-surat cinta dan bisikan kata cinta Zakuan telah membuatkan aku melupakan kewarasan akalku. Kenangan bersama Zakuan yang sedikit itulah yang masih menjerat dan menjerut kehidupan ku saat itu. Aku nekad. Aku nekad untuk bertanya Zakuan apa yang telah merubah hati Zakuan sehingga dia sedingin salju. Jika dia tidak ingin membuat keputusan, biar aku yang membuat keputusan untuk dirinya. Entah pukul berapa aku melelapkan mata pada malam itu. Bila ku sedar, airmata masih tergenang. Mataku masih bengkak. Hudung masih merah dan suara seperti tersekat di kerongkong. Beberapa hari kemudiannya aku masih lagi menunggu surat Zakuan. Aku masih menunggu sekiranya Zakuan menelefon. Penantian yang ku tahu sia-sia kerana sebelum ini pun Zakuan tidak pernah menelefon ku.


Kalau ku tahu begini rasanya derita, tak mungkin aku bercinta. Kalau ku tahu begini rasanya harapan yang bersisa, tidak mungkin aku menaruh harapan. Kalau ku tahu janji Zakuan dusta, tidak mungkin aku setia! Namun janji, harapan yang ditabur Zakuan membuat aku tidak mungkin curang. Membuat aku tidak memandang lelaki lain walau pun pada hakikatnya rupaku yang tidak cantik ini juga mampu menggoda sempai dan rakan seperjuangaku.


Aku sudah tidak mampu membohongi diri. Aku sudah tidak mampu menanggung kesengsaraan dilupakan Zakuan. Aku ingin mendengar kata putus dari Zakuan, atau jika terpaksa aku sendiri memutuskan ikatan ini. Aku mendail nombor telefon Zakuan di Sabah.

“Hello, Zack ada?” Suaraku kedengaran lemah. Aku menahan diri dari menangis.

“Ya…” Mendengar suara Zakuan aku telah hilang arah. Aku tidak dapat mengawal perasaan. Air mata mula menitis namun aku masih cuba bersikap ego untuk tidak terlalu menghina diri sendiri.

“Sarah ni…” Zakuan hanya membisu. Kebisuan Zakuan makin mendesak diri. Tidak taukah dia betapa seksanya aku kerana mencintai dan merinduinya? Tiada apakah yang boleh dikatakannya padaku? Sejak bila pula Zakuan seperti tidak berperasaan? Dinginnya Zakuan. Tiada nada ceria mendapat panggilanku. Dia seolah-olah pekak, bodoh dan seperti tunggul!

“Kenapa Zack tidak tulis surat pada Sarah? Sarah rindu…” Aku bukan sengaja untuk menangisi nasib diri ini. Walau pun telah cuba menahan, benteng telah runtuh! Aku menangis teresak-esak. Dan Zakuan masih berdiam diri. Aku tidak terkata lagi. Apa lagi yang perlu ku dambakan dari seorang lelaki yang telah bertukar menjadi batu? Terlalu bodohkah aku? Terlalu hinakah aku?

“Kalau macam ni kita berpisah sajalah…” Aku terpaksa jua mengucapkannya.

“Zack dah berubah…” kataku. Zakuan diam lagi.

Begitu lama ku rasakan masa telah beredar, namun baik aku mahupun Zakuan hanya mendiamkan diri. Jika Zakuan tidak sampai hati untuk mengucapkan perpisahan, biar aku yang lakukan. Biar aku yang menjadi ‘jahat’ kerana memutuskan pertunangan. Biar aku memudahkan kerja Zakuan supaya dia juga boleh bebas dan bermain cinta yang lain.

“Sarah akan bagi tahu mak Sarah yang kita putus. Zack pun bagi tau ayah Zack.”

Zakuan diam tidak berkata apa jua. Aku akhirnya meletakkan telefon. Badan ku terasa begitu lemah. Aku akhirnya hanya mampu menangis sepanjang malam. Sepanjang malam aku keseorangan mengenang cinta yang tidak kesampaian. Mujurlah aku tidak memberikan tubuh ini pada Zakuan… Jika tidak, bagaimanakah nasibku?


Pedihnya hati ini dihiris Zakuan. Pedih lagi mengingatkan cinta Abang Rafli yang tidak kesampaian. Mana mungkin aku mengatakan ‘ya’ pada Abang Rafli sedangkan ku tahu Zakuanlah cinta pertamaku. Tidak sampai hati aku melukakan hari Abang Rafli. Akhirnya ku berikan janji kosong pada Abang Rafli. Berkali-kali Abang Rafli memaksaku berjanji untuk menerima cintanya jika Zakuan menolak kehadiranku. Namun di dalam hati aku tahu tak mungkin ku serahkan jiwa ini pada Abang Rafli. Aku terlalu mencintai Zakuan sehinggakan ku rasakan cinta ku selepas ini tidak akan sehebat cintaku pada Zakuan. Aku tidak pernah memberitahu Abang Rafli bahawa aku telah putus tunang dengan Zakuan. Aku cuma mengatakan aku telah berbaik semula dengan Zakuan. Abang Rafli kecewa namun dia masih mahu aku berjanji supaya mencarinya tidak kira bila sekiranya aku telah putus tunang dengan Zakuan.


Ku berikan nombor telefon Abang Rafli pada Nor Azura. Kerana ku tahu Azura juga menaruh hati pada Abang Rafli. Lagi pun Abang Rafli juga pernah rapat dengan Azura semasa di UM. Tidak lama kemudian Azura memberitahu yang dia akan ke Nagoya. Ku tahu sejak itu Abang Rafli dan Azura berhubung sebagai kekasih. Aku begitu ikhlas agar mereka bahagia. Sedangkan aku waktu itu masih dalam terapi. Hadi yang sedari dulu mencintai ku, iaitu sejak sebelum aku mengenali Zakuan lagi, mula memberi perhatian yang lebih padaku. Mula menyatakan cinta secara terus terang dan berani. Aku mengaku pada Hadi bahawa akan mengambil masa untuk melupakan Zakuan. Hadi tidak membantah. Disuruhnya aku membakar surat-surat kiriman Zakuan, gambar-gambar dan pemberian Zakuan sebagai satu cara untuk melupakan Zakuan. Ku lakukan semuanya kecuali cincin pertunangan. Malam itu ku baca sehelai demi sehelai surat Zakuan sebelum aku membakarnya. Akhirnya semua surat Zakuan menjadi abu di dalam periuk. Setiap surat yang bertimbun itu telah ku hafal isinya kerana telah ku baca berpuluh kali. Ada surat yang telah renyuk. Malah ada tulisan yang sudah kembang akibat titisan air mataku. Gambar-gambarnya yang tersenyum seperti mengejek kebodohanku. Hati berbelah bagi. Akhirnya ku lakukan juga upacara perpisahan itu. Aku tidak ingin sepanjang hidupku merindui seorang lelaki yang tidak menghargai cintaku! Aku menangis dan mengharapkan itulah kali terakhir aku menangis untuknya. Namun aku silap. Walaupun bertahun aku mengambil masa untuk mencintai Hadi namun Zakuan tetap juga singgah di hati ku. Walau pun surat-surat dan gambarnya telah musnah, namun kenangan bersama Zakuan masih terpahat di dalam ingatanku. Aku telah dapat menerima Hadi seadanya dan Hadi juga menerima keadaan dengan ikhlas. Namun ingatan pada Zakuan tetap mengunjugi ku juga. Aku tidak lagi menyimpan cincin pertunangan pemberian keluarga Zakuan. Cincin itu hingga kini di dalam simpanan Angah. Sekali sekala Angah akan memakai cincin tersebut. Dan aku akan memandangnya dengan penuh nostalgia. Untuk kali terakhir aku menulis surat pada Zakuan. Sebuah surat perpisahan. Surat akujanji yang kutulis sendiri. Tulisan pada surat itu juga kembang akibat air mata yang menitis tanpa aku minta.


“Abang, surat ini adalah surat terakhir dari Sarah. Sarah benar-benar berharap agar selepas ini Sarah tidak akan mengganggu abang lagi. Semoga abang bahagia dengan gadis pilihan abang. Walaupun abang tidak pernah katakannya, Sarah percaya dan yakin benar, abang telah berubah hati. Abang telah mempunyai cinta yang lain. Jika tidak kenapa abang sanggup membiarkan Sarah seperti orang gila, menunggu surat-surat abang… sedangkan abang tahu cuma surat-surat abang yang dapat mengurangkan kerinduan Sarah pada abang.


Abang, hampir empat tahun kita bercinta. Berbagai rintangan menghalang, namun entah kenapa kali ini begitu sukar untuk kita melepasinya. Sarah sendiri tidak mengetahui halangan apa, kekurangan apa yang ada pada sarah hingga abang sanggup untuk tidak mempedulikan Sarah. Apa salah Sarah, sayang? Hati ini masih rindu, masih mendambakan abang sampai saat ini, namun jangan abang risau, Sarah tidak akan mengemis cinta abang lagi. Abang tidak mungkin dapat membayangkan penderitaan yang Sarah tanggung. Abang, Sarah tidak minta untuk abang kecewa bercinta selepas ini, namun andai hari itu tiba, kekecewaan abang tidak mungkin lebih dari kekecewaan Sarah.


Sayang, kenangan indah milik kita, berjalan menyusuri jalan di UM, kenangan abang mengambil dan menghantar Sarah ke lapangan terbang tidak mungkin akan Sarah lupa. Abanglah satu-satunya lelaki di hati Sarah. Ucapan sayang… ucapan rindu.. tetap mengejar Sarah. Cinta selepas abang tidak lagi semanis cinta abang dan mungkin tidak sesakit cinta abang… Pedih hati ini dibuat abang, menderita jiwa ini dilukai abang… namun Sarah akur… cinta telah tiada… hati abang bukan milik Sarah lagi. Siapakah wanita di hati abang yang telah berjaya memusnahkan seorang wanita lain bernama Siti Sarah? Tentu dia seorang yang terlalu hebat sehingga Abang lupa janji dan penderitaan Sarah…


Abang, saat ini Sarah masih menangis... menangis kerana rindukan seorang lelaki. Sampai bila agaknya airmata ini akan berhenti menangis untuk abang? Sampai bila baru Sarah dapat melupakan abang?


Abang, semoga abang bahagia... Doakan Sarah juga mendapat kebahagiaan. Abang jangan risau...inilah surat terakhir dari Sarah... Selepas ini Sarah tidak akan mengganggu abang lagi. Sarah juga tidak akan menelefon abang lagi. Abang berbahagialah dengan siapa sahaja wanita yang abang cintai... namun jika cinta telah tiada, janganlah perlakukan dirinya seperti mana abang perlakukan Sarah. Berterus teranglah jika cinta telah hilang padanya. Jangan membuatkan dirinya tertunggu-tunggu... pedih hati yang kecewa tidak sepedih ini jika abang berterus terang sejak dari awal...


Abang seorang yang baik hati, kebaikan hati abangkah yang membuat abang sukar menyatakan kata perpisahan untuk Sarah? Abang memang kacak, ramai yang menggilai Abang... Semasa pertama kali bertemu abang, Sarah seperti bermimpi mendapat kekasih sekacak dan sebaik hati abang. Namun akhirnya bukan kebaikan dan ketampanan abang mengikat Sarah terus setia.. Janji dan harapan yang abang berikan yang telah membuat Sarah merindui dan mencintai abang separuh mati. Sarah tidak ingin lagi menyintai dan menyayangi lelaki lain seperti mana Sarah menyayangi abang... Kekecewaan yang datang tidak mungkin tertanggung lagi, jika sekiranya cinta Sarah selepas ini juga menemui jalan buntu...


Abang, berbahagialah... Sarah tidak akan mengganggu abang lagi. Sarah janji tidak akan mencari abang lagi... Sarah bersumpah tidak akan menagih simpati abang lagi...Sarah janji Sarah akan lebih bahagia daripada abang... Itu janji sarah pada abang..


Dari yang mencintaimu dan akan cuba melupakanmu...

Siti Sarah

Hiroshima

1994


Aku masih ingat sebaik habis menulis surat itu, aku terus mengeposnya. Aku tidak hiraukan makcik Jepun yang lalu di hadapanku dan tersenyum pada ku. Dia menunduk hormat padaku. Aku cuma mampu mengukir senyuman dengan hati yang tidak berapa ikhlas. Aku cuba menyembunyikan air mata yang masih mengalir, kerana itulah surat terkhir yang ku utuskan untuk Zakuan. Mak cik yang biasanya menegur ku tidak menegur aku pada hari itu mungkin kerana telah melihat mataku yang bengkak dan wajahku yang sedih...


Akujanji yang ku tulis pada Zakuan untuk tidak merayunya, namun hakikatnya aku sebenarnya masih mengharapkan Zakuan membalas dan merayu cinta ini. Sayang sekali aku berangan seorang diri. Namun pada saat itulah aku berasa lega. Lega kerana telah mengetahui dengan jelas, aku sudah tidak diperlukan Zakuan. Dan saat itu aku sudah tidak menolah ke belakang lagi. Menerima cinta Hadi, sedaya upaya melupakan Zakuan dan sedaya upayaku untuk jujur dan belajar mencintai Hadi.


“Kenapa Sarah tipu abang?”

Aku diam. Aku sudah dapat menangkap maskud Abang Rafli.

“Bukankah Abang dah pesan kalau putus tunang, Sarah mesti cari abang? Kenapa Sarah tak cari abang?” Nada suara yang keras dari Abang Rafli. Aku kehilangan kata-kata.

“Sarah tidak sampai hati… Masa tu abang dengan Azura.” Aku berbohong lagi. Pembohongan terpaksa diteruskan dengan pembohongan juga. Aku hampir menangis kerana terpaksa berbohong lagi pada Abang Rafli.

“Tapi abang sudah pesan bila-bila masa pun Sarah mesti cari abang.”

“Tapi Azura kawan baik Sarah…”

Abang Rafli diam. Mungkin dia juga tahu itu cuma alasan ku.

“Maafkan Sarah…”

“Sampai hati sarah…”

“Gomen. Hontouni gomen nasai!….” Aku menitiskan air mata.


Abang Rafli meletakkan telefon. Sepanjang malam memikirkan Abang Rafli yang terluka dengan pembohongan dan janji palsu. Sepanjang malam menitiskan airmata kerana telah menjadi seorang yang begitu hipokrit bagi seorang lelaki yang amat ku sanjung selama bertahun. Itulah kali terakhir ku dengar suara Abang Rafli dalam kehidupan ini. Tidak lama kemudian, ku dapat tahu dari Azura hubungan mereka putus. Walau tak disebutkan puncanya namun ku tahu akulah puncanya. Aku meminta maaf dari Azura. Dan Azura memaafkan diriku ini. Walau pun begitu aku tetap mengingati Abang Rafli. Azura juga seringkali menyebutnya kepadaku. Katanya, kesian Abang Rafli. Aku telah meninggalkannya, begitu juga dengan dirinya. Namun Azura meninggalkan Abang Rafli bukan kerana benci tetapi sukar untuk Azura menerima hakikat bahawa Abang Rafli masih mencintai kawan baiknya. Masakan Azura sanggup menerima seorang lelaki yang masih menaruh harapan pada kekasih terdahulu, dan kekasih itu pula adalah aku, kawan baiknya sendiri. Aku sebenarnya berterima kasih pada Azura kerana walau pun cinta tiga segi telah terjalin dia tetap menerima aku sebagai kawannya.


Sesungguhnya sayang ku pada Abang Rafli bukan cinta seorang wanita kepada seorang lelaki, tetapi sayang seorang adik kepada seorang abang. Entah mengapa aku tidak dapat mencintai Abang Rafli walau pun aku mencuba untuk melakukannya. Antara kami memang tiada jodoh. Dengan Hadi pula, aku dapat berterus terang dari hati ke hati. Aku dapat memberitahu secara jujur dan ikhlas semua kesengsaraan ku. Lagi pun Hadi sejak hari pertama memandangnya aku merasakan ada sesuatu jalinan antara aku dengannya. Walau pun aku bercinta dengan Zakuan, aku masih lagi berkawan dengan Hadi. Dan dia juga seolah menunggu masa dan peluang menanti cintaku padanya. Memang benar walaupun aku dan Hadi berkawan sebelum aku menjalinkan hubungan dengan Zakuan, cinta Hadi tidak ku endahkan. Namun, mungkin kerana jodoh kami kuat dan mungkin juga kerana cinta Hadi tidak pernah padam untukku, kami berkawin dan hidup bahagia akhirnya.

Kini semuanya hanya menjadi kenangan. Hadi telah meninggal dunia. Abang Rafli juga pergi meninggalkan dunia ini tanpa meniggalkan seorang zuriat pun pada isterinya. Tentulah isterinya seorang yang terlalu baik dan lurus. Jika tidak, masakan Abang Rafli boleh menceritakan kisah ku dan Azura padanya. Tentulah Abang Rafli bahagia beristerikan wanita itu. Kerana jika tidak, tidak mungkin dia boleh menceritaka kisah silam pada isterinya. Cuma harapan itu yang sedikit membahagiakan ku. Bahawa Abang Rafli tentu bahagia berkahwin dengan isterinya. Andainya aku yang menjadi isterinya, aku yakin Abang Rafli tidak akan bahagia. Aku juga tidak akan bahagia. Kerana kenangan bersama Zakuan tetap memburu ku. Hanya Hadi yang boleh menerima kemusnahan hati ku dan kemudian membina semula supaya aku melupakan segala kesengsaraan dan menunpukan perhatianku padanya seorang. Dan kerana Hadi juga sewaktu Zakuan menelefon setelah aku mula bekerja di sebuah universiti tempatan, aku menolak lamaran Zakuan. Walau pun hati ini masih rindu akan Zakuan, namun aku tetap berpegang pada cinta Hadi. Mimpikah Zakuan menelefon aku setelah setahun tidak mendengar khabar berita dan bertanya khabar diriku? Dia menelefon ku semasa aku berada di kampung. Semasa itu aku bercuti selama enam bulan sebelum berangkat kembali ke Jepun iaitu Daerah Saitama untuk berkursus di sana selama sembilan bulan. Kursus yang ku ambil itu adalah bagi memberi latihan kepadaku kepadaku dalam aspek pengajaran dan pedagogi pengajaran bahasa Jepun.

“Hello, Sarah?” “Ya…” Hati bergetar. Tidak mungkin aku melupakan suara Zakuan.

Kali ini aku berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku antara kami. Ku cuba ceriakan suasana walau pun di dalam hati aku terlalu tersentuh mendengar suara Zakuan.

“Sihat ke? Lama tak dengar cerita?” Aku bertanya. Cerianya suara yang ku ucapkan namun hati di dalam begitu kuat getarannya.

“Sarah dah kawin ke?” Zakuan bertanya dengan perlahan dan cermat. Selepas sedetik ruang masa, selepas ada hembusan nafas Zakuan di corong telefon.

“Belum… Zack?”  Aku mengharapkan Zakuan belum berkahwin. Entah kenapa hati ini menginginkan Zakuan masih mencintaiku. Aku ingin dia menderita dan sesal kerana telah melukakan hatiku.

“Akan kawin tidak lama lagi…”

“Oohh! Tahniah!” Zakuan tidak menjawab. Aku cuba untuk berlagak seceria mungkin pada kebahagiaan bekas tunang. Namun hati tetap terasa pedih. Dulu berkeras aku mengajak dia berkahwin namun katanya ingin menunggu setelah bekerja beberapa tahun. Waktu itu, dia masih lagi menjadi guru sementara, tetapi telah nekad untuk berkahwin. Memang aku tidak dapat menandingi kekasih barunya.


Masih ada cemburu berbaki di hati ini mengenang Zakuan akan menjadi milik orang. Siapakah wanita itu sehingga sanggup Zakuan meminggirkan diriku dan memadu kasih bersamanya? Mungkin dia seorang wanita yang anggun dan cantik, berbanding dengan diriku yang pada ketika itu masih budak hingusan. Belum bekerja dan entah bila akan bekerja. Zakuan mengetahui bahawa memang cita-cita ku untuk mengajar di universiti dan menggapai segulung ijazah Ph.d. Mungkinkah itu menjadi punca cinta beralih arah? Aku pasrah.


“Kenapa ni?” Aku hairan kerana Zakuan hanya mendiamkan diri. Salahkah aku mengucapkan tahniah pada seorang bekas tunang yang akan berkahwin?

“Dulu Sarah ajak kawin Zack tak nak. Sekarang Zack pula nak kawin cepat…” Aku ketawa walau menyedari suaraku bergetar. Ketawa memang ubat yang mujarab bagi menutup kelemahan dan kebodohan diri. Aku tidak dapat menyembunyikan rasa cemburu dan terkilan Aku tersenyum pahit walaupun tidak dapat dilihat oleh Zakuan. Tentulah hebat benar perempuan itu!!! Aku merasa begitu rendah diri dan tertipu dengan keyakinan yang ku bina terhadap cinta Zakuan.

“Takut terlepas lagi macam dulu!” Dia akhirnya ketawa juga. Zakuan dan aku cuma ketawa mengenangkan peristiwa lalu. Ketawa sambil memperbodohkan diri sendiri. Hanya setelah setahun kenapa dia baru mahu menghubungi dan bertanya khabar. Aku mahu pun Zakuan mengambil masa yang agak lama untuk menyambung perbualan. Hati masih kesal mengenang diri yang tertipu.

“Kalau Sarah masih sayangkan Zack, Zack sanggup tinggalkan oarang yang mengharapkan Zack, dan kembali pada Sarah!”


Zakuan tidak semena-mena menuturkan sesuatu yang tidak mungkin. Sesuatu yang aku dambakan suatu ketika dulu. Namun kini segalanya sudah menjadi terlalu lewat untuk aku berpatah kembali. Sudah gilakah Zakuan? Setelah setahun berpisah. Setelah dia mengikat janji dengan perempuan lain… Setelah aku mula melupakan sedikit kerinduan pada dirinya… Setelah aku memberikan satu harapan pada Hadi…


Namun di dalam hati aku gembira. Gembira kerana tidak mudah untuk Zakuan melupakan diriku. Gembira kerana akhirnya Zakuan sedar aku masih bertakhta di hatinya. Kenapa tidak dari dulu lagi dia memujuk dan merayuku. Kenapa setelah aku berpatah arang dengan dirinya, baru dia kembali bertanya tentang hati ini. Kenapa tidak sebelum ini? Kenapa baru sekarang? Persoalan yang bermain di fikiran tidak ku luahkan.


Aku tidak ingin kembali pada Zakuan walau pun ku tahu aku masih lagi mencintainya. Aku tidak ingin melukakan hati Hadi dan bakal isteri Zakuan. Aku tidak ingin terlalu mengikut perasaan lagi. Aku sudah bosan dipermainkan Zakuan. Begitukah senangkah pada Zakuan mengikat sebuah perjanjian, memutuskan, membuat perjanjian yang lain, dan kini mahu memutuskan ikatan baru bagi mengikat ikatan lama yang sudah terungkai?


“Kalau Sarah boleh merayu pada Zack, memang Sarah merayu. Sarah terlalu sayangkan Zack… Namun perkara dah berlaku…. Tak mungkin Zack…”

Ada kekesalan pada hembusan nafas Zakuan. Aku juga turut merasa kesal. Kenapa setelah setahun? Aku tidak memahami Zakuan.

“Kenapa Zack setuju masa Sarah minta berpisah dulu…?”

Aku bertanya. Persoalan yang menjadi misteri buatku pada ketika itu dan tahun-tahun berikutnya. Mudahnya dia melupakan ku ketika itu. Hingga saat itu, aku masih tidak mengerti kenapa Zakuan sanggup menyingkirkanku, sanggup berdiam diri tanpa memberi sebarang penjelasan.

“Zack bodoh…” Ada kekesalan pada nada suara Zakuan.

Aku menunggu Zakuan memberi penjelasan lagi. Namun Zakuan tidak memberi apa-apa penjelasan selain mengaku kebodohannya.

“Zack rindukan Sarah. Zack sedar Zack tidak dapat lupakan Sarah… Zack mahu kita bersama. Sarah tinggalkan pak we baru Sarah dan Zack akan tinggalkan dia…”

“Tak boleh Zack… Ini kerja gila… Kenapa mesti sakitkan hati orang lain? Sarah tidak sampai hati…”

“Zack cuma pentingkan perasaan Zack! Zack tidak peduli yang lain...” Nada keras menjawab pertanyaanku. Zakuan yang ku kenal menjadi seperti seorang lelaki asing. Zakuan yang ku cintai separuh mati cuma mementingkan perasaannya tanpa memikirkan perasaan orang lain, termasuk perasaan kedua ibu bapanya.

“Mana boleh macam tu Zack. Kita dah putus tunang. Kelam kabut nanti keluarga kita…”

“Sudah tidak sayang lagi? Dulu Sarah kata Sarah sayang Zack sampai bila-bila…”

“Kita tidak boleh bersama lagi… Sarah sudah terlanjur. Sebab itu Sarah kata kalau Sarah boleh merayu, Sarah akan merayu pada Zack untuk menerima Sarah kembali… Takkan Zack nak terima Sarah yang sudah rosak?”

“Betulkah Sarah terlanjur? Atau Sarah tipu Zack?”

Aku diam. Aku memang tidak pernah terlanjur dengan Hadi. Namun aku merasakan itu sajalah caranya untuk aku menolak keinginan Zakuan.

“Kalau Sarah belum terlanjur cuma tidur je dengan lelaki lain, Zack masih boleh terima Sarah…”

Aku terkejut. Apa sebenarnya yang telah terjadi pada Zakuan? Bukankah dia akan berkahwin dengan perempuan lain. Kenapa pula sampai ingin mengahwini aku yang telah ‘rosak’ ini?

“Kalau dah tidur tu, mesti dah terlanjur! Ada ke manusia yang boleh tidur bersama tanpa buat maksiat?” Aku geram dengan cara Zakuan menangani masalah. Entah apa yang telah merasuk dan mendesak Zakuan. Siapakah gadis itu yang telah mencuri hati Zakuan dari ku dan kini Zakuan pula mencari dan merayu cintaku. Aku merasa kecewa. Malangnya nasib wanita itu. Bagaimanakah perasaannya jika mengetahui bahawa tunangnya pernah menghubungiku untuk berbaik semula dan memutuskan perhubungan dengannya. Namun aneh, dalam perasaan belas terhadap perempuan itu, aku merasa sedikit bahagia. Sekurang-kurangnya kini ku tahu setelah setahun berlalu, bahawa sebenarnya Zakuan tidak pernah melupakanku.

“Sarah juga akan berkawin tidak lama lagi…” Aku hampir menitiskan airmata sewaktu mengatur noktah mati untuk Zakuan.

“Maafkan Zack…” Zakuan meletakkan telefon. Aku akhirnya menangis senyap-senyap di dalam bilik. Mujurlah di saat itu tiada seorang pun di rumah. Ahh! Sampai bilakah hati ini akan dapat melupakan Zakuan? Luka yang lama berdarah kembali dengan panggilan telefon Zakuan. Aku masih rindu! Namun segalanya sudah terlambat. Aku tidak mungkin dapat kembali ke sisinya lagi. Zakuan yang ku cintai separuh mati akhirnya ingin kembali membina kembali hubungan yang sudah terlerai. Namun apa dayaku, aku tidak mungkin mempermainkan Hadi. Tidak mungkin lagi mengkhianati Abang Rafli.


Cinta ku pada Zakuan masih membara. Aku boleh jika ingin mengikut kata hatiku dan kembali pada Zakuan. Apa yang ku fikirkan cuma Hadi, tunang Zakuan, dan keluarga aku serta keluarga Zakuan. Mana mungkin keluarga kami akan bersetuju setelah pertunangan pun diatur oleh Zakuan secara tergesa-gesa. Zakuan memaksa ayah dan ibunya dari kedah meminangku semasa aku berada di Jepun dan Zakuan di Sabah. Aku yang mengugut Zakuan agar menghantar rombongan meminang seberapa segera. Ikatan pertunangan ku paksakan ke atas Zakuan sebagai syarat untuk aku yakin pada kesetiaan Zakuan. Namun sayang, bukan ikatan pertunangan yang mengikat kesetiaan Zakuan. Cinta Zakaun terlerai hanya 6 bulan selepas bertunang. Dan kini tergamakkah untuk kami bertaut kembali? Bagaimana janji yang ku tabur pada Hadi? Bagaimana pula janji yang ditabur Zakuan pada tunangnya? Zakuan bertindak seolah-olah dia menjadi mangsa. Tidak sedarkah dia penderitaaan yang terpaksa ku tanggung akibat perbuatannya? Tidakkah dia merasa bersalah membuat aku tertunggu-tungggu surat dan panggilan telefon darinya suatu waktu dulu? Zakuan adalah lelaki yang sanggup bahagia di atas penderitaan dan kesengsaraan orang lain.


Sejak itu aku semakin nekad untuk lebih menyintai Hadi dan melupakan Zakuan. Aku yakin setelah berkahwin, masa akan membuatkan aku melupai Zakuan. Dan memang benar, Hadi seorang lelaki yang begitu bertanggung-jawab. Hadi begitu ikhlas menyintaiku… walaupun setelah bermadu aku yakin Hadi menyintaiku lebih daripada cintanya pada Amy Nadia.



“Mami, kenapa termenung ni? Ingatkan papa ya?” Firdaus memandang ku.

“Firdaus ingatkan papa tak?” Firdaus mengangguk.

“Mari kita baca surah Yassin sama-sama nak?”

“Firdaus tak pandai.”

“Firdaus ikut Mami je. Kan Firdaus dah boleh eja sikit-sikit… tu sebab Mami hantar Firdaus sekolah ABIM supaya Firdaus boleh mengaji…”

“Firdaus ambil air sembahyang dulu…”

Aku membaca Surah Yasin untuk disedekahkan pada Hadi dan orang tuaku. Bacaan Firdaus masih tidak lancar tetapi aku bangga kerana walaupun bacaaanya tersekat-sekat, dia berjaya juga menyelesaikan bacaannya. Firdaus mencium Surah Yasin tersebut sebelum berpaling padaku yang masih leka dengan ingatanku pada Hadi.

“Tadikan, Firdaus jumpa kakak.”

“Kakak mana?” Aku pelik.

“Kakak yang duduk kat banglo bawah tu…”

“Firdaus pergi rumah dia ke?” Aku bertanya hairan.

“Tak. Firdaus naik basikal tadi. Kakak tu tengah makan kek. Dia panggil Firdaus makan, Firdaus pun makanlah!”

“Anak mak cik Erna ke?”

Firdaus cuma mengangguk. Aku pelik kerana selama duduk di banglo itu hampir tiga tahun, Firdaus dan anak Kak Erna tidak pula rapat. Kadang-kadang cuma senyum sahaja sekadar berbasa basi. Aku pun tidak rapat dengan Kak Erna. Yang ku tahu suaminya pensyarah Fizik di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kadang-kadang Abang Jefri datang juga bertandang ke rumahku semasa Arwah Hadi masih hidup. Dia datang pun tidak masuk ke rumah. Sekadar berbual kosong di gazebo. Aku pula tidak bersama mereka. Aku hanya menyediakan air bujang dan sedikit biskut kering, lalu meneruskan kerjaku di dalam rumah.

“Mami, kakak kata mak cik dah balik kampung.”

“Oh!! Patutlah lama tak nampak…”

Firdaus mengangguk.

“Firdaus nak gi tengok Farabi kat luar! Nanti dia kacau Farah!”


Aku tidak hadir pada majlis perkahwinan Amy Nadia di Perak dan di kampung Amer di Melaka. Maka setelah mendapat panggilan telefon dari Amy Nadia mengatakan bahawa dia begitu berharap agar aku dan anak-anak datang ke Shah Alam, rumah barunya aku tiada alasan untuk tidak pergi. Kata Amy Nadia, majilis makan-makan itu hanya untuk rakan-rakan terdekat sahaja. Aku sampai di rumah Amy Nadia agak lewat. Amy Nadia datang menyambutku sebaik melihat aku dan anak-anak turun dari kereta. Amer juga datang mencium Farah dan Farabi. Kami berdiri di khemah sambil berbual-bual tentang majlis perkahwinannya dan syarikat Amer.


Sebuah kereta berhenti dan Amer melambai mesra. Hati ku berdegup kencang. Itu kereta Zakuan. Aku cuma memandang dan berlagak selamba. Seorang wanita yang sedang mengandung keluar diiringi anak-anak Zakuan. Wanita itu tersenyum pada ku dan Amy Nadia. Zakuan tersenyum pada ku dan ku balas dengan payah.

Wanita itu menghulurkan tangan bersalam. Aku bersalam dan memperkenalkan diri.

“Siti Sarah.”

“Suhana.”

“Berapa bulan dah?”

“Tujuh bulan.”

“Tak lama lagi dah nak menimang anak. Tahniah.” Aku senyum tetapi senyuman ku tujukan pada Zakuan. Amer hanya diam memerhati. Aku cuba berlakun sebaik mungkin. Cuba mengawal degupan jantung, cuba mengawal agar perubahan air mukaku tidak begitu ketara. Tiada perasaan cemburu atau marah kerana perkahwinan Zakuan. Cuma sedikit perasaan rendah diri melihat Zakuan berteman dan aku masih sendiri.


“Akak duduklah. Mungkin anak-anak dah lapar.”

Amy Nadia mencari kesempatan agar aku dapat melepaskan diri daripada Zakuan dan isterinya. Aku mengangguk. Aku mencari tempat duduk yang kosong di bawah khemah dan mengajak anak-anak makan bersama. Farah makan sendiri tak ingin disuap. Ku biarkan saja anak-anak makan. Aku sendiri tidak berselera untuk makan. Mujurlah ada Firdaus yang menolong mengambil nasi dan lauk untuk adik-adiknya. Selesai makan aku meminta diri untuk pulang. Seperti memahami situasi ku Amy Nadia tidak meminta untuk ku tinggal lebih lama. Aku mengerling pada Zakuan yang sedang melayani kerenah anak-anaknya. Isterinya pula sedang berbual-bual dengan tetamu yang lain. Aku masuk ke dalam kereta dengan perasaan berbelah bagi. Aku dapat menangkap sinar mata Zakuan yang memerhatikan aku sewaktu kereta mula beredar dari rumah Amy Nadia.


Tiada air mata yang menangisi Zakuan. Entah kenapa selepas pemergian Hadi, sudah tiada lagi kerinduan ku pada Zakuan. Apatah lagi setelah ku ketahui dia telah berkahwin semula. Dia sepatutnya sedar, harapan untuk kami bersama sudah berkecai. Malam itu seperti diduga, aku menerima panggilan telefon dari Zakuan.

“Maafkan Zack, Sarah...”

“Kenapa pula?” aku berlagak bodoh walau pun ku tahu apa maksud Zakuan. Zakuan diam.

“Sarah tidak layak untuk merasa cemburu. Keadaan kita sudah tidak sama lagi. Inilah yang terbaik untuk kita…”

“Isteri Zack tentunya dapat membahagikan anak-anak Zack… Zack juga tentu bahagia.” Tambahku.

“Tapi Zack tetap rindukan Sarah.”

“Rindu tidak mengapa. Memang sukar untuk melupakan sekali gus. Tapi percayalah keikhlasan isteri Zack di dalam rumah tangga akan banyak membantu… Sarah juga pernah merindukan Zack separuh mati… Kini Sarah merindukan Arwah Hadi…” Menyebut nama Hadi membuat aku terasa sebak.

“Maafkan Sarah… Tapi Zack juga tahukan? Kita tidak mungkin bersama...”

Zakuan diam lagi.

“Zack boleh terima Sarah lagi. Sarah, hidup sebagai ibu tunggal …”

“Sekarang, dalam fikiran Zack, bukan cinta, tapi simpati… Sarah tidak perlukan simpati sesiapa…”

Alangkah anehnya perasaan ini. Jika Zakuan masih menyintaiku, aku akan tetap menghargainya, tetapi jika Zakuan hanya mempamerkan simpati, aku merasa begitu terhina pula.

“Niat Zack ikhlas untuk membantu…”

“Sarah tidak ingin menjadi perampas suami orang. Kasihanilah anak-anak Zack… Sanggupkah Zack lukakan hati mereka?...”

“Zack masih rindu…”

“Sudahlah Zack. Memang kita tiada jodoh. Sudah berapa kali kita mencuba, tapi tidak pernah menjadi. Sarah juga tidak ingin berkawin lagi… Sarah cuma mahukan anak-anak Sarah… Sarah terlalu sayang dan terlalu rindukan Hadi…” Entah mengapa pula aku menangis. Menangis kerana rindukan Hadi atau menangis kerana cemburukan kebahagiaan Zakuan? Susahnya untuk melupakan Zakuan dan susah lagi melihat kebahagiannya sedangkan aku hidup keperitan. Namun kenangan bersama Hadi terlalu banyak dan tak mungkin aku rosakkan segalanya semata-mata untuk Zakuan, lelaki pertama yang ku cintai. Lelaki yang tidak pernah putus asa, lelaki yang penuh keyakinan dan lelaki tidak pernah dapat ku padamkan kerinduan padanya walaupun ingin sekali melupakannya. Lelaki yang telah melukakan hatiku berkali-kali… namun tidak juga dapat aku melupakan kehadirannya di sanubari.


“Jangan menangis sayang. Percayalah! Sarah tidak akan berjumpa dan mendengar suara Zack lagi… Percayalah juga, Zack tidak pernah dan tidak akan melupakan Sarah… Semoga Sarah bahagia…” Zakuan meletakkan Zakuan. Dan aku masih lagi menangis entah untuk siapa… Kebahagiaan telah hilang. Hadi pergi meragut segalanya. Cuma tinggal anak-anak. Anak-anak yang telah menjadi tanggung jawabku sepenuhnya. Dan demi anak-anak ini, aku sanggup korbankan segalanya. Korbankan kebahagiaanku sebagai seorang wanita. Korbankan naluriku sebagai seorang Hawa.


Aku memandang buku rekod peperiksaan Firdaus. Firdaus yang ketakutan duduk di kerusi dan memadangku dengan rasa bersalah.

“Kenapa sampai macam ni? Semua merah? Sains je biru?” Tiada jawapan walau sepatah.

“Firdaus tak sayang Mami ke? Kenapa sampai merah macam ni?”

“Firdaus minta maaf.”

“Firdaus nak jadi apa? Dengan markah merah macam ni… Kalau tak usaha dari sekarang, bila besar nak jadi apa? Tukang pungut sampah? Pemotong rumput?” Aku mula meninggikan suara. Farabi dan Farah memandang ku kebingungan.

Ku tarik telinga Firdaus. Firdaus sedaya upaya menahan kesakitan dan tangisan. Ku cubit-cubit perut Firdaus kerana terlalu geram. Kali ini Firdaus meraung. Sebaik Firdaus meraung, Farabi turut meraung sama.

“Mami tolong jangan pukul abang!!! Mami tolonglah!” Farabi merayu. Aku berhenti setelah menyedari kelakuan ku yang keterlaluan.

“Firdaus tahu tak, Firdaus anak sulong? Papa dah tak ada… Kalau mami mati, Firdaus pulak kena jaga adik-adik nih? Tahu tak? Kalau Firdaus teruk macam ni. Macam mana Firdaus nak jaga adik… Firdaus tak kesian pada diri Firdaus ke?”

“Mami tak ajar pun Firdaus buat kerja sekolah. Mami tak macam Papa. Papa selalu tolong Firdaus buat kerja sekolah…”

Kali ini aku pula terdiam. Aku melembutkan suara.

“OK… Lepas ini balik sekolah, lepas mandi, lepas makan Firdaus buat kerja sekolah dengan mami…”

“Masuk bilik ambil kerja sekolah!”

Firdaus menyeka airmata yang bercucuran. Farabi pula menepuk-nepuk belakang abangnya, sambil memujuk abangnya berhenti menangis.

“Mami jahatkan, marah kat abang… Kesian abang…”

Aku terkejut mendengar kata-kata Farabi.

“Farabi cakap apa tadi?” Aku membuat muka marah.

“Tak ada apa…”

Farah datang memelukku, dan bertanya,

“Ami, aghoh abang eh?” Kali ini aku tidak dapat menahan diri dari ketawa. Ku lihat Firdaus menjeling marah pada Farah.

“Abang mari sini!”

“Firdaus nak belajar nih!” Firdaus menjawab dengan nada tinggi.

“Mari sekejap!” Aku cuba menyabarkan hati sendiri.

Firdaus datang dengan muka masam.

“Firdaus anak sulong. Kena buat contoh yang baik untuk adik-adik. Papa dah tak ada. Mami nak tengok anak mami semua pandai-pandai. Nanti bila mami tua, sapa nak jaga mami kalau anak mami semua tak pandai?”

“Mami kan ada duit banyak?”

“Kalau mami mati, sapa nak bagi duit kat abang?”

“Abang cari sendiri!”

“Ya, abang cari sendiri. Abang nak kerja apa? Abang nak potong rumput rumah orang pun, mami tak kisah… asalkan abang tak mencuri hak orang…Tapi Firdaus suka tak potong rumput rumah orang… tengah-tengah panas kena kerja?”

Firdaus mengeleng kepala.

“Minta maaf, mami.”

“Mami maafkan. Tapi ingat lepas ni kita belajar sama-sama ya?”

Firdaus mengangguk.  Ku cium dan ku rangkul tubuh kurus Firdaus.


“Mami buat kuih sikit boleh tak?” Tanya Firdaus tatkala aku sedang menyediakan makan petang pada suatu petang.

“Kenapa pula?” Aku menjadi hairan. Selama ini tidak pernah pun dia meminta aku membuat kuih apa-apa pun. Kalau ada dia makan, kalau tiada dia minta biskut saja.

“Firdaus nak bagi kat kakak la mami… Ari tu masa Mami mandi, kakak bagi kuih cekodok. Sedap mami… Firdaus lupa nak bagi tahu mami…”

“Dah cakap terima kasih ke?”

Firdaus mengangguk.

“Mami beli pisang goreng boleh tak? Firdaus bawa goreng pisang je ye… nanti mami pergi beli.”

“Iii…bestnya… nanti mami temankan Firdaus pergi rumah kakak. Nak ambik Farah dengan Farabi kat rumah Mak Cik, kita singgah ya!” Aku cuma tersenyum melihat kerenah Firdaus yang begitu teruja dengan kawan barunya.


Setelah membeli pisang goreng di gerai yang terletak di Beranang, aku dan Firdaus singgah di rumah Abang Jefri. Abang Jefri sedang menyiram pokok-pokok bunga dan buah-buahan yang ditanam di sekeliling banglonya. Redup dan nyaman sekali persekitaran rumah yang dikelilingi pokok manggis, mempelam, dokong, jambu dan beberapa batang pokok laici. Abang Jefri tersenyum dan menyapaku dengan ramah.

“Orang jauh datang laa! Mimpi ke?” Abang Jefri berlawak. Umur Abang Jefri yang 10 tahun lebih tua dariku, nampak sedikit berkedut di leher dan dagunya.

“Firdaus ni… nak datang jumpa kakak!”

“Masuklah!” Abang Jefri mempelawa namun aku tidak bergerak.

“Tak apa la bang… Sekejap je, nanti nak ambik budak-budak tu kat rumah orang pulak…”

“Aliya! Keluat sekejap! Firdaus datang!”

Aliya yang berumur lapan belas tahun itu keluar dengan tersenyum dan mencium tanganku. Aku cuma tersenyum memandang anak dara Abang Jefri dan Kak Erna yang sudah besar panjang. Aliya dan Firdaus masuk ke dalam rumah.

“Seronok betul Firdaus dapat berkawan dengan kakak!” Aku berkata sekadar berbasa basi.

“Budak tak ada kakak, macam tu lah!”

Aku duduk di kerusi yang berada di sudut tepi rumah itu.

“Kak Erna mana bang? Lama tak nampak...”

Abang Jefri mengeluh. Lama sebelum dia menjawab.

“Saya malas nak cakap sebenarnya. Malu…”

Aku menjadi hairan. Apa pula yang hendak dimalukan? Sebelum sempat aku bersuara, dia menyambung.

“Tapi kalau tak cakap, nanti ada orang sangka lain pula…”

“Sebenarnya abang dah ceraikan dia…” Aku tiada daya untuk berkata apa-apa. Benarkah?

“Dah bertahun dia curang. Dia sanggup tidak balik ke rumah semata-mata nak jumpa kekasih dia…”

“Betul ke Kak Erna buat macam tu?” Aku seperti tidak percaya. Perkara macam ini rasaku hanya boleh terjadi di dalam drama Jepun.

“Abang terjumpa gambar mereka posing atas katil di hotel. Yang abang geram jantan tu orang bawahan dia… selalu juga budak tu datang sini… muka nampak baik je…pakai kopiah, perangai macam iblis… Tak cukup dengan bini kat rumah… Bini orang pun dia layan..”

Melihat Aliya datang dengan menatang air teh-o dan pisang goreng yang ku beli, Abang Jefri mendiamkan diri. Setelah Aliya kembali ke dapur, Abang Jefri menyambung.

“Anak dah besar. Dia pun dah tua bangka, boleh dia buat macam tu. Dia tak ada otak ke?” Ada nada geram pada suara Abang Jefri.

“Sabar lah abang, nak buat macamana jodoh abang dengan dia setakat tu saja…”

“Aliya okey ke?” Aku bertanya apabila melihat dia diam.

“Mula-mula tu dia merajuk. Takkan abang nak cakap kat dia mak dia jenis perempuan macam tu. Tapi bila dia asyik tanya dan kuat membantah cakap, abang terlepas cakap pula. Mujurlah dia tak apa-apa. Kesian Aliya…”

Aku terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan untuk mengubat hati yang terluka. Aku memhami perasaan Abang Jefri. Aku pernah merasai kekecewaan itu. Aku akhirnya bersuara setelah Abang Jefri juga tidak berkata apa-apa.

”Sabarlah bang... hidup mesti diteruskan. Ramai lagi wanita yang ada di luar sana...”

Abang Jefri tersenyum tawar. Aku pula menjadi serba tidak kena.


Aku merasa Firdaus dan adik-adiknya begitu beruntung jika dibandingkan dengan kehidupan semasa kecil ku. Emak sentiasa berjimat cermat dengan sedikit wang pemberian abahku. Adik beradik ku pula ramai. Tujuh orang termasuk Kak Nani, anak emak dengan suami terdahulu. Beza umur ku dengan adik ku Angah dan Abang Man cuma dua tahun. Cuma jarak antara Angah dan Su yang agak panjang iaitu 6 tahun. Masa kanak-kanak kami semua makan bersama dan sentiasa berebutkan lauk yang tidak pernah cukup. Pernah bergaduh di meja makan kerana berebutkan lauk. Emak pula akan marah-marah. Kami kemudian akan senyap dan yang menangis akan makan sambil menyeka air mata.


Semasa Darjah Enam, abah diarahkan berpindah ke Kuala Krai. Sejak itu kepayahan hidupku semakin parah. Rumah yang disediakan di Kuala Krai adalah rumah kuarters lama, dibina sejak zaman pendudukan Jepun. Rumah itu hanya mempunyai satu bilik. Aku mengatakan pada emak bahawa aku tidak akan berpindah dan bertukar sekolah. Akhirnya emak menganggap kata-kata ku secara serius. Aku ditinggalkan di rumah seorang diri. Emak dan abah membuat keputusan sedemikian mungkin kerana mereka yakin akan keselamatan dan makan minum ku. Aku makan dan minum di rumah ibu saudaraku yang berada di sebelah rumahku sahaja. Malam, sepupuku Razali yang juga abang susuanku akan datang menemankan aku tidur. Rumah ku terlalu besar untuk ku tidur seorang diri. Rumah ibu saudaraku pula agak kecil bagi keluarganya seramai enam orang. Maka Razali akan datang setiap malam menemankan aku tidur. Aku tidak pasti samada kami tidur di bilik yang sama atau tidak. Zaman itu tahun 1980an, gejala sosial masih tidak menjengah ke tempat kelahiranku. Aku dan sepupu ku mungkin tidak terfikrkan pun soal aku dan dia berlainan jantina. Semasa itu Razali berada di tingkatan satu. Dia mendapat gred yang agak bagus di dalam peperiksaan Darjah Lima, namun tetap tinggal di situ kerana tidak diterima ke sekolah berasrama. Aku juga cuma mendapat 1A 4B di dalam peperiksaan Darjah Lima. Akhirnya aku mengikut Razali ke sekolah menengah yang sama sehinggalah aku tamat tingkatan Lima. Semasa aku Tingkatan Satu baik aku mahupun Razali termasuk di dalam golongan pelajar yang pandai. Semasa SRP, Razali mendapat 5A, setahun kemudian aku mendapat 6A. Kerana orang tua ku berada berjauhan dan tidak mengambil kisah samada aku dapat bersekolah asrama penuh atau tidak, aku meneruskan persekolahan ku di kampung sehingga Tingkatan Lima. Aku sentiasa berebutkan tempat pertama dan kedua di dalam kelas ku, kelas sains. Subjek kegemaran ku, Kimia dan Matematik Tambahan. Subjek yang paling ku benci, Biologi. Aku masih ingat Cikgu Biologi ku yang baru pulang dari luar negeri. Cantik dan berkulit putih melepak. Namun kerana aku tidak minat menghafal dan mungkin juga Cikgu tidak tahu mengajar aku tidak pernah mengulangkaji pelajaran Biologi. Akhirnya aku mendapat pangkat pertama dengan gred 16, Biologi dan Fizik cuma mendapat P7, Matematik, Matematik Tambahahan dan Kimia C3, Bahasa Melaysia dan Bahasa Inggeris C4 dan Geografi A2. Dengan sijil yang agak baik, aku melangkah ke Ambang Asuhan Jepun atau lebih di kenali sebagai Pusat Persediaan Khas Jepun, Universiti Malaya di dalam bidang Sains Sosial.


Aku masih ingat sewaktu meggenggam slip keputusan SPM ke rumah, aku tidak terus memberitahu emak, tetapi duduk di atas bangku di belakang rumah sambil menangis. Menangis kecewa kerana aku dapat P7 di dalam Subjek Fizik, sedangkan Cikgu Rahim yang mengajar terlalu baik dan bersungguh-sungguh. Bukan tidak ku duga keputusan sebegitu kerana sebelum aku mengambil peperikssaan aku telah berjumpa dengan Cikgu Rahim dan memberitahu aku tidak mampu mengikuti pelajaran Fizik kerana bagi ku ia terlalu sukar. Cikgu Rahim nyata kecewa kerana aku anak murid kesayangannya. Aku kesal kerana mengecewakan Cikgu kesayangan ku. Lagi pun aku sedar, semasa di tingkatan empat aku masih berada di dalam kumpulan pelajar yang pandai di dalam subjek itu. Aku tersilap langkah kerana terus melupakan Fizik. Aku yakin jika aku berusaha aku mampu mendapat kepujian dalam peperiksaan. Emak datang terkocoh-kocoh melihat aku menangis. Bila ditanya aku menjawab aku mendapat 16 Agregat. Emak tersenyum gembira. Abang ku pula menjengah di tingkap rumah, dan ketawa melihat gelagat ku.

“Haa? dapat 16 pun menangis?” Abang hairan tetapi mengetawakan air mataku yang tumpah. Selepas itu baru aku sedar, aku patut bersyukur. Walaupun aku sedikit kesal, namun akhirnya aku terima kenyataan. Razali setahun sebelum itu telah pun menjejak kaki Ke Univerisiti Teknologi Malaysia yang ketika itu masih di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Semasa aku di Kolej Empat, Razali kadang-kadang menjengah datang membawa rakan-rakannya ke tempat ku. Aku juga pernah ke UTM untuk menjenguh Razali. Masih ku ingat Razali membawa aku masuk ke bilik sedangkan asrama itu khusus untuk lelaki sahaja. Apa lagi kecohlah satu asrama kerana aku memasuki tempat mereka. Razali cuma tersengeh-sengeh gelihati dengan usikan kawan-kawan seasrama. Aku pun tidak malu apa-apa kerana aku dan Razali adalah adik beradik sesusu. Arwah emak pernah bercerita, dia menolong ibu saudaraku menjaga Razali semasa ibu saudara dan suaminya pergi ke sawah. Oleh kerana masa itu aku masih menyusu badan, disuakannya juga teteknya pada Razali bila Razali menangis. Bapa saudaraku pernah berseloroh. Katanya,

“Mentang-mentang anak aku hitam, saja buat adik beradik sesusu tak nak bagi kawin… Nanti kalau anak aku besar jadi engineer, baru menyesal….”


Masin mulut bapa saudara ku itu. Razali memang pernah menjadi jurutera di beberapa kilang Jepun di Johor Bharu. Namun kerana kegawatan ekonomi, Razali berhenti bekerja dan sekarang membuat perniagaan sendiri iaitu membuka kelas PASTI dan kelas mengaji Quran. Sepupuku itu memang alim. Dia akan selalu diminta melaungkan azan di kampungku setiap kali pulang. Kadang-kadang ada yang menyuruhnya membaca doa-doa tertentu dan mengimamkan solat. Suaranya memang sedap didengar. Bacaannya lancar. Masakan tidak, dia khatam Al-Quran semasa berumur 6 tahun lagi. Bertuah isterinya, mendapat suami yang layak membimbingnya. Bukan macam aku. Aku dan Hadi dua kali lima sahaja. Kesibukan selalunya tidak memberi peluang kepada aku mahupun Arwah Hadi untuk membaca Al-Quran setiap malam. Pernah sekali aku dan Hadi menghabiskan bacaan Al-Quran sekali, itu pun mengambil masa hampir setahun. Setelah lahir Farah, aku bukan sahaja terpaksa menyudahkan kerja di pejabat tetapi terpaksa pula menjaga Farah yang sejak mengenal aku ini ibunya, tidak boleh langsung berenggang. Hadi pula setelah berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri bersama Amer telah ketidakcukupan masa untuk membaca Al-Quran. Bila ada masa terluang, dia akan menghabiskan masa bersama anak-anak, terutamanya dengan Farah, anak comel yang selalu menceriakan hatinya. Aku biasanya membaca Al-Quran di pejabat, itupun ketika waktu tidak sibuk. Sudah lama rasanya aku tidak membaca Al-Quran. Setelah peninggalan emak, abah dan Hadi, aku kerap mengaji untuk disedekahkan kepada mereka sahaja. Kesibukan menghalang aku untuk memanafaatkan masa ketika muda mencari ilmu-ilmu agama. Sampai bila agaknya… Keinginan untuk belajar tajwid di masjid-masjid memang sentiasa terbuku di hati. Namun entah bila akan tiba waktu itu. Aku mengharapkan anak-anak ini menjadi remaja segera, supaya aku boleh meninggalkan mereka dan memperuntukkan masa untuk diriku pula. Betapa banyak dosa-dosa ku yang terkumpul… terampunkah semuanya? Adakah solat, zakat dan ibadahku yang diterima Allah?


Aku sebenarnya sehingga sekarang masih berbangga dengan diriku. Bangga kerana pencapaian akademikku. Aku sedar, dari Darjah Enam hingga Tingkatan Lima, aku kadang-kadang menangis kerana terkilankan abang, emak dan kakakku kerana membiarkan aku hidup di kampung. Aku masih ingat sepanjang aku ditinggalkan mereka, aku sering menyangka aku ini anak pungut sahaja. Jika tidak kenapa pula aku ditinggalkan? Sekali seminggu emak dan ayah akan pulang, namun kepulangan mereka tidak sedikitpun menceriakan aku. Emak akan berleter padaku. Kata emak, rumah tidak berkemas, aku malas dan sebagainya. Bagiku, emak tidak perlu pulang langsung sekiranya kepulangannya membuat aku menderita. Rasa memberontak membuat aku berani melawan kemarahan emak dan akhirnya aku juga yang dimaki dan ditampar emak. Ya, benar masa itu aku merasakan tiada sekelumit simpati dan kasih sayang emak padaku. Selepas setahun, Angah dan Su tidak ingin bersekolah di Kuala Krai lagi. Mereka ingin tinggal bersamaku. Aku seorang pergi ke sekolah kebangsaaan, bekas sekolah ku untuk menguruskan perpindahan sekolah adik-adikku kerana abah tidak berkesempatan untuk pergi. Aku masih ingat cikgu bekas guruku bertanya,

”Siti Sarah, mana mak bapa awak? Ada ke pula awak yang uruskan semua ini. Nasib baik cikgu kenal awak!”


Aku tidak terkata apa-apa. Yang penting aku gembira, sekurang-kurangnya dua adikku berada bersamaku. Angah seorang yang pelajar yang lemah. Semasa di tadika dia diserang demam panas. Dan sejak itu dia tidak dapat mengikut segala apa yang diberitahu dengan jelas. Su pula seorang yang cerdas. Aku yang mengajar adik-adikku membaca Al-Quran dan mengulangkaji pelajaran. Dan akhirnya Su mendapat lima A di dalam peperiksaan darjah lima. Aku begitu berbangga dengan pencapaian Su. Aku mengharapkan dia dapat bersekolah di asrama penuh, dapat menebus kegagalanku. Namun sayang Su cuma dapat menyambung pelajar di SMIP sahaja. Angah pula bersekolah bersamaku di Sekolah Menengah Mulong.


Ingatanku mengimbau kenangan pahit manis semasa di kampung, di mana dari Darjah Lima hingga Tingkatan Lima, aku bersama adik-adik dan abang seorang penagih dadah tinggal bersama. Mujurlah ada emak saudara di sebelah rumahku yang turut menghulurkan bantuan memberi kami lauk pauk. Masih ku ingat bagaimana, aku, Su dan Angah bersama Razali kadang-kadang, mencari siput di sawah. Seronoknya setiap kali menggagau lumpur, terdapat beberapa ekor siput di tangan. Aktiviti selepas menuai di kampung adalah mencari siput dan ikan darat seperti ikan keli, puyu dan haruan. Aku tidak biasa mencari ikan, tetapi kerana ingin mendapat keseronokan, aku turut mencari ikan darat. Apa yang ku dapat ikan-ikan kecil saki baki ikan yang ditinggalkan anak-anak kampung. Pada masa itu bukan sahaja kanak-kanak seperti aku mencari siput dan ikan tetapi juga orang dewasa. Ikan yang tidak habis dimakan akan dijual pada orang kampung atau peraih.


Setelah bertahun mengulang pekerjaan yang sama aku menjadi mahir memotong muncung siput dengan kapak dan memasak gulai. Sedapnya makan siput yang dicari dan dimasak sendiri. Kami adik-beradik meratah siput dengan begitu gembira. Bahagianya dapat ku rasakan semasa itu kerana kami dapat memakan dengan sesuka hati. Biasanya lauk kami cuma ikan goreng, ikan singgang atau ikan rebus yang ku masak. Kadang-kadang Mak Su akan menghulur juga lauk pauk lain. Tetapi Mak Su juga hidup susah dan tidaklah mendapat rezeki yang lebih untuk diberi kami.


Selepas musim menuai, sawah kembali dibajak dan kemudian disemai anak-anak padi. Tidak lama kemudian kehijauan di sawah menarik perhatian belalang pula. Kami orang kampung mendapat rezeki lain pula. Bila hujan turun kami bergegas ke sawah pula mencari belalang yang kesejukan bersembunyi di celah-celah daun padi. Kami kutip dan masukkan dalam botol. Sekali diraut kadang-kadang terdapat tiga empat ekor di genggaman. Seronoknya berlumba-lumba memenuhkan botol. Belalang itu kemudian kami buang sayapnya. Jika banyak belalangnya banyaklah pula masanya untuk kami membuang segala sayap. Belalang kemudian dibasuh dan diperap seketika menggunakan garam dan kunyit sahaja. Ia kemudian digoreng sehigga garing. Kesedapan belalang goreng mengalahkan udang. Yang paling lucu, aku begitu takut untuk menceritakan pengalamanku memakan belalang pada raka-rakan kerana malu. Tetapi bila ku sampai ke Jepun, barulah ku tahu belalang juga menjadi sajian sampingan petani-petani di pendalaman. Setiap kali pulang aku menjadi begitu rindu akan kenangan silam. Aku rela mencari kembali belalang atau siput jika berteman. Namun sayang tiada siapa mahu menemankan aku, samada Su atau Angah, masing-masing ada masalah sendiri. Dan aku sedikit ralat kerana anak-anakku tidak pernah mengetahui bagaimana aku semasa bersekolah rendah lagi telah hidup susah dan sudah pandai mencari makanan sendiri.


Angah dan Su juga sesekali mencari etak di parit. Apabila mendapat tahu pihak KADA telah memotong aliran air ke sawah-sawah, parit menjadi cetek. Dan ketika itu kami anak-anak kampung berebut mencari etak. Etak yang diperolehi dijual kepada peraih atau dimakan sendiri. Sinonimnya etak di dalam kehidupan kami orang Kelantan sehingga hingga kini etak masih dijual dan dibeli tidak putus-putus. Etak boleh dimasak secara rebus menggunakan serai dan bawang putih. Ia juga boleh disalai setelah diperap dengan bawang putih, halia, garam dan serai. Sungguh enak makan nasi berlaukkan etak samada etak salai atau rebus. Semasa Zakuan datang ke kampungku, aku membawanya ke Kota Bharu dan di situ dia hairan melihat etak salai dijual dimana-mana. Aku kemudiannya membeli etak yang dibungkus dengan kertas berbentuk seperti corong itu. Aku mengajarnya cara membuka kulit etak dengan gigi, namun Zakuan tidak pandai-pandai juga. Akhirnya aku makan seorang diri dan dia mengeleng kepala tidak faham. Sinonimnya etak dengan kehidupan kami orang Kelantan sehingga etak-etak di parit dan sungai hampir pupus. Etak menjadi mahal sekarang ini kerana etak terpaksa di’import’ dari sungai Pahang!


Memang indah mengenangkan pengalaman lampau. Namun di sebalik semua itu tersirat satu realiti lain. Kehidupan susah dan melarat orang-orang kampung ku ketika itu. Benar kata seorang pemimpin tidak lama dahulu bahawa gambar rumah kayu dikelilingi pepohon nyiur yang melambai di waktu senja memang indah di mata, realitinya penghuni rumah itu yang hidup miskin tidak tergambar pula orang yang melihat potret itu. Ia menyedarkan aku untuk melihat segala-gala di dunia ini dengan pendekatan yang berbeza. Ia mendorong aku memerhati manusia di sekelilingku dengan cermat. Melihat watak-watak dan karenah berbeza serta cuba untuk memahami situasinya.


Emak dan Ayah sesekali seminggu atau dua minggu sekali akan pulang ke kampung menjenguk aku dan adik-adik. Emak titipkan beberapa helai not sepuluh ringgit. Kata emak, kalau tidak cukup, boleh minta hutang dari kedai Nani yang tidak jauh dari rumah. Namun entah kenapa berat kaki melangkah untuk membeli secara hutang. Wang diberikan bukan sahaja untuk keperluan dapur, membeli beras dan lauk pauk tetapi juga perbelanjaan sekolah. Memang hati menangis ditinggalkan emak dan ayah serta kakak-kakakku, mujurkah ada adik-adik meneman, dapat mengurangkan derita yang merasa diri sengaja dipinggirkan. Air mata mengalir tapi aku tetap tabah menghadapi hari. Melihat kehidupan susah orang kampung, aku menanam nekad untuk tidak menjadi petani. Aku nekad untuk pergi ke universiti. Aku nekad untuk menjadi anak terbuang yang bijak. Rakan-rakan dan guru-guru banyak membantu. Memang guru-guru tidak mengetahui kemelut hatiku. Murid bijak tetapi pendiam di sekolah. Namun semangat guru tidak mengenal lelah mengajar kami membuat aku terus bersemangat untuk memajukan diri. Aku tidak mahu menghampakan guru. Aku tidak kisah untuk menghampakan emak dan ayah atau dimarah atau dipukul ayah tetapi aku ingin menjelajah dunia mengakhiri nasib malang ku.


Aku masih ingat lagi pada suatu pagi hari Jumaat, dapur minyak yang ku guna telah kehabisan minyak. Ingin ku beli minyak di kedai Nani, wang pula sudah habis. Aku dan adik-adik kelaparan. Aku akhirnya mencari kayu-kayu kering di sekitar rumah. Niatku untuk menggunakan dapur kayu. Di belakang dapur memang disediakan dapur kayu untuk diguna sekali sekala semasa keramaian. Emak kadang-kadang memasak air di dapur kayu menggunakan periuk besar bagi menjimatkan minyak tanah. Ingin ku masak nasi, namun beras pula tiada. Aku mencapai saki baki gandum dan membuat jemput-jemput. Ku mencari gula namun cuma tinggal gula sesudu. Hati sungguh pedih. Aku takkan lupa ketika itu bagaimana peritnya hidup tanpa seorang ibu. Akhirnya aku cuma memasak jemput-jemput tawar. Kami tiga beradik makan jemput-jemput tawar dengan mencecah gula yang tinggal. Kebetulan emak dan ayah pulang ke kampung dan terkejut melihat aku yang sedang menggoreng di belakang rumah. Aku memberitahu emak tanpa ditanya. Aku sedar emak menangis sedih melihat keadaan kami. Namun tiada rasa sedih melihat emak yang menangis. Aku melarikan diri ke bilik dan berlagak seperti biasa. Perasaan dipinggirkan, perasaan anak remaja yang tidak mendapat kasih sayang seorang ibu. Aku berdendam. Aku nekad untuk menjadi pelajar yang pandai di sekolah supaya emakku sedar dan menyesal kerana meninggalkan aku! Semangat itulah yang mendorong aku sehingga aku muncul pelajar terbaik di sekolah dan mendapat tempat di Pusat Asasi Sains di UM. Azamku kuat. Di Ambang Asuhan Jepun juga aku mendapat tempat sebagai salah seorang pelajar terbaik dan menerima biasiswa monbusho.


Beruntungnya anak-anak ku lahir sahaja sudah pandai naik kapal terbang. Tidak macam aku. Setelah berumur hampir dua puluh tahun baru dapat mengenali lapangan terbang serta pramugari dan pramugaranya yang sentiasa tersenyum itu.


“Mami! Pak Cik dengan kakak datang!” Suara Firdaus menyebabkan aku terkejut dari lamunan.

Aku menjengah muka di tingkap.

“Masuklah! Aliya, Abang Jefri.”

“Tak pa… Abang nak tinggalkan Aliya kat sini esok dua tiga hari kalau Sarah tak kisah… Abang kena pergi Penang… emergency… tak ada siapa lagi nak minta tolong. Nak biar dia duduk sorang, abang risau pulak…”

“Saya tak kisah. Aliya dah besar. Tak adalah susah pun saya nak jaga dia. Boleh juga dia main dengan budak-budak ni…”

“Terima kasih Sarah. Nanti malam esok dia tidur kat sini ya… Abang dengan Aliya nak pergi Seremban dulu beli barang dapur dan barang untuk ke Penang…”

Aliya masuk ke dalam kereta dan melambai Farah, Farabi dan Firdaus sambil tersenyum. Aku turut tersenyum melihat kegembiraan yang terpancar di mata Firdaus dan Farabi.

“Esok, kakak tidur sini ya mami?”

“Ya…”

“Farabi tanya Mami, bukan tanya abang!”

“Ya, esok kakak tidur sini. Farabi kawan elok-elok dengan kakak ya!”

“Yeah!!! Good job! Excellent! Great! Well done!” Farabi yang meniru ungkapan di dalan VCD bahasa Inggeris membuat aku dan Firdaus ketawa sampai keluar air mata.


Sejak itu Aliya sering bermalam di rumah ku pada malam minggu walaupun Abang Jefri ada di rumah. Kadang-kadang jika aku memasak aku hulurkan juga semangkuk gulai atau sepiring sayur untuk Abang Jefri dan Aliya. Kegembiraan anak-anak tatkala melihat Aliya dan Abang Jefri datang bertandang membuat aku bersyukur kerana sedikit demi sedikit, Farabi mahupun Farah sudah jarang menangis dan bertanyakan Hadi. Dan aku juga sedar aku semakin rapat dengan Abang Jefri. Walaupun ianya bukan hubungan cinta, namun aku tidak segan silu akan menelefon atau bersms dengannya untuk membaiki kereta. Aku kagumi niat ikhlasnya menolong ku. Mungkin juga perhubungan baik yang terjalin antaranya dengan Arwah Hadi membuatkan dia tidak lokek menghulurkan bantuan.


Masih ku ingat lagi bagaimana cemasnya aku ketika kereta tiba-tiba sahaja meragam. Aku menekan minyak, lepaskan gear, masuk gear 1, gear 2 tetapi semua tidak menjadi. Kereta tidak bergerak. Seorang pemandu motosikal datang menghampiri. Dia memeriksa enjin namun tidak menemui sebarang kerosakan. Akhirnya dia duduk di kerusi pemandu.

“Minyak kosonglah kak!” Dia tersenyum memandangku. Aku tidak tahu hendak diletakkan muka ke mana.

“Saya tak dapat nak bantu ni… Akak dah telefon suami akak?” Aku mengeleng.

“Tak pa lah dik… Nanti saya call kawan saya.” Lelaki itu menyuruh aku berjaga-jaga takut dilanggar motosikal atau kereta dari belakang. Maklumlah kereta ku terletak di antara lorong kecemasan dan lorong kiri.

Aku menelefon Abang Jefri kerana sangkaku Abang Jefri berada di UKM.

“Ada apa-apa ke Sarah… suara semacam saja…” Manakan tidak sebelum ini aku tidak pernah pun menghubungi telefon bimbitnya. Tentu Abang Jefri mengagak aku mendapat masalah besar kerana menelefonnya.

“Kereta tak bergerak bang! Minyak habis!”

“Laa!...”

“Nanti Abang datang tapi lambat sikit la, Abang ni di rumah, nak gi beli minyak lagi..”

“Kat mana?” Tanya Abang Jefri.

“Selepas tol Kajang…” suara ku sudah menjadi sebak.

“Tunggu Abang… Jangan pergi mana-mana.”

Hampir empat puluh lima minit aku menungu Abang Jefri. Rasa seolah empat puluh lima jam. Kepanasan, tubuh yang melekit dan perasaan geram, malu dan marah menguasai diri. Abang Jefri datang sambil tersenyum memandangku.

“Sarah! Sarah!”

Aku cuma mendiamkan diri. Aku mengawal diri dari menangis. Abang Jefri mengerti.

“Ni mesti masa Hadi masih ada, manja gila… sampai tak reti nak check minyak…” Ujar Abang Jefri sambil tersenyum. Dia menarik hidungku. Aku tidak sempat mengelak. Namun ada rasa bahagia di hati… Ada bunga-bunga berkembang di sanubari…

Semenjak peristiwa itulah aku dan dia sering berhubung melalui sms dan perhubungan kami sedikit sebanyak menghiburkan hati yang sentiasa kerinduan Hadi.


Petang Ahad, Abang Jefri bertandang ke rumah ku bersama Aliya. Firdaus kemudiannya mengajak Aliya ke taman permainan kanak-kanak bersama Farah dan Farabi.

“Boleh ke Mami nak pergi taman?”

“Aliya tolong tengok Farah ya? Jangan bagi dia main sorang-sorang. Firdaus tengokkan Farabi. Jangan bergaduh dengan adik pula…”

Firdaus mengangguk dan menutup pintu.

Tinggal kami berdua.

“Abang, tingkap bilik Farabi tu yang tarik-tarik tu dah rosak… Abang boleh tolong beli yang lain tak?”

“Tarik-tarik macamana?”

“Mai! Sarah tunjuk!”

Aku menunjukkan pada Abang Jefri tingkap bilik yang rosak itu.

“Ni bahaya ni, tingkap tak boleh tutup. Nanti orang bukak masuk dalam rumah… Kedai dah nak tutup.. Abang pergi kedai dululah, takut tak sempat pula nanti…” Keadaan kelam kabut seketika dan mukaku hampir bersentuh dengan mukanya. Abang Jefri memandangku dengan tersenyum. “Sorry bang! Tak sengaja” Aku membelakangkan dirinya dan beredar keluar.

Aku keluar dari bilik dan menuju ke pintu utama. Aku duduk di sofa, Abang Jefri pula menuju ke pintu rumah. Sedang Abang Jefri menarik tombol pintu, beberapa orang lelaki juga sedang menolak pintu rumahku. Aku terperanjat.

“Kami dari pejabat Agama Islam. Kami menerima aduan bahawa kamu berkhalwat.”

Ya Allah! Sungguh berat rasanya tuduhan yang dilemparkan pada kami. Aku tidak berdaya untuk berkata apa-apa. Aku cuma memandang Abang Jefri dan tetamu-tetamu tidak diundang itu dengan muka pucat lesi.

“Apa ni encik? Kami tak buat apa-apa…”

“Cuma awak berdua saja yang berada di dalam rumah ni. Mana orang lain?”

“Anak-anak kami pergi taman. Saya ni baru nak keluar beli barang…”

“Tak ada orang lain dalam rumah ni. Memang sahlah awak berkhalwat!” Kata seorang lelaki yang sedikit berumur dari yang lain.

“Bagi IC! Awak kena hadir ke mahkamah!”

“Apa ni? Saya tak buat apa pun. Dia jiran saya. Anak-anak saya pun baru keluar pergi taman kat sana. Bukan jauh pun… Kalau Encik nak dakwa saya, saya sendiri akan pasang lawyer lawan balik!”

“Encik tak nampak apa pun. Orang ni datang nak tolong saya baiki rumah, bukan nak berkhalwat!” Entah di mana datangnya kekuatan dalam diri ku. Terhinanya aku dituduh berkhalwat. Murah sangatkah harga diriku hingga ada orang membuat aduan tentang hubungan ku dengan Abang Jefri.

Akhirnya pegawai tersebut mengalah. Mungkin juga melihat pakaian kami yang kemas dan aku ketika itu memakai tudung. Namun sebelum pergi mereka menasihatkan kami berhati-hati agar tidak menjadi syak wasangka jiran-jiran. Aku cuma mengangguk walau hati masih terasa pedih dan kecewa dengan apa yang baru berlaku.


Aku dan Abang Jefri termenung di gazebo.

“Maaflah jadi macam ni pulak…” Aku tidak mampu menentang mata Abang Jefri.

“Abang tak kisah… kita bukan buat benda tak elok…” Aku dan Abang Jefri melayan perasaan.

“Sarah, sudikah Sarah jadi isteri Abang?” Abang Jefri memandang mukaku yang terkejut.

“Kenapa pulak Abang cakap macam ni?”

“Abang rasa jiran-jiran dah lama perhatikan kita, sebab tu orang Agama Islam datang. Lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan baik. Nanti disalah anggap orang. Mereka berdosa kerana memfitnah kita… kita pun berdosa kerana membuatkan orang syak pada kita…”

Sebenarnya aku tidak pernah membenci Abang Jefri. Malah aku menyenangi sikapnya yang tegas tetapi boleh diharap itu. Namun perkahwinan itu bukanlah perkara main-main. Mana janji ku untuk terus hidup tanpa Hadi…?

“Rasanya baru semalam Hadi meninggal…”

“Hadi dah tak ada Sarah… Yang tinggal kita yang hidup ini… Anak-anak Sarah perlukan seorang ayah. Aliya perlukan seorang ibu. Kita pula dah tua… Sampai bila kita nak hidup seorang tanpa teman?” Aku masih mendiamkan diri. Nyaris ditangkap kerana berkhalwat, kini aku dilamar Abang Jefri pula…

“Sarah tidak suka Abang ke? Abang dah tua sangat untuk Sarah ke?” Abang Jefri memandang tepat ke dalam anak mata ku.

“Bukan sarah tak suka…” Kelam kabut otakku memikirkan masalah yang baru melanda, kini terpaksa berfikir tentang perasaanku kepada Abang Jefri pula.

“Sarah suka abang?” Aku dapat menagkap wajah Abang Jefri yang tersenyum memandang ku.

“Abang macamana?” Aku bertanya tanpa memandang mukanya.

“Abang cintakan Sarah….” Ada getar pada suara Abang Jefri. Dia menambah,

“Abang tidak berani katakan pada Sarah… kejadian tadi memberikan Abang kekuatan untuk abang katakan pada Sarah. I love you too much…”

“Tapi Sarah tidak janji yang Sarah akan segera lupakan Hadi…”

“Tak perlu lupakan Hadi… dia kenangan Sarah, kenangan anak-anak Sarah. Cukuplah kalau Sarah izinkan Abang hidup bersama Sarah…”

“Nanti Sarah fikir dulu ya…” Abang Jefri tidak mengangguk dan tidak pula menggeleng kepala. Namun ada kekecewaan yang terpancar di raut wajahnya. Aku berbuat tidak nampak akan kekecewaan Abang Jefri. Harapan Abang Jefri pada ku, sejak itu terus menghambat ketenangan diri.


Janjiku pada diri sendiri untuk terus hidup bersendirian akhirnya memakan diri sendiri. Aku memang tidak dapat melupakan Arwah Hadi. Aku begitu cintakannya. Namun setinggi mana pun kasih ini pada Arwah Hadi, Hadi sudah tiada. Kekosongan dan kesunyian menguasai diri. Kekalutan menguruskan anak-anak telah menjadikan aku seorang yang perengus dan mudah naik angin. Aku juga sudah lama tidak berkunjung ke rumah Abang Jefri. Hanya anak-anak yang sering berulang alik. Aliya juga tetap seperti biasa datang bertandang bila ada kelapanagan. Kadang-kadang dia bercerita tentang ayahnya kepada ku.

“Semalam Ayah marah Aliya?” Aliya memberitahu pada suatu malam.

“Kenapa?”

“Dia kata jangan sebut lagi nama mama… Dia kata dia tak suka dengar nama mama…”

“Aliya rindukan mama ke?” Aku mengagak.

“Tak… Aliya benci kat dia. Sampai hati dia buat macam tu…”

“Mama ada telefon?”

“Ada mama telefon sekali… Bila Aliya marahkan mama, mama menangis…”

“Kenapa Aliya marah mama… mama Aliya tetap ibu kandung Aliya… Walau apa pun mesti hormat pada mama….”

“Aliya tahu… tapi Aliya geram sangat…”

“Tak apalah… Nanti lama-lama mungkin Aliya boleh maafkan mama… lupakan apa yang mama telah buat…

“Ayah macamana?”

“Ayah sudak ok. Dia dah tak kisah…”

“Ayah cakap ayah nak cari mama baru untuk Aliya…”

Aku terkejut. Aku tidak dapat menyembunyikan wajah ku yang telah berubah lantaran berita yang disampaikan Aliya.

“Siapa?” Aku bertanya tanpa memandang muka Aliya.

“Entah! Ayah tak cakap pun.”

“Aliya tak kisah kalau ayah kawin lain?”

“Tak. Lagi pun Aliya dah besar… Nanti nak masuk univesiti, kesian juga kat ayah… tinggal sorang-sorang kat rumah….”

Ada cemburu cuba menguasai diri. Aku terdiam seketika. Ingatanku terhadap budi Abang Jefri. Lamaran dan pandangan penuh harapan daripada Abang Jefri. Aku juga mulai merindui lelaki itu. Rindukan senyuman dan kata-kata sayang Abang Jefri.

“Kenapa Mak Cik tak nak kawin dengan ayah?” Aku terkejut besar.

“Ayah bagitau ke?”

Aliya cuma mengangguk.

“Bukan mak cik tak nak… mak cik kena fikir dulu…” Jawabku sejujur mungkin.

“Fikir apa?”

“Banyak nak kena fikir…pasal Aliya, pasal anak-anak mak cik…”

“Kalau pasal Aliya, Aliya tidak kisah… Lagi Aliya suka kalau Ayah kawin dengan mak cik. Aleya dah kenal mak cik…”

Aku kehilangan kata-kata.


Hati menyumpah andai Abang Jefri sudah mempunyai wanita lain. Aku tidak ingin kehilangan Abang Jefri. Ah! Alangkah menyesalnya diri jika aku kehilangannya. Namun untuk bertanya pendirian Abang Jefri aku gusar. Entah berapa lama aku menjeruk perasaan. Aliya sudah masuk universiti. Abang Jefri keseorangan di rumah. Anak-anakku juga semenjak Aliya tiada, tidak pernah lagi mahu berkunjung ke rumah Abang Jefri. Puas ku pujuk untuk membawa mereka bersama namun tiada siapa yang mahu menemaniku. Suatu hari tidak tertanggung menahan gelodak rindu, aku akhirnya mengumpankan siaran kartun Astro di rumah Abang Jefri. Aku memberanikan diri keluar melihat rumah Abang Jefri. Hati terasa gusar. Jantung berdegup kencang. Serba salah menguasai diri. Ku beranikan diri dan melangkah dengan berdebar-debar menuju ke rumah Abang Jefri.


“Assalamualaikum….”

Abang Jefri membuka pintu lantas tersenyum memandang aku yang berdiri di pintu. Aku turut tersenyum. Abang Jefri berseorangan pada petang itu kerana Aliya telah kembali ke kolejnya. Aliya belajar di Universiti Malaya meneruskan pelajaran ke peringkat Matrikulasi selama dua tahun sebelum memasuki Fakulti Perubatan. Anak-anakku pula terus berlari ke ruang tamu menonton rancangan Astro. Itulah kebiasaan mereka kalau ke rumah Abang Jefri. Rumah ku tidak melanggan Astro, jadi bila sekali-sekala ke rumah Abang Jefri, mereka tidak melepaskan peluang menonton rancangan kartun. Farah juga tidak ketinggalan mengambil bahagian.

“Apasal tengok-tengok rumah orang ni? Ada apa-apa ke?” Aku bergurau.

“Bila?” Abang Jefri tersenyum.

“Minggu lepas! Tak nak ngaku ya?”

“Nak tengok rumah pun tak boleh ke?”

“Boleh… Nak tengok rumah ke tuan rumah ?” Aku masih tersenyum. Abang Jefri melarikan pandangannya ke arah lain.

“Budak-budak tu macamana?” Abang Jefri mengalih topik perbualan. Aku terkedu.

“Ok. Cuma sayalah yang tak laratnya…” Aku cuba untuk tidak menambah nada suara. Hati telah terguris! Mungkinkah aku telah dibenci?

“Tak nak ambil orang gaji ke?”

“Malas la bang… Kalau dapat orang gaji yang tak betul lagilah Sarah susah… Bukan boleh percaya…”

“Offer ari tu macamana?”

“Offer apa?” Aku bertanya tidak faham.

“Tentang kita…”

“Aliya kata abang nak kawin… Dengan siapa?” Aku bertanya namun pandangan ku alih ke lain.

“Dengan orang yang kasihankan abanglah… Sarah pun tak peduli…” Aku bagaikan mahu menangis. Air mata hampir tumpah. Wajah telah mendung. Aku kehilangan kata-kata.

“Tak pa lah… Sarah balik dulu…” Aku membelakangkan Abang Jefri. Menyapu air mata secepat mungkin agar tidak dilihat Abang Jefri.

“Heh! Kenapa ni?” Abang Jefri menarik tangan ku.

“Lepas lah! Sarah nak balik!” Suara ku sudah pecah. Air mata merembes keluar. Abang Jefri memandang tanpa memahami keadaan hati.

Abang Jefri menarik tanganku dan memaksaku duduk di gazebo. Aku tidak mampu melawan. Aku tidak mampu juga menentang matanya. Pandangan ku arahkan pada bukit bukau dan kawanan burung yang terbang di langit.

“Kalau abang kawin, abang cuma kawin dengan Sarah!”

Aku tidak mempercayai apa yang telah ku dengari. Ku alihkan pandangan ke arah Abang Jefri.

“Dengan siapa lagi… dengan Sarah lah… Sarah ingat Abang nak kawin dengan siapa?” Abang Jefri tersenyum.

“Sayang abang tak?”

Diam.

“Kalau tak sayang, kenapa menangis?” Abang Jefri tidak mengerti.

“Abang takkan faham kalau Sarah senyap sunyi macam ni… kalau sayang katalah sayang, kalau benci… abang undur diri!”

Hah! Hati menjadi tidak keruan lagi. Mengapa terlalu sukar melafazkan kata sayang?

“Sarah! Jangan buat macam ni…” Muka Abang Jefri masam.

“Abang ambil kertas dan pen!” Aku bersuara sambil tersenyum namun mata tidak mampu menentang.

Abang Jefri merenungku seketika sebelum beredar memasuki rumah. Dia keluar semula membawa secarik kertas dan ballpen hitam.

Aku mengambil kertas dari tangannya dan hati kembali berdegup.

Aku membelakangkan Abang Jefri dan menulis,

“Sarah pun sayangkan abang!”

Ku hulurkan pada Abang Jefri sambil tersenyum bahagia.

“Terimakasih Sarah… Semoga kita bahagia…”

Aku dan Abang Jefri akhirnya berdiam diri, malu untuk berkata apa-apa lagi.

“Kalau tak silap sudah setahun Hadi meninggalkan?” Abang Jefri kembali bersuara setelah beberapa mendiamkan diri.

“Setahun lebih…”

“Sudah boleh terima ketiadaan Hadi?”

Aku mengangguk.

“Sudah boleh terima kehadiran Abang?”

“Memang Sarah harapkan Abang tapi entah la bang…”

“Kenapa Sarah tidak tahu. Sarah sepatutnya tahu perasaan Sarah sendiri… tadi kata sayang abang.” Abang Jefri tidak mengerti.

“Sarah tidak yakin…”

“Kenapa pula?... Tidak yakin pada Abang?”

“Abang boleh cari wanita lain… yang masih muda remaja… bukan macam Sarah dah dekat empat puluh, Anak dah tiga… masih kecil lagi… Sarah takut Abang bosan nanti…”

“Sarah! Sarah! Ada ke itu pula…? Abang boleh sayangkan anak-anak Sarah macam anak-anak abang sendiri. Abang pun cuma ada anak sorang je.. dah besar pula… Abang juga perlukan budak-budak tu selain Sarah…” Ah! Benarkah? Bolehkah ku percaya dia dapat menerima ketiga-tiga anakku seikhlas hati?

“Abang tak kisah kalau Sarah belum dapat menyintai Abang sepenuhnya. Tapi selepas berkahwin Abang percaya Sarah akan cintakan Abang…”

“Sarah juga tahu Sarah boleh menyayangi abang sebagai suami Sarah selepas berkawin nanti. Sarah juga perlukan seorang teman untuk berkongsi hidup ini… Cuma sarah takut Abang tidak boleh terima anak-anak Sarah dan anak-anak Sarah tidak boleh terima Abang…”

“Tak mungkin sayang…”

“Abang bukan seorang yang kejam tidak tahu menyanyangi anak-anak kecil… Mereka itu tidak berdosa dan mereka mengharapkan kita untuk mengasuh dan mendidik mereka…”

“Nanti Sarah tanya anak-anak dulu ya?”

“Tak perlu. Abang yang akan tanya.”

Abang Jefri memanggil anak-anakku ke luar rumah. Mereka bertiga berlari datang dengan wajah kebingungan.

“Firdaus, pak cik nak kawin dengan mami boleh?” Tanya Abang Jefri selamba.

“Mami nak kawin dengan pak cik?” Firdaus bertanya seperti tidak percaya.

“Boleh tak Pak cik jadi Ayah Firdaus?”

“Tapi pak cik jangan garang tau!!!!” Farabi pula tidak semena-mena menyampuk.

Aku, Firdaus dan Abang Jefri ketawa mendengar kata-kata Farabi. Farah pula tidak memahami apa-apa, cuma datang memelukku.

“Sarah…”

Aku menoleh pada Abang Jefri.

“Jawapannya anak-anak Sarah dah bagi… Macamana?” Tanya Abang Jefri tidak sabar.

Aku cuma mengangguk sambil tersenyum memandang Abang Jefri dengan penuh makna. Abang Jefri kemudian berbisik,

“Abang akan bahagiakan Sarah..”









GLOSARI

Sempai Senior

Kohai Junior

Ringogari Masuk ke ladang epal dengan sedikit bayaran dan boleh makan sebanyak mana epal pun di dalam ladang tersebut

Baito Kerja sementara

Shinkansen Keretapi peluru

Kimuchi Sejenis sayur jeruk Korea

Tempura Makanan laut dan sayur-sayuran yang dicelup tepung dan digoreng

Nabe masakan rebus musim sejuk, campuran makanan laut dan saur- sayuran

Onigiri Nasi kepal Jepun yang berbentuk tiga segi dan dibungkus dengan nori

Natto Kacang soya yang diperap, melekit dan agak berbau

Nori Laver/ sejenis makanan diperbuat dari rumpai laut

Juuhachikippu Tiket murah yang boleh digunakan sepanjang sehari walau ke mana juga dalam satu hari

Monbusho Kementerian Pendidikan Jepun

Jikokuhyou Jadual perjalanan

Bento Nasi bekal yang dibungkus elok dan dijual terutama di stesen keretapi

Ryuunen Melanjutkan tempoh pengajian kerana tidak sempat menghabiskan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan

Daigaku Universiti

Sotsugyou Tamat pengajian

Gakusei Pelajar

Eki Stesen keretapi

Miso-shiru Sejenis sup yang diperbuat dari beras

Tooi jan! Jauhnya!

Hidoiyo! Teruk tau!

Fuyu Musim sejuk

waza-waza Semata-mata

Nihon Jepun

Obasantachi Mak cik-mak cik

Juugonin Lima belas orang

Nani? Apa?

deguchi Pintu keluar

nishiguchi Pintu sebelah barat

Kichatta Datang juga akhirnya

Eki Stesen keretapi

Kanji Tulisan Cina

Dame Tak boleh


okite! Okayama he ikouyo! Ima kara. Minna iku karasa!

Bangun! Mari kita ke Okayama! Dari sekarang. Semua pergi!


Ato sanjuppun, mattene.

Tunggu tiga puluh minit lagi.


Ato ichijikan tsukara, nasi lemak tsukutte!

Akan sampai dalam masa tiga puluh minit, buat nasi lemak!


Imochan kyou kawaiine

Cik Ubi, Comelnya hari ni!


Datte! Hitono kot yoku iuyo! Sou deshou?

Dah tu! Suka mengata sangat mengata orang! Kan?


Watashino koto wasuretanjanaino?

Dia mungkin dah lupakan aku!


doushite hayaku kekkonshitaino?

Kenapa mahu kawin cepat?


Sukidakara yo. Hayaku isshoini itai deshou!

Kerana sayanglah! Ingin segera hidup bersama kan?


Moshi-moshi Rafli san desuka?

Hello Encik Raflikah?


“Hai, soudesuga.

Ya, betul.


Siti Sarah desu. Hiroshima no.

Siti Sarah. Dari Hiroshima.


Ima, Nagoya eki ni irukedo.

Sekarang berada di Stesen Nagoya.


Haihai. Chotto matte. Ima sugu iku yo.

Ya ya. Tunggu sekejap. Pergi sekarang juga.


Nanka nomu?

Nak minum apa-apa?


Uchini tsuitara denwashitene, shinpai suru kara.

Sampai rumah telefon ya, jika tidak saya risau.


Hai, wakatta.

Ya, tahu.


Moshimoshi. Sarah desu. uchi ni tsuita yo.

Hello. Sarah ni. Dah sampai rumah.


Haa yokatta

Hah Lega.


un un. Nandemo nai yo.

Tidak. Tak ada apa-apa.


Gomen. Hontouni gomen nasai!

Maaf. Maaf banyak-banyak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan