Sambungan Novel @dimensi buni

Ikuti sambungan novel bertema bunian iaitu "@ dimensi buni" di http://dimensibuni.blogspot.com/. sesiapa yang belum membaca naskah tersebut boleh hubungi saya dengan harga RM25.00 termasuk pos.

Isnin, 2 April 2007

Gayah

”Anak tak sedar di untung. Lepas makan tido, kalau tak tido, merayau.... betino, jate samo jah perangainya... Puii!” Gayah meludah. Marahnya berapi-api. Geramnya tidak terhingga.Kesabarannya telah hilang. Perutnya berkeroncong meminta diisi. Dia pergi ke kedai, tapi banyak mana orang nak bagi dia makan? Asyik-asyik jagung rebus, kuih! Bila dia nak bagi duit, orang tak nak ambil!Padahal bukan duit dia tak laku! Kenapa semua orang tak nak berniaga dengan dia? Bila dia nak beli nasi himpit, nasi lemak, atau nasi dagang kat gerai Jenab, belum sampai lagi Jenab dah menghalau dia dengan menunjukkan isyarat tangan. Apa salah dia?


Gayah menyumpah diri sendiri pula. Tak dihiraukan dia dipandang orang ke tidak. Tidak dihiraukan juga kata-katanya didengari jiran atau tidak.

”Ada tok laki gi laghi...”

”Aku ni memang sial!”

”Memang patut anak jadi sial. Mok dia sial!”

”Celako budak-budak ni!”

”Celako mu Ali, Saif!”

”Celako mu sebab nikoh dengan aku!”

”Aku pun celako sebab nikoh dengan mu”

”hihihihi.... memang pade denga kito, samo-samo celaka... samo-samo jahat!”


Dia masih ingat pertemuan pertamanya dengan bekas suami pertama. Tengok wayang sambil berpeleseran di Kota Bharu. Dia tinggalkan rumahnya dua tiga hari bermalam di rumah Ali. Bersama Ali. Dia tidak endahkan emaknya yang menangis tiga malam kerana sakit hati, kerana sayu dibuat anak sebegitu rupa. Masa tu bukan dia tidak tahu hati emaknya telah tercalar. Bukan dia tidak tahu emaknya tidak lena tidur mengenangkan nasib memelihara anak liar sepertinya.Dan dia juga tahu emaknya sanggup berpanas berhujan menjunjung ikan kering dalam bakul besar. Habis rambut emaknya berbau ikan kering. Baju-baju emaknya berbau ikan kering! Naik muntah dia kadang-kadang apabila sekali sekali terbau badan emaknya yang busuk itu! Tambah-tambah kalau mak dia masak ikan kering goreng untuk makan dengan nasi. Macam lah tak ada lauk lain!


Kerana bebas sangat dia serahkan segalanya kepada Ali, termasuk jiwa raga dan tubuhnya sekali. Ahh! Peduli apa! Yang penting dia sayangkan Ali dan Ali sayangkan dia. Harap-harap mak berhenti sendiri. Tapi mak dia degil sangat. Buat juga kerja macam tu! Dia tinggalkan mak dia setelah dia berkahwin dengan Ali.


Mereka berkahwin setelah ada benih tumbuh dalam rahimnya.Mereka bahagia. Tapi tak sampai setahun. Bila hidup di rumah sewa, pendapatannya hilang. Sumber yang biasa di dapati dari Maknya sudah tiada. Setakat gaji Ali sebagai penjaga tiket panggung wayang, berapa sen sangatlah. Kerana tidak ada duit, mereka asyik bergaduh saja! Buka mulut mesti pasal duit! Masam muka pasal duit! Bergaduh pasal duit! Ditumbuk Ali pun kerana duit juga. Kemanisan cinta dah hilang. Rumah tangga bertukar menjadi neraka semata-mata kerana duit. Siapa kata dia mata duitan? Tanpa duit manusia boleh bahagia ke? Cuba hidup sehari-hari terpaksa fikir mana nak cari duit, aku ni cuma nak cari duit untuk makan pakai je. Bukan nak beli kereta atau rumah banglo!


Dia mula mencari cinta yang lain. Kali ini dia mengumpan lelaki yang bekerja tetap dengan kerajaan. Baru kukuh sikit ekonomi. Beberapa kali mencuba dengan anak teruna tak menjadi. Gayah bingung. Kalau setakat Gayah bakal janda, kekasih-kekasihnya masih mahu lagi menerima. Namun, tatkala mengetahui Gayah beranak dua semua menghilang. Akhirnya dia poskan anak-anaknya pada mak.

”Perempuan tak sedar diri. Perempuan mata duitan. Perempuan sial...”

Meraung Gayah macam orang gila. Gayah melawan namun kudrat perempuan Gayah takkan mampu melawan kudrat lelaki Ali. Akhirnya Ali tinggalkan Gayah dengan talak tiga. Dua hari Gayah tidak keluar rumah kerana seluruh badannya sakit sampai nak mati.


Dia akhirnya bertemu Saif. Bila dia nyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Saif pada isteri kepada kawan Saif, Maimun, Maimun membantah. Kata Maimun, Saif dah kahwin dan ada anak tiga orang di Johor. Saif juga kaki pukul. Anak bini tak boleh silap sikit dilempang. Gayah tidak gusar. Dia cuma tersenyum penuh makna.Aku buatkan dia ceraikan isteri dia. Dia akan jadi milik aku seorang.Dia akan jadi jinak tidak sampai sebulan berkahwin dengan aku!Gayah ketawa mengilai lagi.


Saif insaf, sempat insaf setelah diperlakukan sedemikian rupa.Selama bertahun, menjeruk perasaan, hati terkilan. Bekas isterinya tidak pernah melakukan sedemikian rupa pada Saif. Isterinya terlalu takut padanya. Hinggakan hendak bersuara atau bergurau senda pun terpaksa melihat kilas muka Saif. Tersilap sikit dimarahnya seperti kesilapan yang dilakukan maha besar. Nasi lambat dimasak pun ditengking sehingga bekas isterinya mengalir air mata. Bekas isterinya memang selekeh. Masakan tidak selekeh, anak berduyun-duyun. Namun dalam pada itu, sempat juga bekas isterinya membuat kuih muih untuk dijual bagi membantu Saif. Dan dia akhirnya menyedari hakikat betapa dayusnya dirinya membiarkan Gayah memusnahkan kebahagiaan dirinya, memusnahkan kelelakiannya dan memusnahkan anak-anaknya. Saif meningalkan isteri dan anak-anaknya mencari kehidupan lain yang belum tentu cerah di penghujungnya.


Gayah mengesat lagi airmata yang keluar. Dia duduk di dapur keseorangan mengenang kisah lampaunya.

”Aku ni memang perempuan sial. Ali yang melarat tu pun ada duit pergi ke Mekah, Aku ni usahkan Mekah nak pergi ke Kota Bharu pun rasa susah.”

Dia pernah terserempak dengan Ali. Ali seperti dirinya juga berkahwin lain. Terserempak dengan Ali di Kota Bharu amat menyeksa hati.Masakan tidak, Ali yang ditinggalkan kerana hidup miskin mempunyai van dan kereta sendiri. Katanya dia berniaga di pasar-pasar malam di sekitar Kota Bharu.

”Sudah nasib aku yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran pula.”

Ali datang menghampiri dengan penuh senyuman. Dia cuba berbuat selamba. Kata Ali,

”Maafkan aku Gayah, kalau dulu aku pernah sakitkan hati engakau.Aku dah lama mencari kau untuk meminta maaf. Allah Maha Berkuasa, sempat juga aku meminta maaf sebelum aku pergi Haji bulan depan.”

Gayah tidak mampu memandang Ali lama-lama. Dia cuma menjawab,

“sama-sama…” sebelum beredar dan meninggalkan Ali terpinga-pinga.

Tidak sanggup melihat raut wajah Ali yang masih nampak tampan walau telah dimamah usia lima puluh tahun. Wajah Ali terpapar kesenangan dan kebahagiaan. Aku ni! Seperti orang gila, pergi ke Kota Bharu, naik bas berhimpit-himpit. Mujur juga kalau dia naik bas, orang lain pantas memberi laluan. Agaknya ilmu pengasih yang diguna dulu masih belum tamat tempoh. Masih sah laku! Gayah ketawa sendirian penuh makna. Ah! Aku ni memang ramai orang sayang, naik bas orang bagi tempat, pergi kedai orang bagi makanan, memang murah rezeki dia sejak Saif menghilang diri. Agak-agaknya yang sial selama ni adalah Saif, bukan dia! Gayah ketawa lagi.

”Saif, Saif engkau ni memang sial! Sampai aku miskin hina berlakikan engkau!” Gayah sedih.

Pernah juga budak-budak mengusik dia,

”Gayah gilo! Gayah gilo!”

Gayah akan menangis sambil menyeru nama maknya. Seburuk-buruk mak dia tak pernah pun mak kata dia gila. Tak pernah kena tampar walau pun selalu duitnya hilang diambil Gayah! Habis-habis ibu itu menangis kerana kebiadapan Gayah!


Gayah tahu dia memang sial. Sialnya dia sejak remaja lagi. Anak derhaka. Aku sial dan dimurkai Allah kerana derhaka. Dia masih ingat bagaimana sejak dia belasan tahun lagi, dia sudah berani memaki hamun ibunya. Dia tidak pernah kesiankan ibunya yang menjunjung ikan kering sekeliling kampung. Duit hasil meniaga dia ambil tanpa pengetahuan emak. Dia tidak pernah membahasakan emaknya sebagai ’emak’ kepada orang lain. Dia membahasakan emaknya sebagai ’orang tua tu’. Betapa Gayah membenci emaknya. Emak yang melahirkannya.


Setelah bercerai dengan Ali, dua anaknya dipelihara emaknya.Emaknya berjaya juga menjaga cucunya itu dengan hasil jualan ikan kering. Emak dia juga malah sempat lagi membeli tanah sawah dua lot dan memberi cucunya satu lot seorang. Kasih sayang emaknya terhadap cucunya memang tiada tolak banding. Abang Gayah pernah memarahi Gayah kerana tidak menjaga anak sendiri, kerana Gayah bebankan Emak dengan dua cucu lelaki. Anak lelakinya tidak menjadi orang. Yang sulung menghuni Penjara Pengkalan Chepa kerana ditangkap polis menghisap dadah, yang kedua menghisap ganja. Dua-dua anak Gayah dengan Ali tidak pernah tinggal bersama Gayah dan Saif sejak mereka dibawa ke rumah nenek mereka. Apa yang diharapkan dari anaknya? Yang dipelihara oleh nenek yang terlalu memanjakan mereka. Yang tidak dihirau oleh Gayah atau Saif.Yang dilupakan oleh Ali, ayah kandung mereka!


Dia masih ingat akibat perkelahian dengan abangnya, abangnya membawa emaknya ke KL. Namun tidak sampai sebulan, Emak cabut lari. Menantu perempuan tidak mengalu-alukan kedatangannya.Kata-kata menantu bagai satu sindiran. Sejak itu puas dipujuk emak tidak lagi mahu pergi ke KL. Bila Emaknya jatuh sakit dan lumpuh, emak mengharap belas simpati Mak Su, Mak Su yang menjaga makan minum dan merawat Emak. Gayah tahu kenapa Emak tidak ingin tinggal bersamanya setelah lumpuh. Gayah juga tidak memaksa, dia tiada daya untuk menjaga emak tua itu. Mana nak jual ikan, nak bagi makan minum emak dan anak-anaknya dan basuh najis emaknya pula. Rumahnya pun dah lama tidak berkemas. Di ruang tamu berlonggok-longgok kain kotor dan kain bersih. Kain kotor di sudut lain dan kain bersih di sudut yang lain. Usahkan nak jaga emak yang lumpuh, nak lipat kain pun tidak sempat. Akhirnya ibu tua itu meninggal dunia di rumah Mak Su. Emak tua yang pernah dipanggil ’ibu gila’ olehnya mati tanpa sempat pun dia meminta ampun. Masa itu Saif masih tinggal bersamanya. Dia tidak lahmerasa sangat kesunyian. Kini setelah saif dan Amin tiada, kesunyian begitu terasa. Anak-anak yang lain entah ke mana hilang.Yang perempuan bernikah selepas ditangkap basah. Sejak itu dia tidak pedulikan lagi anak perempuan dan menantunya. Anak yang lain juga ada masalah masing-masing. Malas belajar, kena buang sekolah, berjudi, minum arak dan entah apa lagi. Gayah akan sakit kepala jika terus memikirkan anak-anaknya.


Dosa begitu menghimpit diri. Dosa menjadi isteri derhaka, dosa memberi makan benda kotor pada Saif, dosa pada Ali... Dosa pada anak-anaknya, dosa pada bekas isteri Saif... Gayah menghitung satu demi satu dosa yang telah dilakukannya sejak muda sehingga tua.... akhirnya dia menangis... menangis dan menangis... Dia menghitung hari tuanya... Ditakdirkan dia lumpuh seperti arwah emaknya... masakan anak-anak akan menjaganya... dia tidak pernah menunjukkan contoh anak yang baik kepada anak-anaknya. Malah, dia selalu memberikan halwa telinga pada anak-anaknya dengan segala kata makian...

”Nate mu!.”

”Bewok!”

”Babi!”

Adalah ucapannya setiap hari. Dan dia tidak nampak masa depannya, masa tuanya yang bahagia bersama anak-anak. Gayah menyeka air mata yang tumpah.

”hihihihi....”

”Aku gilo! Aku gilo! Semua gilo! Anak-anak gilo, tok laki gilo!”

”Mak aku tok gilo.. tapi dia dah masuk dalam tanah! Cari cacing!”

Akhirnya dia meraung-raung seperti orang gila. Dia membawa parang mahu mencari anak-anak. Mahu dibunuhnya anak-anak derhakanya.Biar mereka mati awal-awal. Tidak menyusahkan dia lagi semasa hari tuanya.

”Munah! Balik! Aku bunuh engkau... Zaki! Mu bawa anak betino oghe gi mano?” Dia melibas-libas parang di tangan sekejap ke atas sekejap ke bawah. Parang digenggamnya kejap.

”Balik aku kato. Budak nak mampus awal! Kalau aku tau, masa kecik lagi aku cekik cekik! Taklah menyusah aku macam ni...!”

Heboh satu kampung kata Gayah mengamuk, budak-budak dan perempuan masuk ke dalam rumah ketakutan. Yang lelaki pula berpakat untuk menangkap Gayah. Lima lelaki berbadan tegap datang mengepung Gayah! Kekuatan Gayah tiada tandingan. Pak Jali tersungkur atas kaki jalan semasa cuba mengelak dari libasan parang gayah. Daud terputus jari kelingking terkena hujung parang Gayah.Gayah ketawa terkekeh-kekeh semasa melihat jari Daud yang putus dan darah berjujuran keluar. Dia bertambah gelihati melihat Daud meraung-raung melihat jarinya dipijak Gayah.

”Hah! Padan muka kau Daud. Engkau ingat kau hebat sangat.Pondan engkau ni Daud. Sebab tu bini engkau tak beranak-ranak.Muka tak malu. Bini engkau tu tak puas! Engkau tahu ke? Kalau aku dah lama aku cari jantan lain!”

Ketika itulah semasa Gayah memijak-mijak jari Daud yang terputus itu di tanah, tiga lagi lelaki lain dapat menerkam Gayah lalu menjatuhkan Gayah ke tanah. Cepat-cepat lelaki-lelaki yang memerhati dari kejauhan menghulurkan tali untuk mengikat Gayah.Gayah dihantar ke Hospital Kota Bharu semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan