Sambungan Novel @dimensi buni

Ikuti sambungan novel bertema bunian iaitu "@ dimensi buni" di http://dimensibuni.blogspot.com/. sesiapa yang belum membaca naskah tersebut boleh hubungi saya dengan harga RM25.00 termasuk pos.

Isnin, 2 April 2007

Perpisahan jua yang kupinta

Kesakitan. Kepedihan. Kesayuan. Hati merintih. Jiwa kosong. Hampa. Duka. Pilu. Ingin merayu. Tiada suara. Tiada jeritan. Air mata tidak mengalir. Duka tidak bertambah jua. Kebencian. Semakin membahang.


Wahai anak! Pengikat kasih. Pengerat talian. Tiada makna jua.


Wahai suami! Kebergantungan hidup. Pautan terlerai. Aku sendiri jua. Terkapai-kapai. Di bawa arus. Terus dibawa pergi. Tiada hujung.


Wahai kekasih! Sayang telah berakhir. Tiada kebencian. Rindu mengimbau. Namun… sejarah tetap sejarah. Aku isteri kepada seorang lelaki. Dirimu ku kenang. Manis masih ku rasai. Pahit terasa jua.


Bayang berbalam-balam wanita muda. Rengekan manja. Entah kenapa begitu ramai lelaki suami ku jua yang diinginkan. Begitu ramai suami orang, kenapa suami ku yang ingin direbutnya. Tidak ingat dosa… kenikmatan sementara. Wahai perempuan! Engkau sejenisku. Ingin bahagia. Ingin merasa nikmat cinta. Ingin dahan yang kukuh. Tetapi kenapa merampas hakku!


Suami. Tanda kasih padamu. Aku tidak pernah mengungkit wang ringgit. Aku belikan semua, rumah, kereta. Ku bayar semua bil. Ku bayar semua persekolahan anak. Namun dirimu dengan kelapangan wang mu, tidak berterimakasih. Tiada penghargaan. Namun terlalu mahalkah untuk dirimu menghargainya di hatimu? Kau hanyut dalam ledakan asmara. Kau buang diriku. Buang anak-anakmu. Tidak terlintaskah di hati mu akan mendung di hatiku? Tidak terlintaskah pandangan benci anak-anak kepada mu. Tidak terfikirkah olehmu akan pemberontakan di jiwa anak-anak? Anak-anak yang pernah kau kucup mesra kini membencimu seperti memandang najis. Salahkan anak-anak itu? Sedang kau leka dengan cinta asyik, kau biarkan anak-anak ketandusan kasih, kau biarkan anak-anak yang nyata ingin bermanja, kau merengus setiap kali berada di rumah, dan kau tengking anak-anak yang kerinduan pelukan dan sentuhan mu. Sampai bila?


Kekasih. Setiamu. Walau berpuluh tahun masih menyatakan cinta. Ketika aku kedukaan kau datang menghulur simpati. Namun kau jua seperti suamiku itu. Kenapa menghulur simpati kepadaku? Kenapa tidak kasihankan isteri di rumah mu yang menunggu mu untuk makan malam, yang ingin menghabiskan usia tua bersamamu? Yang ingin menunaikan Haji bersamamu, yang ingin menghabiskan masa emasnya bersamamu dengan majlis-majlis ilmu? Kita sudah terlalu tua. Masa tidak akan berputar kembali ke zaman remaja. . Dan aku masih sah sebagai seorang isteri. Aku pernah menangis di dadamu. Namun cukuplah sekali. Aku tidak ingin melihat wajah benci anak-anak kepadaku, sebagaimana mereka tunjukkan kepada suamiku. Terlalu tajam…


Sahabat karibku. Entah kenapa persahabatan kita terus berlangsung walau kita sudah lama tidak berhubungan. Sedari kecil bersekolah rendah bersama, kemudian berpisah dan bersatu kembali dan berpisah lagi. Kau seperti sedarah sedagingku, membantu. Memberi kekuatan. Katamu padaku,

“bersemukalah dengan Basri. Minta penjelasan dari Basri.”

Ah! Sayang. Wahai sahabat, kau tidak pernah mengenali Basri. Dia lelaki kasanova. Dia berparas kacak. Dia pandai bermain kata. Aku sudah berpuluh tahun hidup serumah. Aku tidak pernah menang ketika bertelingkah. Aku cair bagai lilin dibakar api. Akhirnya aku akan menangis sendiri atau sekiranya ‘bernasib baik’, lemas di dalam pelukannya sehingga ke pagi. Aku sudah bosan dipermainkan. Aku sudah muak dengan pujukan. Aku sudah terlalu letih, walau sekadar ingin merawat luka sendiri. Aku sudah terlalu jelak untuk minta dikasihani.


Katamu yang satu lagi seolah membakar semangat. Semangat ingin membalas dendam. Katamu mebuat aku terfikir sambil tersenyum puas,

“suami aku broker, kau beli rumah lain. Kau jual rumah kau tu tanpa pengetahuan Basri. Kau larikan anak-anak, tukar sekolah anak-anak. Tidak lama lagi akan pencen. Masa pencen tu kau terus je pindah. Biar padan muka laki tak sedar diri tu. Masa tu baru dia tahu langit itu tinggi atau rendah.”


Namun semangat itu terhenti begitu sahaja. Aku telah berbincang dengan anak-anak. Anak-anak jua tidak menyokong. Namun rumah itu tanpa pengetahuanmu telah ku tukar kepada nama anak-anak seramai empat orang itu. Supaya jika aku pergi suamiku itu tidak menjadi gila sekiranya tiada tempat berteduh. Tidak ku ketahui berapa simpanannya, tidak ku tahu apa hartanya. Mungkin dia mengumpul harta tanpa pengetahuanku. Mungkin juga di miskin tanpaku. Biarkanlah. Jika perempuan itu meninggalkannya, dia boleh duduk di rumah itu. Namun jika dia berkawin, jangan harap anak-anakku akan biarkan dia berbulan madu di rumah itu. Itu janji anak-anakku. Anak-anak yang muak dengan peelnya. Anak-anak yang merancang mahu memulaukannya sekiranya dia masih lupa akan tanggung jawabnya saat aku mengundur diri itu.


Basri, perempuan yang kau kasihi itu telah jua bersuami. Dia seperti juga aku telah mempunyai anak-anak. Dia mempunyai suami yang pengasih. Saaat suaminya menelefon membongkar rahsia mu dia menangis. Katanya membuat aku terkedu,

“Saya tak sangka dia curang. Dia asal anak orang kaya. Saya cuma kerani. Dia juga kerani. Suami puan majikannya. Dia mahu kemewahan. Suami puan mampu berikan… saya tak mampu. Dia kata dia naik pangkat dapat jadi secretary, terpaksa ikut bos keluar out station… mana saya tahu dia ikut bos dia sampai bilik hotel? Dia tak ada perasaan ke? Dia tidak tahu ke anak-anak meraung hendakkan maminya…”

Basri, aku turut menangis selepas itu. Dia menambah,

“saya dah check, masa lunch dia dan suami puan masuk ke hotel. Saya terpaksa fikir banyak kali sebelum memberitahu puan. Saya rasa puan ada hak untuk tahu suami puan itu lelaki yang bagaimana..”

Itulah kali pertama aku mengetahui dengan jelas suamiku itu orang yang bagaimana. Dulu khabar-khabar angin tidak ku endahkan. Segalanya tidak mungkin bagiku pada ketika itu. Kini semua berkemungkinan. Dia selepas waktu itu menjadi lelaki yang tidak ku kenali. Aneh sebenarnya. Semua menjadi logik pada waktu ini. Kelewatan pulangmu, senyuman hambar mu, Kedinginan mu. Kemarahanmu.

Dan tidak sampai sebulan selepas itu suami perempaun itu mendakwa dia telah menceraikan isterinya. Dan kau pula selepas itu menjadi cacing kepanasan. Tidak lagi betah di rumah. Lauk yang menjadi kegemaranmu, tidak lalu kau telan. Katamu, terlebih masin. Air milo kau kata terlebih manis tidak elok untuk kesihatan tuamu. Kau semakin kerap tidur di pejabat. Katamu terpaksa mengganti orang atasanmu yang diserang kanser paru-paru secara tiba-tiba. Aku yang mendengar cuma tersenyum tawar. Anak-anak yang memasang telinga pula tersenyum sumbing.


Dan saat itu tiba juga. Kau memanggil aanak-anak ke ruang tamu. Kau menyuruh aku mengadap mu. Kau lafaskan cerai di depan anak-anak. Raut wajahmu membayangkan kelegaan hatimu. Membayangkan beban jiwamu yang telah terlepas sepenuhnya. Anak menangis memandang aku. Aku masih mampu mendengar dengan tenang. Aku cuba berlagak setenang mungkin. Tangisan ku akan menjadi bukti aku tewas. Kerana itu aku sedaya upaya mendengar dan memandangmu. Namun air mata gugur jua tatkala kau memberitahu,

“Abang nak jual rumah ni. Nilai dua hampir 400 ribu. Kita bagi dua duit ini. Rumah ini harta sepencarian kita. Kita berhak dapat separuh.”

Anak sulung. Balkis penyarah univerisit tersenyum mengeleng kepala. Anak kedua di MRSM, Imran mengetap bibir. Anak ketiga Naim, yang di tingkatan enam memandang dengan pucat dan anak bongsu Safiyah, di tingkatan lima menangis dalam pelukanku.

“selama ayah kawin dengan emak, harta apa yang ayah berikan pada emak?”

“Selama ini siapa yang tanggung kami?”

“kau jangan jadi anak derhaka Imran, Naim. Sedar kau tu anak siapa?”

“Dan ayah telah jadi suami derhaka. Kelek betina tu ke hulu ke hilir macam lalat hurung tahi!”

Satu penampar hinggap pada pipi Balkis. Balkis meraung. Aku Cuma mampu menangis.

Aku terpaksa membuka mulut.

“Rumah ini telah saya tukar nama kepada anak-anak. Saya yang bayar rumah ni. Awak tak keluarkan satu sen pun. Jangan harap awak nak ingat saya bagi kat awak macam tu saja..”

“Awak tak boleh buat macam tu. Kalau saya tak izinkan awak kerja awak tak mampu pun beli rumah! Ini harta sepencafrian.!”

“jangan buat lawak bodoh... Muka tak malu… berzina dengan secretary samapai orang becerai berai kemudian nak minta harta sepencarian isteri? Saya sekarang tidak berharta. Kalau awak nak, awak boleh ambil kereta Mercedes saya tu. Awak continue bayar. Dulu awak yang beria-ia nak kan?”

Tiada jawapan.

“Awak kawinlah dengan betina tu. Tapi jangan harap nak bawa dia duduk rumah ni. Dia dan awak tak ada hak. Dan kalau awak tak jadi kawin dengan betina tu awak boleh duduk sini kalau awak tak malu. Anak-anak takkan halau awak. Saya yang akan keluar duduk rumah lain. Lagipun, Balkis telah pun beli rumah untuk saya. Saya masih ada pencen untuk teruskan hidup saya.


Aku bercakap menentang biji matanya. Malam itu dia keluar rumah tanpa pulang semula. Kami menunggu khabarnya di rumah walau pada mulanya kami sudah tidak endah, sudah tidak ingin mengambil tahu tentang diirnya. Kami merasa lega apabila menelefon ke syarikatnya, diberitahu bahawa dia berkerja seperti biasa dan telah berkahwin lain. Terkilan memang terkilan mengenang dia yang telah mendapat kehidupan yang diimpikannya, sedangkan lima hati di sini terluka dan terseksa. Biarkanlah. Tuhan saja yang membalas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan